Khairuddin Abu Hassan
ذولفقر واحد سلاكو ڤڠروسي كباجيكن ڤميليك قڬ سڬ بارو اداله لامبڠ ملايو يڠ كورڠ چرديق، تيدق بيجقسان
Kita harus mempertimbangkan dan mengambil perkiraan semua aspek demi kepentingan pemilik agar benar-benar memunafaatkan mereka secara jangka pendek serta jangka panjang sebelum sesuatu keputusan hendak dibuat.
Mana boleh kita memaksa mana-mana pihak untuk bersetuju dan kes pembangunan semula projek komersil Kg Sg Baru di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur.
Zulfakar Wahid adalah jenis ‘Melayu mudah lupa’ kerana beliau terlupa dengan kenyataan Perdana Menteri masakini di ruang legar Parlimen pada tahun 2019 ketika YAB Dato’ Sri Ismail Sabri menjadi Ketua Pembangkang.
YAB Dato’ Sri Ismail Sabri sendiri menyatakan asas yang penting dalam isu pembangunan semula Kg Sg Baru adalah kerajaan tidak boleh mengambil tanah milik individu untuk tujuan pembangunan komersil yang tidak mempunyai unsur-unsur pembangunan bagi kepentingan awam.
Tambahan, cara pengambilan tanah Kg Sg Baru dilakukan secara ‘bad faith’ (berniat jahat) yang amat merugikan pemilik-pemilik secara jangka pendek mahupun jangka panjang khususnya orang Melayu.
Cara pewartaan dibuat dan dikeluarkan meliputi Warta di bawah seksyen 4 dan seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 dalam tempoh setengah hari pada hakikatnya amat meragukan.
Tindakan pengeluaran warta pengambilan tanah Kg Sg Baru dalam tempoh yang terlalu singkat ketika negara berada dalam kekangan PKP 3.0 amat mengecewakan para pemilik.
Ramai daripada pemilik Kg Sg Baru turut kecewa dengan pemaju yang bersikap ‘berat sebelah’ dalam perjanjian usaha-sama yang kabur.
Sehingga kini, tiada satu perangkaan pelan induk yang jelas mengenai projek pembangunan semula di Kg Sg Baru di samping jumlah pampasan yang ditawarkan tidak munasabah sama sekali.
Perjanjian usaha-sama di antara syarikat pemaju Ritzy Gloss Sdn Bhd dengan penduduk sering bertukar terma tanpa persetujuan para pemilik Kg Sg Baru.
Sikap Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) yang difahamkan masih diterajui oleh Datuk Affendi Zahari yang dikatakan ‘bankrap’ atau ‘muflis’ kini bersikap ‘berat sebelah’ kearah pihak pemaju.
Kenapa pihak kerajaan masih mengizinkan seseorang yang ‘bankrap’ untuk terus menjawat jawatan Pengerusi PKB bagi mengendalikan kes Kg Sg Baru?
Sikap Datuk Affendi Zahari ini amat mencurigakan dan kemungkinannya seseorang yang bermasalah seperti ini akan mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi bagi menyelesaikan setiap permasalahannya.
Secara jujur dan ikhlas, saya ingin mengingatkan individu seperti Zulfakar Wahid agar jangan jadi pengkhianat kepada keseluruhan pemilik Kg Sg Baru.
Pemilik-pemilik Kg Sg Baru bukan anti pembangunan tetapi setiap perancangan pembangunan semula ini mesti dirancang secara teratur dan komprehensif kearah menjaminkan agar hak ataupun kepentingan orang Melayu serta kependudukan orang Melayu di kawasan bandar terus terpelihara kerana kini kian terhakis.
Zulfakar Wahid harus buktikan secara telus bahawa 89% pemilik Kg Sg Baru bersetuju dengan pembangunan semula tanah ini. Perangkaan ini juga amat mencurigakan.
Orang yang ‘penting diri’ dan ‘tamak’ bukan kalangan pemilik yang tidak setuju dengan projek pembangunan semula Kg Sg Baru tetapi individu yang ‘penting diri’ serta ‘tamak’ adalah manusia seperti Zulfakar Wahid itu sendiri.
Perancangan pembangunan semula tanah Kg Sg Baru harus dilaksanakan secara teliti dan berteraskan kepada konsep ‘menang menang’ untuk semua pihak yang terbabit.
