“Bagaimanakah Muhyiddin tergamak ‘memecat’ Mahathir tanpa bersua muka dengan pengasas kehormat PPBM itu yang turut merupakan mantan perdana menteri tetapi kecut dengan Osman yang hanya sekadar mantan menteri besar? Zalim sangat ke Muhyiddin ini?”
Raggie Jessy Rtiahudeen
Tanggal 28hb Mei 2020, mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, dipecat daripada parti yang diasaskannya sendiri pada 2016 bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan beberapa individu lain.
Pada ketika itu, Mahathir bersama-sama Muhyiddin mengisytiharkan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia diwujudkan untuk menjadi pengganti kepada UMNO kerana kegagalan parti komponen Barisan Nasional itu melaksanakan tanggungjawab sebagai pejuang hak dan nasib masyarakat Melayu-Islam.
Mahathir turut mengisytiharkan bahawa UMNO dipimpin oleh golongan kleptokratik dan pemimpin lain yang bermasalah dan menamakan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai kleptokrat serta perompak yang mencuri duit kerajaan.
Perkara ini dipersetujui oleh Muhyiddin sendiri yang bukan hanya mengulangi pendirian Mahathir, beliau turut mengisytiharkan tidak sekali-kali akan menyertai semula UMNO atau bekerjasama dengan kepimpinan parti itu.
Kemudian, setelah membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan, Muhyiddin tiba-tiba berjumpa Mahathir dan mendesak beliau untuk bersetuju membawa PPBM keluar dari Pakatan Harapan untuk bersama-sama UMNO dan PAS membentuk kerajaan ‘Melayu-Islam’.
Apabila cadangan itu ditolak oleh Mahathir atas dasar pengkhianatan terhadap rakyat, Muhyiddin berpaling tadah dan meneruskan juga rancangan itu dan mendapatkan bantuan Team A UMNO untuk meyakinkan PAS agar beliau dicalonkan sebagai Perdana Menteri ke-8.
Anehnya, Team A inilah yang ditentang mati-matian oleh Muhyiddin bersama Mahathir dan keseluruhan akar umbi serta kepimpinan bahagian dan cawangan PPBM yang diyakinkan oleh Muhyiddin sendiri bahawa beliau “tidak sekali-kali akan menyertai semula UMNO atau bekerjasama dengan kepimpinan parti itu.”
Kemudian, apabila Mahathir cuba bertanding untuk jawatan pengerusi PPBM yang sudah pasti akan dimenanginya, Muhyiddin tiba-tiba memecat pemimpin berusia 95 tahun itu bersama kesemua ahli barisan pengasas, antaranya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Seri Marzuki Yahya dan Maszlee Malik.
Tindakan Muhyiddin ini dikecam hebat oleh para netizen, barisan kepimpinan bahagian dan cawangan serta akar umbi parti kerana Mahathir sebelum itu pernah cuba untuk bersemuka dengan Muhyiddin di ibu pejabat PPBM bagi membincangkan kedudukannya dalam parti tetapi tidak dilayan oleh barisan kepimpinan pro-Muhyiddin yang terus menghilangkan diri.
Kecaman terhadap Muhyiddin disebabkan kebiadapan ini sungguh hebat menyebabkan beliau terus menjadi cemas dan mengerahkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk cuba meredakan keadaan.
Justeru, dalam satu mesyuarat tergempar Majlis kepimpinan tinggi PPBM, Hamzah mengisytiharkan bahawa keahlian Mahathir dan lima pemimpin yang lain sebenarnya “terlucut secara otomatik” apabila mereka “melanggar perlembagaan parti kerana memilih untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) walaupun parti memutuskan sebaliknya.”
Alasan yang sama turut digunakan untuk memecat Datuk Dr Shahruddin Md Salleh pada 19hb Julai 2020, di mana keahlian beliau dalam PPBM didakwa terhenti secara serta merta menurut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan parti.
Perkara ini turut diumumkan oleh Hamzah sendiri yang mendakwa Shahruddin melanggar perlembagaan parti kerana tidak bersama blok kerajaan pimpinan Muhyiddindi Dewan Rakyat.
Justeru, berdasarkan ‘undang-undang PPBM’ yang ‘dipraktikkan’ oleh Hamzah dan Muhyiddin, sekiranya mana-mana ahli parti melanggar Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan parti, keahlian mereka terlucut secara otomatik tanpa perlu kepimpinan PPBM bersemuka dengan mereka atau memberi mereka peluang kepada mereka untuk mempertahankan diri masing-masing.
Baiklah.
Pada 26hb Ogos 2020, media sosial digemparkan dengan kehadiran bekas menteri besar Johor Osman Sapian bersama beberapa pemimpin Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) semasa kempen pilihan raya kecil Slim.
Kehadiran beliau terus menyebabkan kestabilan kerajaan negeri Johor menjadi bahan pertikaian memandangkan Osman merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Johor mewakili PPBM tetapi dilihat berkempen secara terbuka untuk calon PEJUANG, Amir Khusyairi.
Seandainya PPBM bertindak memcat Osman, ia akan menyaksikan dewan negeri Johor tergantung kerana Perikatan Nasional hanya mempunyai 29 kerusi di DUN negeri itu manakala Pakatan Harapan pula mempunyai 27 kerusi.
Apabila saya menimbulkan isu ini dan bertanya mengapa PPBM takut untuk mengisytihakan “perlucutan keahlian Osman secara otomatik,” Osman keluar dengan kenyataan kononnya beliau sekadar “jumpa kawan-kawan,” tidak lebih dari itu.
Malangnya, bukan hanya kenyataan itu satu pembohongan, ramai melihat Osman berkempen untuk Amir malah tular satu video di media sosial memaparkan bekas menteri besar Johor itu berkata PPBM telah “menyeleweng” daripada perjuangan asalnya.
Video itu bermula dengan Osman berkata “…. mencapai kemenangan dan menewaskan calon Barisan Nasional.”
“Walaupun saya masih menjadi wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri Kempas, Johor, saya masih lagi Bersatu, Bersatu ini masih lagi dalam kerajaan Perikatan Nasional. Tapi saya tak kisah itu semua.
“Apa yang saya fikirkan perjuangan yang suci ikhlas.
“Kita mahu lihat suatu perubahan.Di mana Bersatu yang ada telah pun menyeleweng daropada perjuangan asal,” kata menjelaskan pada PRU14, parti itu berjuang untuk mengalahkan kerajaan BN yang rasuah.
Video itu berakhir selepas Osman merujuk pengerusi protem Pejuang Dr Mahathir Mohamad sebagai “ayahanda”.
Apakah ini tidak bermakna keahlian Osman dalam PPBM “terlucut secara otomatik” menurut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan parti kerana bersekongkol dengan parti PEJUANG pimpinan Mahathir yang sah musuh ketat PPBM?
Bagaimanakah Muhyiddin tergamak ‘memecat’ Mahathir tanpa bersua muka dengan pengasas kehormat PPBM itu yang turut merupakan mantan perdana menteri tetapi kecut dengan Osman yang hanya sekadar mantan menteri besar?
Zalim sangat ke Muhyiddin ini?
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
