Raggie Jessy Rithaudeen
Mesej pendek ini adalah untuk menyarankan kepada pihak tertentu untuk hentikan spekulasi kerana kesudahan kemelut politik ini terletak ditangan paling berkuasa dalam negara pada ketika ini, iaitu Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
Sebagai penganut agama Islam, adalah menjadi kewajipan kita untuk menjunjung kasih Tuanku dan menghormati segala apa keputusan yang dibuat oleh Baginda Tuanku selaku Ketua Negara dan Ketua Agama Islam.
Usahlah berpura-pura tahu kesudahan atau mudah percaya ‘sumber-sumber’ kononnya pihak Istana mencadangkan ini atau itu kepada UMNO, PAS, PPBM dan sebagainya.
Usahlah cuba mempengaruhi orang untuk percaya bahawa perkara ini akan berlaku atau yang itu akan berlaku, kerana sesungguhnya, sumber-sumber yang kononnya tahu akan terbentuk ‘Gabungan Baru’ tidak dapat menjangka Tun Dr Mahathir akan letak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi PPBM.
Semua yang berlaku ada sebabnya, kita tunggu sahaja dan lihat keputusan Tuanku Baginda. Kalau Tuanku kata bubar, maka bubarlah Parlimen Malaysia ke-14. Kalau Tuanku kata tidak, maka kita turut sahaja kehendak Tuanku.
Belajar bersabar…
