
THE THIRD FORCE
UMNO Selangor dilanda krisis kepimpinan berikutan tindakan 16 daripada 22 ketua bahagian boikot mesyuarat perhubungan UMNO Selangor yang berlangsung sebentar tadi.
Menurut sumber, mereka yang tidak hadir tidak berpuas hati dengan Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas sebab-sebab tertentu dan mengelakkan mesyuarat tersebut sebagai tanda protes.
Ketua bahagian yang hadir mesyuarat ialah Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan (Hulu Selangor), Datuk Hj Megat Zulkarnain (Gombak), Datuk Abd Rahman Bakri (Sabak Bernam), Datuk Haji Mutalib Rahim (Petaling Jaya), Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang) dan Datuk Nasaruddin M Zin (Klang).
TTF difahamkan bahawa perselisihan antara beberapa ketua bahagian memuncak berikutan pertemuan beberapa ahli parlimen Barisan Nasional bersama Dato’ Seri Azmin Ali malam Isnin di kediaman rasmi Azmin di Putrajaya.
Pertemuan itu menyebabkan berlakunya kekeliruan di kalangan pihak yang bersekutu dengan kem Azmin-Hisham dengan mereka yang bersekutu dengan Zahid atas sebab-sebab spesifik yang akan dibincang kemudian.
TTF diberitahu, mereka yang tidak hadir turut tidak berpuas hati dengan Nadzari kerana gagal dalam urus tadbir UMNO Selangor dan tertanya-tanya sekiranya beliau mempunyai kepentingan tersirat dan berfungsi sekadar boneka Hishammuddin.
Mereka turut tidak berpuas hati dan keliru dengan sikap Zahid yang tidak mengendahkan kepincangan dalam pentadbiran Nadzari.
