“Mengapakah UMNO dan PAS begitu terkesan apabila Tabung Haji memindah milik aset kepada sebuah syarikat SPV bawah kementerian kewangan? Untuk menimbulkan persepsi palsu kononnya Tun Dr Mahathir Mohamad dikawal oleh bukan Muslim dari DAP, bukan?”
Raggie Jessy Rithaudeen
Selasa lalu, Permodalan Nasional Bhd (PNB) melupuskan seluruh pegangan saham dan dana unit amanahnya sebanyak 56.3 peratus dalam Chemical Company of Malaysia Bhd (CCM) kepada Batu Kawan Bhd (BKB) pada harga RM292.8 juta.
Menurut laporan, harga itu mewakili premium sebanyak 69 peratus daripada harga saham purata berwajaran tiga bulan dan akan mencetuskan tawaran umum wajib oleh BKB untuk baki saham dalam CCM.
Sepintas lalu, Batu Kawan Bhd merupakan sebuah syarikat pelaburan bukan Bumiputra yang mengawal Kuala Lumpur Kepong Berhad dan diterajui oleh ahli lembaga pengarahnya, Tan Sri Lee Oi Hian.
Menurut Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn, pelupusan CCM kepada Batu Kawan Bhd adalah sebahagian daripada strategi kepelbagaian aset PNB untuk mengimbangi portfolio dan konsisten dengan usaha PNB untuk memberi pulangan yang mampan kepada pemegang unitnya.
Saya sebenarnya setuju dengan kenyataan Ahamad.
Saya faham, pembelian dan perlupusan aset merupakan lumrah bagi syarikat pelaburan yang sememangnya membeli aset untuk dijual apabila nilainya meningkat atau jika penjualan itu mampu membawa pulangan yang mampan.
Tetapi bukankah pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS yang meroyan dan mengadu domba dulu apabila Lembaga Tabung Haji ‘mengalihkan’ aset Melayu-Islam ke sebuah syaritkat SPV di bawah kementerian kewangan yang pada ketika itu diterajui oleh Lim Guan Eng?
Setahu saya, pindah milik atau penjualan aset milik Bumiputra-Muslim kepada mana-mana syarikat bukan Bumiputra-Muslim tidak melanggar apa apa prinsip pengurusan kewangan Islamik asalkan dilakukan dengan cara yang halal dan membawa balik pulangan yang setimpal, bersesuaian dan berpatutan.
Tetapi menurut ‘fatwa’ Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, aset-aset Tabung Haji seharusnya diuruskan oleh tokoh-tokoh Islam Bumiputera yang berkelayakan.
Pada ketika itu, pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS sibuk menimbulkan persepsi kononnya pindah milik aset Tabung Haji ke syarikat bukan Melayu-Islam atau Bumiputra-Muslim “mengaibkan masyarakat Melayu-Islam.”
Kini, apabila pentadbiran Muafakat Nasional sendiri terlibat dalam pelupusan aset sebuah syarikat yang dikhususkan bagi menjaga kepentingan Melayu-Islam dan Bumiputra kepada sebuah syarikat milik bukan Bumiputra, Asyraf tiba-tiba senyap.
Persoalannya, mengapakah UMNO dan PAS begitu terkesan apabila Tabung Haji memindah milik aset kepada sebuah syarikat SPV bawah kementerian kewangan?
Untuk menimbulkan persepsi palsu kononnya Tun Dr Mahathir Mohamad dikawal oleh bukan Muslim dari DAP, bukan?
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
