TTF: Sertai saluran Telegram TTF di sini
“Zahid dan MKT telah menipu majoriti pemimpin bahagian dan akar-umbi UMNO serta memperlekeh pengaruh mereka dalam parti, sekaligus bermakna MKT kini tidak sehaluan dengan akar umbi”
Raggie Jessy Rithaudeen
تربوڠكر لاڬي، كالي اين باڬايمانا زاهيد تيڤو ماجوريتي ڤميمڤين امنو
UMNO didakwa telah menghantar surat kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memaklumkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Perkara ini dilaporkan oleh sebuah portal berita yang memetik sumber dalaman sebagai berkata, surat itu dihantar kepada Muhyiddin selaku Perdana Menteri dan presiden PPBM pada 26hb Feb lalu.
Jika benar, maka sahlah dakwaan saya bahawa MKT UMNO, kini di bawah gengaman Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak, sedang bersandiwara untuk membeli masa bagi mencapai matlamat politik masing-masing.
Dengan berpura-pura serius akan menentukan masa depan kerjasama UMNO dan PPBM pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) hujung bulan ini, Zahid dan Najib berharap dapat meredakan kemarahan majoriti pemimpin bahagian dan cawangan.
Logiknya, jika majoriti pemimpin bahagian dan cawangan percaya bahawa Zahid dan Najib sehaluan dengan mereka, mereka tidak akan menarik sokongan terhadap Muhyiddin sebelum PAU atau memanggil Mesyuarat Agung Tergempar (EGM) bagi menyingkirkan Zahid.
Tetapi nyata rancangan Zahid dan Najib gagal, kerana langkah MKT memaklumkan sesuatu kepada Muhyiddin yang tidak sejajar dengan apa yang dituntut oleh 147 bahagian UMNO sudah terbongkar dan sedang dibincangkan oleh ramai ketua bahagian dan cawangan.
Dalam pada pemimpin-pemimpin ini menuntut agar UMNO memutuskan hubungannya dengan PPBM berkuat kuasa serta merta, MKT secara senyap memberitahu Muhyiddin bahawa UMNO akan hanya menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ini bermakna, Zahid dan MKT telah menipu majoriti pemimpin bahagian dan akar-umbi UMNO serta memperlekeh pengaruh mereka dalam parti, sekaligus bermakna MKT kini tidak sehaluan dengan akar umbi.
Semalam, saya menulis:
“Saya menyokong penuh desakan Tengku Razaleigh Hamzah agar Majlis Tertinggi UMNO mengadakan mesyuarat tergempar dengan kadar segera bagi memutuskan terus hubungan dengan PPBM.
“Saya juga berpendapat bahawa alasan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kononnya UMNO perlu menunggu Mesyuarat Agung Tahunannya (AGM) sebelum membuat keputusan adalah mengarut dan taktik membeli masa.
“Untuk makluman, 147 daripada 191 bahagian UMNO sudahpun membuat keputusan untuk memutuskan terus hubungan dengan PPBM dengan kadar segera.
“Namun, perkara ini dirahsiakan daripada umum malah diputarbelit oleh Zahid, yang mendakwa, majoriti pemimpin bahagian hanya mahu UMNO menarik kerjasamanya dengan PPBM ketika pilihan raya umum ke-15, bukan sekarang.
“Ini satu pembohongan.
Ya, apa yang Zahid, Najib dan MKT UMNO inginkan ialah satu “perjanjian peralihan kuasa” untuk mengelakkan UMNO daripada bekerjasama dengan Mahathir bagi mencetuskan Pilihan Raya atau menumbangkan kerajaan.
Pada 28hb Februari, saya menulis:
“Menerusi perjanjian itu, mereka berharap Muhyiddin akan bersetuju untuk memberikan lebih kerusi kepada UMNO kerana parti itulah yang akhirnya akan menyumbang jentera pilihan raya bagi membantu PPBM.
“Jika Muhyiddin berbuat demikian, UMNO pula akan mengumumkan persetujuannya untuk bekerjasama dengan PPBM di Pilihan Raya Umum ke-15 dengan harapan semua pemimpin bahagian dan akar umbi akan kembali bersatu.
“Kemudian, setelah keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 diumumkan, tidak mustahil Barisan Nasional akan mengenepikan terus kerjasamanya dengan Perikatan Nasional untuk membentuk gabungan kerjasama baharu dengan Pakatan Harapan.
“Inilah yang saya nampak, dan kemungkinan untuk rancangan ini berjaya amatlah tipis. Tetapi Team A akan tetap mencuba segala apa yang mungkin untuk mengelakkan kerjasama dengan Mahathir kerana pemimpin-pemimpin dari kluster mahkamah begitu terdesak untuk menyelamatkan tengkuk masing-masing.”
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
