“Nyata sangat Muhyiddin takut mengisytiharkan “perlucutan keahlian Osman secara otomatik” kerana kecut memikirkan kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Negeri dan Umum sebelum pembentangan Bajet 2021″
Raggie Jessy Rithaudeen
Pagi tadi, Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengesahkan “perlucutan secara otomatik” keahlian bekas menteri besar Johor Osman Sapian susulan tindakannya membantu kempen calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) pada Pilihan Raya Kecil DUN Slim baru-baru ini.
Saya menulis:
Menurut pengerusi lembaga displin, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas, Osman tidak perlu didakwa di depan Lembaga Disiplin parti atas tindakannya itu.
“Mengikut Perlembagaan Bersatu, Fasal 10.2.3, Datuk Osman telah secara automatik / serta-merta terlucut keahlian beliau dalam parti Bersatu.
“Tak perlu di dakwa depan Lembaga Disiplin. Setiausaha agung (Bersatu) boleh memberitahu kepada umum bahawa Datuk Osman tidak lagi merupakan ahli Bersatu kerana tingkahlaku beliau sendiri,” katanya.
Kemudian, di sebelah petang pula, tiba-tiba tular satu laporan bercanggah yang turut memetik Lembaga Disiplin PPBM sebagai berkata Osman kekal dalam parti.
Kali ini, Pengerusi Lembaga Disiplin PPBM yang sama dipetik sebagai berkata pihaknya akan memanggil bekas Menteri Besar Johor itu bagi menjawab tuduhan berhubung dakwaan membantu kempen calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim baru-baru ini.
Dua laporan bercanggah dalam tempoh beberapa jam, kedua-duannya dari orang yang sama – nampak tak kekalutan di pihak Tan Sri Muhyiddin Yassin?
Kerajaan Johor amat sukar bertahan
Loading...
Sebelum ini, apabila Mahathir cuba bertanding untuk jawatan pengerusi PPBM yang sudah pasti akan dimenanginya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba-tiba memecatnya atas alasan beliau bersekongkol dengan Pakatan Harapan apabila memilih untuk duduk di barisan pembangkang ketika persidangan parlimen berlangsung.
Tindakan Muhyiddin itu dikecam hebat oleh para netizen, barisan kepimpinan bahagian dan cawangan serta akar umbi parti kerana Mahathir merupakan pengasas kehormat PPBM dan tulang belakang parti berusia hampir empat tahun itu.
Kecaman terhadap Muhyiddin sungguh hebat menyebabkan beliau terus menjadi cemas dan mengerahkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk cuba meredakan keadaan.
Justeru, dalam satu mesyuarat tergempar Majlis kepimpinan tinggi PPBM, Hamzah mengisytiharkan bahawa keahlian Mahathir dan lima pemimpin yang lain sebenarnya “terlucut secara otomatik” apabila mereka “melanggar perlembagaan parti kerana memilih untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) walaupun parti memutuskan sebaliknya.”
Kesemua ini dibuat hanya berdasarkan “syak wasangka dan tafsiran peribadi” kepimpinan PPBM yang langsung tidak memberi peluang kepada Mahathir untuk menjawab segala tohmahan terhadapnya.
Malah, Mahathir pernah cuba untuk bersemuka dengan Muhyiddin di ibu pejabat PPBM bagi membincangkan kedudukannya dalam parti tetapi tidak dilayan oleh barisan kepimpinan pro-Muhyiddin yang terus menghilangkan diri.
Justeru, berdasarkan ‘undang-undang PPBM’ yang ‘dipraktikkan’ oleh Hamzah dan Muhyiddin, sekiranya mana-mana ahli parti melanggar Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan parti, keahlian mereka terlucut secara otomatik tanpa perlu kepimpinan PPBM bersemuka dengan mereka atau memberi mereka peluang kepada mereka untuk mempertahankan diri masing-masing.
Jadi bagaimanakah Pengerusi Lembaga Disiplin parti boleh memberi peluang kepada Osman untuk menjawab dakwaan terhadapnya tetapi memperlakukan Mahathir secara hina atas dakwaan yang tidak pernah disiasat?
Nyata sangat Muhyiddin takut mengisytiharkan “perlucutan keahlian Osman secara otomatik” kerana kecut memikirkan kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Negeri dan Umum sebelum pembentangan Bajet 2021.
Nyata juga pentadbiran Muhyiddin mengamalkan “politik darjat,” “kediktatoran ekstrim” dan “undang-undang hutan.”
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
