Tarikh PRU15 – Tanda-tanda jelas PM, MKT gagal capai kata sepakat

“Kenyataan Ahmad Maslan tidak membawa apa-apa makna, selain menjelaskan, antara lain, beberapa tanggungjawab dan kuasa perdana menteri sepertimana yang termaktub dalam Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan (Rujuk juga dua video di hujung bawah yang berkait terbitan ini)”

Raggie Jessy Rithaudeen

تاريخ ڤرو15 – تندا-تندا جلس ڤي عيم، مقت ڬاڬل چاڤاي كات سڤاكت

Nota: Ulasan di bawah adalah berdasarkan pemerhatian saya, dan hakikat, bahawa peranan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri (ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan) dan ahli UMNO (ditetapkan oleh perlembagaan UMNO) adalah berbeza dan saling tidak bertindih. 

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan bahawa pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini juga.




Perkara ini terkandung dalam perenggan bernombor satu dalam kenyataan media Datuk Seri Ahmad Maslan, yang didedahkan kepada media sejurus selepas MKT habis bermesyuarat malam semalam.

Namun, dalam perenggan yang sama, ayat seterusnya berbunyi:

“Berdasarkan keputusan ini, Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.”

Di sini, persepsi ditimbulkan bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencapai persetujuan bersama MKT berhubung tarikh pembubaran parlimen dan akan mencadangkan tarikh ini kepada Yang Di-Pertuan Agong dalam masa terdekat

Namun, setelah meneliti perenggan ini dengan lebih mendalam, tidak ada kepastian samada Ismail Sabri (selaku Perdana Menteri) bersetuju Pilihan Raya diadakan tahun ini.

Justeru, saya mengesyaki bahawa UMNO telah gagal mencapai kata sepakat bersama Perdana Menteri, dan syak saya ini timbul atas sebab-sebab berikut:

1.  Sekiranya UMNO berjaya mencapai kata sepakat bersama Perdana Menteri, Ahmad Maslan tidak akan teragak-agak untuk mendedahkan ‘berita baik’ ini kepada akar umbi parti, dan perenggan bernombor satu dalam kenyataan beliau sudah pasti akan mirip perengan berikut:

Loading...

“MKT UMNO telah mencapai kata sepakat bersama Perdana Menteri berhubung tarikh pembubaran parlimen dan keperluan PRU15 diadakan tahun ini, dan Perdana Menteri telah bersetuju untuk mempersembahkan cadangan ini kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.”

Namun, ini tidak berlaku.

2.  Ahmad Maslan gagal memberikan tarikh atau bayangan tempoh di mana Perdana Menteri dijangka menghadap Yang Di-Pertuan Agong.

Sebaliknya, beliau hanya menjelaskan bahawa “Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.”

Kenyataan ini tidak membawa apa-apa makna, selain menjelaskan, antara lain, beberapa tanggungjawab dan kuasa perdana menteri sepertimana yang termaktub dalam Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Cuba fikir, adakah logik jika MKT mengadakan satu mesyuarat khas berdurasi tiga jam, semata-mata untuk menjelaskan sesatu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan menerusi sidang media?

Sekiranya Ahmad Maslan memberikan tarikh atau bayangan tempoh di mana Perdana Menteri dijangka menghadap Yang Di-Pertuan Agong, barulah rakyat yakin bahawa satu persetujuan dicapai antara Perdana Menteri dan MKT berhubung pembubaran parlimen.

Kini, kenyataan Ahmad lebih berupa propaganda, seolah-olah Perdana Menteri akan menghadap Yang Di-Pertuan Agong dalam masa terdekat untuk mengusulkan pembubaran parlimen tanpa perlu persetujuan Kabinet.

Hakikatnya, jika Perdana Menteri bersetuju bahawa PRU15 perlu diadakan tahun ini, memandangkan hanya tinggal tiga bulan sebelum tahun baharu, amat sukar untuk sesiapa mempercayai bahawa mesyuarat MKT gagal mencapai kata sepakat berhubung tarikh pembubaran parlimen.

3.  Kenyataan Ahmad Maslan mengiktiraf, secara langsung, hak berperlembagaan perdana menteri untuk memutuskan masa yang paling sesuai untuk mengusulkan pembubaran parlimen.

Ini terbukti menerusi:

a.  kegagalan Ahmad Maslan memberi tarikh atau bayangan tempoh di mana Perdana Menteri dijangka menghadap Yang Di-Pertuan Agong, dan

b.  pengakuan bahawa Perdana Menteri tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan, antara lain, bahawa Perdana Menteri mewakili Kabinet Persekutuan apabila mengusulkan pembubaran parlimen kepada Yang Di-Pertuan Agong, selaras dengan apa yang saya katakan selama ini.

Tidak ada sebarang rujukan kepada parti politik dalam Perkara 40(1), bermakna Ahmad Maslan bersetuju bahawa UMNO tidak berhak memaksa Perdana Menteri melakukan apa-apa, dan “keputusan” MKT hanya sekadar “cadangan” buat Kabinet Persekutuan dan Perdana Menteri.

Ianya turut bermakna Ahmad Maslan mengiktiraf kuasa Perdana Menteri dan Kabinet Persekutuan menentukan samada “cadangan” MKT diterima atau tidak.

Justeru, perenggan bernombor satu dalam kenyataan Ahmad Maslan seharusnya ditulis semula seperti berikut:

i.  Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan bahawa pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini juga.

ii.  Namun, keputusan ini perlu mendapat persetujuan Kabinet Persekutuan dan Perdana Menteri terlebih dahulu, sebelum boleh diterima sebagai “cadangan” untuk diusulkan kepada Yang Di-Pertuan Agong.

iii.   Berdasarkan keputusan Kabinet, Perdana Menteri kemudian akan mencadangkan tarikh pembubaran kepada Yang Di-Pertuan Agong, selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.”

Nampaknya Ahmad Maslan tertinggal bahagian “ii” dalam kenyataan medianya, dan saya mengesyaki bahawa ini dilakukan secara sengaja kerana Kluster Mahkamah cukup terdesak untuk adakan PRU15.



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...