Tan Sri Abdul Hamid Bador, ‘the legend’, wira kebangsaan – saya tabik hormat

Tan Sri Abdul Hamid Bador. Sumber (gambar): Fail TTF

“Saya amat pasti rakyat Malaysia berdukacita dengan keputusan kerajaan melantik Ketua Polis Negara baharu dan bedoa agar kontrak Hamid dilanjutkan agar kerja baik beliau dapat diteruskan. Syabas Tan Sri, saya tabik hormat pada Tan Sri atas jasa dan sumbangan Tan Sri kepada Raja, Agama, Bangsa dan Negara”

Raggie Jessy Rithaudeen

تن سري عبدالحميد بادور، ءتيه ليڬيندء، ويرا كبڠسأن – ساي تابيق حرمت

TTF: Sertai saluran Telegram TTF di sini

Tindakan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan kepincangan dan salah guna kedudukan melibatkan menteri dan ahli-ahli politik merupakan satu tindakan yang berani dan terpuji yang harus direnungi segenap lapisan masyarakat, khususnya, pihak berkenaan dari blok kerajaan.

Hamid dengan tepat memperincikan punca sebenar keresahan, kemarahan dan rasa muak rakyat sejak kerajaan gandingan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional terbentuk.




Sikap negatif ini bukannya muncul begitu sahaja, tetapi merupakan kesan langsung kegagalan tadbir urus kerajaan dan kerenah pemimpin politik blok kerajaan yang mengamalkan politik darjat, kuasa dan kedudukan.

Tatkala rakyat biasa diminta duduk di diam di rumah dan kurang berpolitik, pemimpin-pemimpin ini bercakaran tak tentu hala dan menyogok jawatan bagi mendapatkan sokongan tambahan agar persepsi ditumbulkan kononnya kerajaan masih kukuh.

Malangnya, rakyat juga dipersalahkan kerana memandang serong terhadap kerajaan dan disenyapkan dengan pelbagai taktik kotor, termasuk menakut-nakutkan dan diugut dengan pelbagai cara.

Hamid juga menyentuh perihal gejala rasuah di kalangan ahli-ahli politik yang disogok dengan pelbagai cara malah diugut oleh ahli politik sehingga berlaku fenomena “lompat katak” di sana sini.

“Saya melawan rasuah dalam pasukan, dan saya lihat dalam politik rasuah berlaku di merata-rata tempat. Why can’t they think about it?

“Mabuk kuasa, sanggup melakukan perbuatan membeli sana, mengugut orang ini…itu rasuah nama dia. Ada lah maruah diri sikit…

“Saya berusaha ni, nak bersihkan pasukan ini, nak mengembalikan martabatnya, tapi saya tengok, di luar politik hancur!

Loading...

“Dengan amalan-amalan yang jelas (salah). Saya minta SPRM masuk! Ambil tindakan,” katanya.

Rakyat Malaysia dapat menyaksikan segala gelagat yang diperincikan oleh Hamid dengan jelas, dan perkara ini dapat dinilai sendiri oleh sesiapa sahaja dengan meminta pendapat orang awam di kedai makan, gedung membeli belah dan sebagainya.

Antara yang hangat diperkatakan ialah kewujudan politik dua darjat, yang menyaksikan ramai pemimpin serta ahli parlimen blok kerajaan yang melangar SOP Covid-19 tidak dihukum atau lambat diambil tindakan tatkala rakyat biasa terus disaman malah dipenjarakan atas kesalahan melanggar SOP.

Tindakan rakus kuasa kepemimpinan pentadbiran yang bercakaran dalam usaha merampas kerajaan-kerajaan negeri tatkala PKP 1.0 berlangsung turut disaksikan oleh segenap lapisan masyarakat.

Malah, pemimpin-pemimpin ini meneruskan juga Pilihan Raya Kecil dan Negeri (Sabah) walaupun angka Covid menggila, sekaligus mengancam nyawa berpuluh ribu warganegara yang melanggar SOP ‘penjarakkan sosial’ ketika ceramah kempen.

Tidak dapat dinafikan bahawa kesengsaraan peniaga kecil dan rakyat biasa yang makin terhimpit dengan PKP 2.0 dan Darurat disumbang secara tidak langsung oleh Pilihan Raya Kecil dan Negeri (Sabah) tahun lalu.

Tan Sri Annuar Musa sendiri pernah mengaku bahawa nasihat yang diberikan oleh Muhyiddin dalam isu pengisytiharan Darurat ada pertimbangan politik, bercanggah dengan kenyataan Takiyuddin Hassan yang menafikan kewujudan pertimbangan tersebut.

Pada 28hb April, saya menulis:

Tanggapan banyak pihak adalah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Yang Di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Darurat kerana tidak memiliki majoriti.

Tanggapan ini ditimbulkan oleh blok kerajaan sendiri susulan kegagalan Muhyiddin membenarkan keabsahan kerajaan pimpinannya ditentukan oleh Dewan Rakyat dan juga berdasarkan congakkan kasar bilangan ahli parlimen yang menyokong kerajaan.

Tanggapan rakyat serta kekeliruan yang timbul turut disebabkan tindak tanduk kerajaan pimpinan Muhyiddin yang mengisytiharkan Darurat sebaik selepas seorang ahli parlimen dari Barisan Nasional mengesahkan tidak menyokong blok kerajaan.

Darurat turut tidak dilihat menyumbang kepada usaha memerangi Covid-19, dan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan setakat ini dilihat tidak memerlukan pengisytiharan Darurat kerana ianya boleh dilakukan menggunakan undang-undang yang sedia ada dan proses demokrasi berparlimen.

Yang Di-Pertuan Agong turut mengesahkan bahawa parlimen boleh bersidang dalam tempoh Darurat, manakala ahli-ahli parlimen sudahpun menerima vaksin dan seharusnya dibenarkan bersidang seperti biasa.

Anehnya, tatkala pelajar-pelajar yang belum menerima vaksin dibenarkan menghadiri sekolah dan UMNO dibenarkan menganjurkan Perhimpunan Agung, Muhyiddin masih gagal membenarkan ahli-ahli parlimen bersidang.

Tetapi apabila perkara sebegini dibincangkan, rakyat juga yang dipersalahkan.

Kerajaan yang leka, rakyat yang seksa.

Saya amat pasti rakyat Malaysia berdukacita dengan keputusan kerajaan melantik Ketua Polis Negara baharu dan bedoa agar kontrak Hamid dilanjutkan agar kerja baik beliau dapat diteruskan.

Syabas Tan Sri, saya tabik hormat pada Tan Sri atas jasa dan sumbangan Tan Sri kepada Raja, Agama, Bangsa dan Negara.



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...