“Kalau sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 lagi Najib terpaksa pinjam berpuluh bilion ringgit, apakah sekarang kerajaan tiba-tiba mempunyai kemampuan luar biasa untuk membayar balik RM24 bilion hutang prinsipal 1MDB dalam pada kewangan dan ekonomi negara mudarat?”
Kepada Najib Razak
سورت تربوك كڤد نجيب رازق – جاڠن سليندوڠ فكتا اين دري رعيت
Saya ingin merujuk kepada satu kenyataan yang dibuat oleh Najib sebagai membalas pendedahan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz, berhubung isu pembayaran balik hutang 1MDB.
Isu ini mula-mula dibangkitkan oleh Najib sendiri di Dewan Rakyat pada 2hb Mac 2022, di mana Najib mendakwa tidak ada satu sen pun wang rakyat yang digunakan untuk membayar prinsipal hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Namun, apa yang Najib gagal nyatakan atau sengaja tidak nyatakan ialah hakikat, bahawa Malaysia sedang membuat bayaran faedah tertunggak hutang 1MDB menggunakan duit rakyat.
TONTON: KEMPEN UMNO, BN DI JOHOR DILANDA MASALAH BESAR
Perkara ini didedahkan oleh Tengku Zafrul, yang berkata, dakwaan Najib tidak berasas kerana Malaysia sudah mula membayar faedah hutang 1MDB (kira-kira RM6.5 bilion) dan masih belum membayar hutang prinsipal.
Menurut Zafrul, hutang prinsipal masih belum dibayar kerana ia melibatkan terbitan bon yang belum matang dan tidak perlu dibayar lagi.
Najib sedia maklum perkara ini, termasuk hakikat bahawa Malaysia masih berhutang lebih kurang RM38.8 bilion (prinsipal dan faedah), manakala sejumlah RM12.8 bilion lagi sudah pun dibayar sebelum ini menggunakan duit rakyat.
Tetapi Najib tidak ingin mengalah atau meminta maaf kerana menipu Dewan Rakyat dan terus mengelirukan penta’subnya dengan menimbulkan persoalan yang tidak masuk akal.
Dalam satu catitan di Facebook, Najib menyoal mengapa Tengku Zafrul tidak membayar bon 1MDB sebelum tarikh matangnya untuk menjimatkan kos faedah.
Menurut Najib, jika kerajaan menggunakan dana yang diperoleh daripada Goldman Sachs, Jabatan Kehakiman AS, Ambank, KPMH dan Deloitte, maka ia boleh melunaskan bon tersebut.
Najib berkata:
“Kesemua ini yang berjumlah hampir RM23 bilion, bukanlah wang rakyat. Sepatutnya wang ini boleh digunakan untuk membayar hutang 1MDB.”
Kenapa Najib? Kenapa menipu lagi?
Mula-mula kamu bagi bagi pelingkup 1MDB, kemudian kamu juga yang memberi cadangan bagaimana nak ‘selamatkan’ 1MDB, seolah-olah kamu ini ‘malaikat’ yang turun dari langit untuk ‘selamatkan’ 1MDB, bukannya orang yang ‘memusnahkan’ syarikat itu.
Najib sedia maklum bahawa kesemua bon yang diterbitkan oleh subsidari 1MDB masih belum matang, dan Najib sendiri bersetuju dengan tarikh-tarikh matang yang ditetapkan agar kerajaan dapat menjana berpuluh bilion atas sebeb-sebab tertentu, termasuk untuk membantu dalam Pilihan Raya Umum ke-13.
Ini bermakna, di bawah pentadbiran Najib, kerajaan bersetuju meminjam berpuluh bilion ringgit menggunakan 1MDB dan membayar semua faedah yang terjana sehingga 2039, semata-mata kerana kerajaan tidak cukup duit untuk melakukan apa yang ingin dilakukannya dan apa yang ingin Najib lakukan.
Kini, setelah menyelesaikan kira-kira RM12.8 bilion hutang 1MDB, baki tertunggak masih tinggal RM38.8 bilion, di mana RM32.3 bilion merupakan hutang prinsipal hasil terbitan bon (yang masih belum matang) dan RM6.5 bilion lagi merupakan faedah yang terjana daripada bon ini.
Pilihan Raya Umum ke-14 sudah datang dan pergi, dan status kewangan Malaysia berlipat kali ganda lebih teruk berbanding sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 dan ke-14, disebabkan kegagalan kerjaan-kerajaan pimpinan Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri.
Kalau sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 lagi Najib terpaksa pinjam berpuluh bilion ringgit, apakah sekarang kerajaan tiba-tiba mempunyai kemampuan luar biasa untuk membayar balik RM24 bilion hutang prinsipal 1MDB, dalam pada kewangan dan ekonomi negara tengah mudarat?
Kerajaan tidak cukup duit, dan faedah terkumpul disebabkan pinjaman 1MDB terpaksa dibayar secara ansuran menggunakan duit rakyat, sementara kerajaan membuat pelaburan-pelaburan lain bagi mendapatkan dana tambahan untuk membayar balik nilai-nilai prinsipal hutang 1MDB apabila sampai tarikh matang.
Kenapa guna duit rakyat untuk tanggung hutang 1MDB?
Sebab engkaulah, Najib Razak!!
Itu pun, saya belum cerita lagi bagaimana Najib tergamak meluluskan penyaluran dana berbilion ringgit kepada sebuah syarikat yang satu dunia tahu merupakan syarikat palsu!!
Terimalah hakikatnya Najib, jangan putar belit fakta lagi.
Yang Benar,
Raggie Jessy Rithaudeen
WAJIB TONTON:
