“Perbicaraan 1MDB dan pengubahsuaian laporan audit 1MDB yang masih berjalan, antara lain, boleh berakhir dengan hukuman penjara yang mungkin melebihi 10 tahun selepas semua proses rayuan berakhir. Perlu diingatkan bahawa perbicaraan 1MDB di Mahkamah New York membuktikan bahawa RM4 juta lebih dana yang diseleweng daripada 1MDB disalurkan ke akaun peribadi Najib dan anak tirinya, Riza Aziz”
Raggie Jessy Rithaudeen
ساي تيدق فيكير نجيب اكن ديامڤون سبلوم سموا كيس لاين دڤوتوسكن، حكومن دجالنكن
Sejak Datuk Seri Najib Tun Razak dipenjarakan petang semalam, sudah bermula desakan di kalangan segelintir penyokongnya agar beliau diberi pengampunan Diraja secepat mungkin.
Sepintas lalu, kuasa pengampunan dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 42, yang memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi kesalahan-kesalahan yang dibicarakan di Mahkamah Tentera dan kesalahan-kesalahan di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
Walaupun asalnya kuasa pengampunan ini ialah kuasa budi bicara institusi beraja, Perkara 42(4)(a), Perlembagaan Persekutuan meletakkan syarat bahawa kuasa pengampunan itu hendaklah dijalankan mengikut nasihat Lembaga Pengampunan.
Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan, sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 42(5), dibaca secara bersama dengan Perkara 42(11) itu terdiri daripada Peguam Negara Persekutuan, Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan dan tidak lebih daripada tiga orang anggota lain dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
Mengikut Perkara 42(8) mesyuarat Lembaga Pengampunan hendaklah bermesyuarat dengan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Perkara 42(9) pula menyatakan bahawa sebelum memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong, Lembaga Pengampunan hendaklah menimbangkan apa-apa pendapat yang mungkin diberikan Peguam Negara mengenai perkara itu.
Manakala itu, Perkara 48(4)(c) menetapkan bahawa proses pengampunan hanya boleh bermula sekiranya wujud suatu petisyen bagi pengampunan.
Di dalam kes Najib, sekiranya mana-mana pihak memasuki petisyen pengampunan, proses pengampunan boleh bermula atau dipertimbangkan, namun, pertimbangan yang dilakukan dipercayai akan merangkumi kes-kes Najib yang masih berjalan di samping implikasi pengampunan awal, sekiranya pengampunan diberikan.
Ini memandangkan jenayah yang dilakukan oleh Najib terlalu berat dan melibatkan keselamatan serta kedaulatan negara, yang tercabar apabila berlaku sekongkol antara pemimpin tertinggi kerajaan dan pihak-pihak tertentu dari dalam dan luar negara untuk menyeleweng dana daripada syarikat milik Kerajaan Malaysia.
Manakala itu, perbicaraan 1MDB dan pengubahsuaian laporan audit 1MDB yang masih berjalan, antara lain, boleh berakhir dengan hukuman penjara yang mungkin melebihi 10 tahun selepas semua proses rayuan berakhir.
Perlu diingatkan bahawa perbicaraan 1MDB di Mahkamah New York membuktikan bahawa RM4 juta lebih dana yang diseleweng daripada 1MDB disalurkan ke akaun peribadi Najib dan anak tirinya, Riza Aziz.
Keseluruhan proses perbicaraan dan rayuan bagi kes-kes ini boleh memakan masa tiga hingga empat tahun, dan jika Najib diampunkan sebelum itu, sudah pasti akan berlaku petisyen pengampunan lanjutan andai kata Najib didapati bersalah.
Justeru, pengampunan awal boleh mencalar imej Institusi Diraja di kaca mata rakyat dan dunia, di mana kesedaran tentang tahap kemudaratan terhadap imej, kedaulatan, keselamatan dan politik negara yang dibawa oleh skandal 1MDB sudah cukup difahami oleh majoriti rakyat Malaysia yang makin menyampah dengan Najib dan sekutunya.
Atas pertimbangan-pertimbangan inilah saya tidak fikir Yang Di-Pertuan Agong akan mengampunkan Najib dalam masa terdekat. Ini sekadar pandangan peribadi saya.
