TONTON JUGA: ADAKAH KITA DI AMBANG HURU-HARA? SAYA JUGA DIGANGGU DAN DAH BUAT LAPORAN POLIS
Raggie Jessy Rithaudeen
Perjuangan kumpulan pro-pembangkang sejak tahun lalu bersandar sepenuhnya kepada harapan kononnya kerajaan akan tumbang atau tidak bertahan lama.
Bagi mereka, masalah dalaman atau kelemahan blok pembangkang seakan-akan tidak wujud, seolah-olah jika kerajaan tumbang esok, “it’s all systems go” (semuanya akan berjalan lancar).
Ini tidak benar.
Hakikatnya, terlalu ramai “Prime Minister in waiting” (calon Perdana Menteri) dalam Perikatan Nasional (PN), menyebabkan terdapat persaingan “siapa harus jadi calon PM” hingga ke hari ini.
Sabah dan Sarawak tidak yakin bahawa PN mampu membentuk kerajaan stabil seperti kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim jika kerajaan tumbang.
Saya akur, kerajaan Anwar cukup gagal dalam banyak perkara dan dilihat kerap menyelindungi atau memutarbelit fakta.
Namun, ini tidak bermakna kita boleh melemparkan tuduhan tanpa bukti atau takut memuji Anwar jika dia melakukan sesuatu yang betul.
Sikap mengharapkan “semua yang sokong PN tidak harus puji kerajaan” dan “jika puji Anwar, orang itu dah ‘swing’ atau dah ‘dibeli'” memang subur di kalangan aktivis pro-PN.
Sikap ini boleh menyesatkan ummah dan adalah perangai golongan sesat. Sikap ini akan menggagalkan perjuangan pembangkang.
Sebagai umat Islam, bila seseorang itu membuat sesuatu yang halal, dan jika perbuatan itu membawa faedah kepada rakyat, seeloknya kita mengiktirafnya, agar orang itu terdorong untuk meneruskan perbuatan yang baik itu.
Rakyat tengah sengsara, dan jika saya dapat mendorong Anwar untuk membuat sesuatu yang baik buat rakyat, saya tidak malu melakukannya.
Daripada membuang masa mengata sana sini, elok jika golongan aktivis mendesak parti-parti, NGO-NGO dan pergerakan-pergerakan bertunjangkan kepimpinan Melayu-Islam dalam pembangkang untuk bergabung.
Terus terang, mustahil untuk pembangkang meyakinkan lebih ramai Melayu-Islam untuk bersatu jika pembangkang sendiri dilihat berpuak.
Ada aktivis sampai bertelagah secara terbuka seperti budak-budak, sampai ada di kalangan penyokong pembangkang meluat. Perkara ini amat-amat memalukan dan menyesatkan ummah.
Lebih sedih lagi bila mereka melambung-lambung nama tokoh negarawan sebagai ‘inspirasi’ – Maaf nak kata, mereka sedang mencalar reputasi tokoh negarawan berkenaan tanpa disedari.
Selain daripada menyeru parti-parti Melayu seperjuangan untuk bergabung, fokus aktivis pro-PN seharusnya bertumpu kepada dua perkara, iaitu:
- “Misi menyedarkan pemimpin pembangkang” bahawa mereka bertanggungjawab kepada rakyat, dan
- “Misi menyedarkan pemimpin pembangkang” bahawa sokongan sekurang-kurangnya 20% pengundi Cina amat diperlukan menjelang PRU16
Rakyat tengah seksa disebabkan kegagalan kerajaan, dan pembangkang seharusnya memberi cadangan kepada kerajaan cara-cara menyelesaikan masalah.
Pmbangkang boleh bergiat secara langsung dalam misi-misi membantu komuniti setempat mengatasi kesempitan hidup.
Sebagai contoh, bengkel “bahan-api kompos” boleh membantu komuniti kampung belajar cara-cara menjana bajan api dan pendapatan tambahan dariapda sisa buangan, dan saya sendiri pernah terlibat dalam anjuran program sebegini.
Banyak boleh dilakukan, bukan sekadar mengutuk kerajaan 24 jam sehari, 365 hari.
Jika pembangkang tidak mengubah strategi, tidak mampu menggabungkan “parti-parti Melayu seperjuangan” dan gagal menarik minat masyarakat Cina, tidak mustahil Anwar akan kekal PM selepas PRU16, kerana PN dan PH masing-masing tidak akan mendapat majoriti.
Perlu diingatkan, kuasa budi bicara melantik PM yang ada pada Agong adalah mutlak, dan jika kedua-dua PH dan PN tidak menang majoriti, Agong boleh sahaja mengekalkan Anwar sebagai PM.
Ini kerana “track record” Anwar atas kertas akan kelihatan lebih baik daripada “track record” PN, kerana Anwar akan mampu habiskan penggal penuh sebagai PM, manakala PN sebelum ini asyik bertukar PM dan terlalu ramai “PM in waiting.”
Jangan lupa, selepas PRU15, walaupun Muhyiddin memiliki 115 SD yang menyokongnya sebagai PM, Agong tetap melantik Anwar sebagai PM, dan saya percaya ianya kerana “Track Record” Muhyiddin menunjukkan dia sukar bertahan sebagai PM.
Satu Malaysia tahu bahawa punca “Track record” PN buruk ialah kerana UMNO di bawah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu jawatan Perdana Menteri dipegang oleh orang UMNO sehingga berkomplot untuk menumbangkan Muhyiddin.
Jadi PN harus lupakan UMNO dan tumpu pada pemerkasaan perjuangan pembangkang demi Agama, Bangsa dan Negara, dan aktivis pro-PN perlu fikirkan cara-cara menyumbang ke arah perjuangan ini.
Kritikkan biarlah berpada-pada, biarlah bersandar pada fakta.
Jangan lupa rakyat, kerana rakyat tengah seksa. Rakyat sudah tentu meluat jika aktivis hanya menumpu kerja mengutuk 24 jam sehari, 365 hari setahun.
Buat masa ini, kerajaan Anwar memiliki majoriti stabil dan tidak akan tumbang sebelum PRU16.
Janganlah mengharap sokongan daripada UMNO dan asyik memberi tumpuan kepada retorika palsu kononnya “kerajaan tidak akan bertahan lama.”
