Perlukah Najib, Zahid berundur? Inilah jawapan saya…

“Ramai tertanya-tanya apakah UMNO tidak mempunyai pemimpin lain yang berkaliber hingga terpaksa membenarkan pucuk pimpinannya didominasi oleh pemimpin-pemimpin yang menghadapi tuduhan jenayah di mahkamah, termasuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Inilah jawapan saya…”

Raggie Jessy Rithaudeen

Baru-baru ini, saya ditanya apakah pendapat saya berhubung kenyataan bekas ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, bahawa parti itu perlu bergerak ke hadapan susulan keputusan perbicaraan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada mulanya, saya enggan menjawab, kerana dari dulu lagi saya bertekad untuk tidak masuk campur urusan Najib memandangkan kes beliau bukan semuanya tamat dibicarakan, khususnya kes yang bersangkut-paut dengan penyelewengan dana 1MDB.




Tetapi saya diingatkan bahawa perjuangan saya adalah untuk menegakkan kebenaran.

Saya turut diberitahu, memandangkan kes SRC sudah habis dibicarakan dan penghakiman telah dibuat, sudah pasti ada implikasinya terhadap hala tuju UMNO biarpun peguam Najib dalam proses membuat rayuan.

Justeru, saya membuat keputusan untuk memberi pendapat saya berhubung UMNO dalam konteks Najib dan hubungkait beliau dengan SRC, kepimpinan tertinggi parti dan hal-hal lain yang berkaitan.

Berikut merupakan pendapat saya:

1. Tidak kira samada anda mendapati Najib bersalah atau tidak, anda perlu akur, faktor terbesar yang menyumbang kepada kekalahan Barisan Nasional di Pilihan Raya Umum ke-14 adalah skandal 1MDB yang dibawa kepada perhatian umum oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri, antara lain.

2. Malah, prestasi Barisan Nasional dari segi strategi Pilihan Raya serta kemampuan untuk menarik pengundi merosot teruk pada Pilihan Raya Umum ke-13 dan terus merosot sehingga Barisan Nasional kecundang di Pilihan Raya Umum ke-14.

3. Jika ditanya, sel-sel media Najib mendakwa penurunan prestasi ini disebabkan oleh berita palsu yang disebarkan oleh pembangkang pada ketika itu berhubung skandal 1MDB.

Loading...

4. Tetapi umum perlu ingat, skandal 1MDB mula-mula menjadi bahan perbualan di sekitar tahun 2015, iaitu dua tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-13, bukan sebelumnya.

5. Manakala itu, prestasi Barisan Nasional mula-mula menurun pada tahun 2008, di mana pada ketika itu, berlaku pengaliran undi Cina ke DAP dalam peratusan yang agak besar di bawah pentadbiran Tun Abdullah Badawi.

6. Justeru, adalah tidak benar bahawa penurunan prestasi Barisan Nasional disebabkan “berita palsu” berkenaan 1MDB dari pihak pembangkang kerana prestasi Barisan Nasional merosot secara konsisten bagi dua Pilihan Raya berturut-turut sebelum skandal 1MDB mula-mula meletup.

7. Malah, sebelum Abdullah mengumumkan pembubaran parlimen pada tahun 2008, beliau memberi gambaran bahawa Najib akan menjadi penggantinya sebagai Perdana Menteri.

8. Malangnya, gambaran ini tidak mampu menyelamatkan Barisan Nasional daripada kehilangan begitu banyak kerusi sehingga memenangi Pilihan Raya Umum ke-12 hanya dengan majoriti mudah.

9. Tidak dapat dinafikan bahawa naratif beberapa pihak pada ketika itu kononnya Datin Seri Rosmah Mansor terlibat secara tidak langsung dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu mempengaruhi sebilangan besar pengundi bukan Melayu.

10. Apa pun, yang pasti, prestasi Barisan Nasional terus merosot melangkaui Pilihan Raya Umum ke-13 biarpun sumbangan Najib terhadap ekonomi negara pada ketika itu agak memuaskan.

11. Ini kerana masalah sebenar Barisan Nasional pada ketika itu bukanlah Najib atau Rosmah semata-mata, tetapi Barisan Nasional itu sendiri.

12. Ini kerana Barisan Nasional sudah wujud terlalu lama pada ketika itu hinggakan banyak terpalit dengan isu salah guna kuasa, politik wang dan rasuah melibatkan ramai pemimpinnya.

13. Perkara ini tidak dapat dinafikan oleh Barisan Nasional kerana kes-kes melibatkan pemimpinnya terlalu banyak dibawa ke mahkamah sejak berdekad lalu.

14. Bagi rakyat jelata, pemimpin-pemimpin seperti ini kuat beretorik kononnya Barisan Nasional mampu membawa kesejahteraan sedangkan mereka sendiri terpalit dengan pelbagai skandal sambil memakan gaji yang dibayar oleh rakyat yang bertungkus lumus menjana pendapatan.

15. Justeru, apabila skandal 1MDB meletup dan rakyat diberitahu berbilion ringgit dana syarikat itu dilesapkan oleh Najib, mereka mudah mempercayainya dan naik berang.

16. Kemarahan mereka memuncak apabila pembangkang menularkan gambar-gambar yang memaparkan “kehidupan serba mewah Najib dan Rosmah” tatkala rakyat ditimpa kesusahan disebabkan kos sara hidup yang meningkat.

17. Kesemua ini menyebabkan Barisan Nasional makin dihina dan dicaci oleh pengundi yang inginkan Najib dan Rosmah dibawa ke muka pengadilan.

18. Tetapi sebaliknya, bukan hanya Najib bertindak memecat Peguam Negara dan Muhyiddin, sel-sel medianya mendakwa banyak dokumen, maklumat dan “money trail” yang didedahkan kepada umum samada palsu atau tidak tepat.

19. Kesemua ini menjurus kepada kekalahan Barisan Nasional di Pilihan Raya Umum ke-14.

20. Sebaik selepas Barisan Nasional kalah, Najib mengumumkan peletakkan jawatannya sebagai presiden UMNO dan pengerusi Barisan Nasional atas alasan ianya menjadi kelaziman untuk ketua parti bertanggungjawab ke atas kekalahan di Pilihan Raya.

21. Persoalannya, mengapakan Najib tidak meletakkan jawatan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 apabila beliau dibentangkan laporan bahawa Barisan Nasional mungkin kecundang disebabkan skandal 1MDB?

22. Apa pun, prestasi Barisan Nasional terus merosot selepas Pilihan Raya Umum ke-14 sepertimana yang dapat kita lihat di Chini baru-baru ini.

23. Walaupun kawasan itu kubu kuat Barisan Nasional dan Najib, undi Melayu-Islam terhadap calon UMNO-PAS merosot sebanyak 10.1 peratus berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 dalam pada Muafakat Nasional didakwa mampu membawa impak positif kepada UMNO.

24. Ini bermakna, peningkatan prestasi UMNO di Kimanis dan Tanjung Piai mungkin disebabkan sentimen anti-DAP yang memuncak pada ketika itu menyebabkan masyarakat Melayu-Islam sekadar membantah kehadiran DAP dalam kerajaan, tidak lebih dari itu.

25. Apabila Pakatan Harapan tumbang dan rakyat disajikan semula dengan kerenah pemimpin-pemimpin UMNO, mereka mengurangkan tumpuan terhadap DAP dan mula membuat perbandingan antara UMNO kini dan UMNO sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

26. Kesemua ini menjurus kepada perosotan dalam sokongan terhadap UMNO di Chini biarpun kempen di situ antara yang terhebat pernah diadakan di negara ini walaupun UMNO hanya berdepan dengan dua calon bebas.

27. Ini menandakan masyarakat Melayu-Islam, khususnya mereka yang berada di bandar (yang tidak pulang untuk mengundi), merasakan UMNO tidak berubah malah lebih teruk dari dulu.

28. Salah satu faktor mungkin disebabkan kegagalan UMNO mendaftarkan Muafakat Nasional hinggakan sebilangan tertentu pengundi marah konsep penyatuan ummah dijaja oleh UMNO demi kepentingan politik.

29. Memandangkan Chini kubu kuat Najib, tidak mustahil ada juga yang mula sedar perlunya UMNO menjauhkan diri dari Najib memandangkan skandal 1MDB penyebab utama UMNO kecundang di Pilihan Raya Umum ke-14.

30. Ini merupakan satu kemungkinan yang tidak dapat dinafikan.

31. Malah, ramai tertanya-tanya apakah UMNO tidak mempunyai pemimpin lain yang berkaliber hingga terpaksa membenarkan pucuk pimpinannya didominasi oleh pemimpin-pemimpin yang menghadapi tuduhan jenayah di mahkamah, termasuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

32. Kesemua ini merupakan petanda jelas pengundi semakin matang dan sangsi terhadap kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional.

33. Ianya turut menandakan Najib dan Zahid makin tidak relevan dan wajar mengasingkan diri dari pucuk pimpinan parti bersama-sama semua lantikkan mereka dalam Majlis Kepimpinan Tinggi (MKT).

34. Jika Najib terus dberi keutamaan dalam UMNO walaupun Mahkamah Tinggi menyabitkan beliau besalah atas tujuh tuduhan jenayah, UMNO akan hanyut dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

35. Biarpun Najib berhak merayu keputusan mahkamah, UMNO perlu sedar, dalam dunia politik, apa yang lebih penting ialah persepsi rakyat terhadap sesuatu kebenaran atau kepalsuan, bukannya kebenaran atau kepalsuan itu sendiri.

36. Nyata bahawa Barisan Nasional gagal meyakinkan pengundi sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 bahawa Najib tidak bersalah, bahawa semua dakwaan yang dibuat oleh pembangkang (pada ketika itu) adalah palsu.

37. Dan memandangkan keputusan mahkamah dalam kes SRC selaras dengan dakwaan pihak pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum ke14, mustahil UMNO dapat meyakinkan semua penyokongnya bahawa keputusan itu berunsur politik tanpa memarahkan sebilangan besar daripada mereka.

38. Ini kerana ramai di kalangan mereka akan membandingkan fakta kes dan keputusan mahkamah dengan dakwaan yang dibuat oleh pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 sebelum mencapai keputusan masing-masing.

39. Kesemua ini bakal menguntungkan Blok Bebas Kuasa Ketiga tidak kira samada kepimpinan UMNO bertindak menggugurkan Najib sebagai penasihat Barisan Nasional dan Zahid sebagai presiden UMNO atau terus mengekalkan kedua-dua mereka di kedudukan masing-masing.

40. Malah, tindakan Zahid mengisytiharkan Barisan Nasional tidak akan menjadi sebahagian daripada Perikatan Nasional sudah pasti menggusarkan lebih ramai pengundi, khususnya penyokong PAS, yang bersetuju dengan keputusan kepimpinan parti itu untuk memasuki Pilihan Raya Umum ke-15 bersama Perikatan Nasional.

41. Pada tanggapan saya, UMNO kini terpacak dalam benak pemikiran majoriti pengundi Melayu-Islam sebagai sebuah parti yang didominasi oleh pemimpin-pemimpin bermasalah yang tidak tahu mendahulukan parti.

42. UMNO juga dilihat sebagai sebuah parti yang ketandusan pemimpin berkaliber hinggakan pemimpin-pemimpin bahagian tidak berani menuntut perubahan dalam pucuk pimpinan parti.

Ya, saya bersetuju dengan pendapat Khairy Jamaluddin bahawa UMNO perlu bergerak ke hadapan susulan keputusan perbicaraan terhadap Najib.

Wallahu A’lam

NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...