“…satu-satunya cara menyelamatkan politik negara ialah dengan melumpuhkan UMNO menerusi pengunduran ahli-ahli parlimen beramai-ramai”
Raggie Jessy Rithaudeen
ڤڠوندورن مڤ-مڤ بركبراڠكلين تيڠڬي اكن برلاكو
UNTUK BERITA TERKINI, SERTAI TELEGRAM TTF DI SINI
Ura-ura belasan ahli parlimen daripada UMNO dan sebuah parti lain bakal lompat parti sedang hangat diperkatakan, dan tidak mustahil perkara ini akan berlaku.
Sekiranya benar, elok jika aksi lompat ini dilakukan sedemikian rupa agar Pilihan Raya Kecil yang menyusul dapat diadakan serentak dengan Pilihan Raya Negeri yang bakal diadakan di enam negeri semenanjung.
TONTON: KERAJAAN GOYANG, PRN SERENTAK LEBIH 10 PRK?
Ini kerana pihak Suruhanjaya Pilihan Raya akan mampu melakukan koordinasi yang lebih efisyen di samping mengurangkan kos pengurusan, antara lain.
Saya berpendapat bahawa Pilihan Raya Kecil melibatkan belasan kerusi parlimen, jika diadakan serentak dengan enam Pilihan Raya Negeri, akan menimbulkan suasana “Pilihan Raya Umum (PRU) Kecil” dan pasti mendorang ramai orang keluar mengundi.
Ini sekaligus akan menjadikan PRU Kecil ini satu referendum ‘penerimaan rakyat’ terhadap kerajaan gandingan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak sampai setahun kerajaan itu ditubuhkan.
Benarkah lebih 10 MP bakal keluar UMNO?
Tidak mustahil, malah saya tidak terkejut jika MCA dan MIC turut bertindak keluar Barisan Nasional.
Ada ura-ura beberapa ahli parlimen dari Pakatan Harapan juga sedang mempertimbangkan perkara yang seakan-akan sama.
Pengunduran ahli-ahli parlimen ini dan pengosongan kerusi Dewan Rakyat oleh mereka merupakan satu-satunya cara melumpuhkan terus UMNO agar Zahid tidak dapat terus bermaharajalela lagi dan memporak-perandakan politik negara.
Kenapa UMNO perlu dilumpuhkan terus?
Walaupun mencatatkan prestasi terburuk dalam sejarah, UMNO masih berjaya meraih 26 kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Namun, kemenangan kerusi-kerusi ini bukan kerana Zahid.
Ini terbukti apabila Zahid hampir kalah di kawasan parlimen yang ditandinginya, dan ini merupakan petanda jelas prestasi buruk UMNO pada PRU15 adalah disebabkan penolakan masyarakat Melayu-Islam terhadap Zahid.
Tetapi Zahid enggan memikul tanggungjawab terhadap prestasi buruk ini dan terus bercatur agar UMNO kekal di bawah gengamannya.
Zahid cuba memperdaya Yang Di-Pertuan Agong kononnya kesemua 30 ahli parlimen Barisan Nasional menyokong pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.
Mungkin disebabkan itu, Yang Di-Pertuan Agong menggunakan kuasa budi bicaranya menurut Perlembagaan Persekutuan untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri, atas keyakinan bahawa Anwar mungkin mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.
Pendek kata, Anwar dilihat berjaya dilantik sebagai Perdana Menteri atas tipu muslihat Zahid, dan mana-mana ahli UMNO yang mengkritik Zahid selepas itu samada digantung atau dipecat terus.
Zahid berani berbuat demikian mungkin disebabkan beliau yakin Anwar terhutang budi terhadapnya dan akan mencalonkannya sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).
Selepas mendapat kuasa TPM, Zahid menghalang pertandingan jawatan Presiden UMNO dengan bantuan Menteri PKR yang terang-terang menyalah-gunakan kuasa dan kedudukkan dalam kerajaan.
Disebabkan Menteri itu, walaupun RoS memutuskan bahawa usul menghalang pertandingan jawatan presiden melanggar perlembagaan UMNO, usul itu diberi pengecualian dan ‘dihalalkan’.
Ini sekaligus menjadikan UMNO “parti Zahid” yang dlindungi kerajaan Anwar, dan mana-mana pemimpin parti yang mengkritik atau menegur salah laku Zahid samada digantung atau dipecat terus.
Pelantikan Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri tidak harus berlaku, kerana kedudukan beliau berisiko memberi tekanan kepada mahkamah untuk memihak kepadanya dalam kes rasuah yang dihadapinya.
Kini sahaja sudah timbul keraguan tentang cara pasport Zahid dikembalikan oleh mahkamah dan cara kes rasuah Zahid ditangguh atas alasan Peguam Negara perlu menilai ‘bukti baru’ dań memutuskan samada kes Zahid perlu digugurkan atau tidak.
Apa yang mencurigakan ialah ‘arahan’ yang diberi oleh pihak yang tidak dinamakan kepada pendakwaan untuk tidak membantah pengembalian passport dan penangguhan kes Zahid, walaupun mahkamah sudah memutuskan terdapat bukti prima facie kesalahan Zahid.
Makin jelas Anwar terpaksa melantik Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri walaupun tahu pelantikan ini akan mencemar perjuangan Pakatan Harapan selama ini menentang Kleptokrat UMNO, “penyanggak” dan “pencuri.”
Anwar tiada pilihan melainkan membalas jasa Zahid, kerana tanpa tipu-muslihat Zahid, Yang di-Pertuan Agong akan tahu majoriti ahli-ahli parlimen Barisan Nasional tidak menyokong pencalonan Anwar sebagai Perdana Menteri.
Zahid juga mengumumkan lantikan demi lantikan politik melibatkan ahli UMNO ke syarikat berkait kerajaan dan badan berkanun kerajaan meskipun Anwar berjanji untuk menghentikan lantikan sedemikian.
Anwar tidak dapat mengawal tindak-tanduk Zahid kerana khuatir pengunduran Barisan Nasional dari blok kerajaan berkebarangkalian tinggi akan disusuli pengunduran GPS dan GRS jika terbukti satu kerajaan yang lebih stabil mampu ditubuhkan.
Ahli-ahli parlimen UMNO tahu semua ini dan makin tidak berpuas hati dengan Zahid.
Mereka sedar peranan mereka dalam parti telah dikurangkan kepada “Tukang Angguk” atau “Baruah” yang wajib berdiam diri meskipun Zahid melanggar perlembagaan UMNO dan menjadikan parti itu pentas perjuangan peribadi untuk menyelamatkan tengkuk.
Lambat laun, ahli-ahli parlimen ini akan terpaksa keluar dari UMNO untuk menebus kembali maruah mereka sebagai pejuang Agama, Bangsa dan Negara.
Jika mereka tidak berbuat demikian, mereka akan dipinggiirkan penyokong tegar mereka kerana sanggup “terus menjadi Baruah Zahid” gara-gara ingin mengekalkan kedudukan dalam parti dan parlimen.
Pendek kata, politik negara akan terus dibelengui ketidakstabilan dan ketidaktentuan selagi Zahid kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri dan presiden UMNO.
Inilah sebabnya saya berkata, satu-satunya cara menyelamatkan politik negara ialah dengan melumpuhkan UMNO menerusi pengunduran beramai-ramai ahli-ahli parlimen UMNO.
