PEJUANG rayu PM campurtangan kontroversi pengambilan tanah Kg Sg Baru bagi tujuan yang tidak berkait kepentingan awam

Khairuddin Abu Hassan

YAB Perdana Menteri harus campurtangan dalam isu pembangunan semula di Kg Sungai Baru kerana terdapat unsur ‘berniat jahat’ dalam proses pengambilan tanah ini.

Dalam apa jua situasi, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri harus berpegang kepada kenyataan beliau pada tahun 2019 di ruang legar Parlimen yang secara jelas sebagai Ketua Pembangkang pada waktu itu melarang keras pengambilan tanah Kg Sg Baru.




Ini adalah kerana tanah bergeran milik individu di Kg Sg Baru diambil di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk tujuan pembangunan komersil yang tiada kaitan bagi tujuan kepentingan awam.

Pihak kerajaan masakini dan agensi-agensi yang berkaitan telah menyalahguna Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi mengambil tanah-tanah pemilik untuk tujuan pembangunan komersil yang juga kemungkinan besar boleh menjerumus kearah salahguna kuasa. Tambahan pula, syarikat pemaju tidak mempunyai satu terma perjanjian yang jelas dengan para pemilik di Kg Sg Baru dan berubah-ubah dari masa ke semasa.

Untuk tujuan pembangunan semula di Kg Sg Baru pihak pemaju juga tidak mempunyai satu pelan pembangunan induk secara mampan serta tidak pernah melibatkan pemilik-pemilik di Kg Sg Baru yang sepatutnya menjadi rakan kongsi dalam perancangan pembangunan ini.

Apa yang memburukkan lagi keadaan adalah Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) yang dipengerusikan oleh seorang Pengerusi yang muflis yang sepatutnya menjadi pengantaraan memudahkan urusan di antara pemilik-pemilik dengan pemaju senantiasa mengambil sikap berat sebelah terhadap pemaju.

Yang amat menghairankan kita adalah macamana Menteri Wilayah Persekutuan mengizinkan seorang ahli politik yang muflis menjawat jawatan Pengerusi PKB sehingga kini? Situasi ini bercanggah dengan Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 secara jelas.

Dato Seri Shahidan Kassim selaku Menteri Wilayah Persekutuan sanggup mempertahan seorang Pengerusi PKB yang muflis dan bankrap tetapi tidak mempunyai semangat yang sama untuk membela nasib para pemilik Melayu di Kg Sg Baru. Sebenarnya terdapat pelbagai unsur-unsur yang mencurigakan dalam proses pengambilan tanah di Kg Sg Baru.

Pemimpin-pemimpin politik Melayu yang menjadi kerajaan masakini yang diterajui oleh UMNO dan pegawai-pegawai kerajaan Melayu harus bersikap bertanggungjawab untuk menjaminkan kependudukan Melayu yang bercirikan kemelayuan dikekalkan di kawasan-kawasan bandar khususnya di bandaraya Kuala Lumpur.

Loading...

PEJUANG Wilayah Persekutuan berpegang kepada prinsip mempertahankan hak pemilikan tanah-tanah orang Melayu di Kuala Lumpur dan seandainya mampu bukan saja sekadar mempertahankan jumlah pemilikan ini tetapi kita harus menambahkan pemilikan hartanah Melayu di Kuala Lumpur.

Inilah pengkhianatan pemimpin-pemimpin politik Melayu, para pegawai kerajaan Melayu dan individu-individu Melayu terhadap pemilik-pemilik Melayu di Kg Sg Baru. Pengkhianatan oleh orang-orang Melayu terhadap anak bangsa sendiri tidak boleh dimaafkan sama sekali.

Kami dari parti PEJUANG TANAH AIR bukan bersikap perkauman dan sentiasa menjaga kepentingan pemeliharaan hak rakyat tanpa mengira kaum ataupun agama tetapi dalam isu pengambilan tanah di Kg Sg Baru merupakan contoh pengkhianatan oleh orang-orang Melayu sendiri yang tidak boleh dimaafkan sama sekali.

Majlis Pimpinan PEJUANG Wilayah Persekutuan sanggup bekerjasama dengan semua pihak demi mencari satu formula solusi secara ‘menang menang’ demi kepentingan para pemilik Kg Sg Baru. Ini adalah permasalahan rakyat yang harus ditangani secara jujur serta ikhlas tanpa sebarang niat untuk mempolitikkan isu pengambilan tanah di Kg Sg Baru.

Saya telahpun mengadakan sesi rundingan dengan Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Flat Dan Teres Sg Baru dan Malay Agricultural Settlements (MAS) Kampong Bharu pada hari Ahad serta kelmarin berbincang untuk menghantar satu memorandum bagi merayu campurtangan YAB Perdana Menteri dalam kes Kg Sg Baru.

Sekali lagi PEJUANG Wilayah Persekutuan berpendapat semua prosiding mahkamah di antara para pemilik Kg Sg Baru dengan pemaju harus ditangguhkan bagi memboleh sesi rundingan ‘menang menang’ dapat dijalankan dalam suasana harmoni demi kepentingan semua pihak yang terbabit.

Pemilik-pemilik Kg Sg Baru bukan anti pembangunan tetapi mereka hanya menuntut hak yang setimpal demi kepentinngan kelangsungan penghidupan masa depan di bandaraya Kuala Lumpur.

Insya-Allah, PEJUANG Wilayah Persekutuan dengan Jawatankuasa Bertindak Pemilik Flat Dan Rumah Teres Sg Baru akan menetapkan satu tarikh untuk menghantar memorandum kepada YAB Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. Dalam isu pengambilan tanah di Kg Sg Baru, PEJUANG Wilayah Persekutuan berikrar untuk berdiri teguh bersama para pemilik Kg Sg Baru bagi membela serta mempertahankan hak-hak mereka secara adil dan saksama mengikut lunas undang- undang.

Sebarang bentuk salahlaku dan salahguna kuasa oleh mana-mana pihak tidak boleh dikompromi sama sekali.

Ketua PEJUANG Wilayah Persekutuan 



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...