“Najib dan Zahid sebenarnya tidak pernah dan tidak akan adakan perbincangan dengan PAS untuk mendaftarkan Muafakat Nasional kerana misi asal mereka (sebelum keputusan mahkamah kes SRC) adalah untuk menamakan Najib sebagai calon Perdana Menteri Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-15”
Raggie Jessy Rithaudeen
ڤاس اخيرڽ تركنا سومڤيتن امنو د سابه
Sepertimana yang saudara saudari sedia maklum, Perikatan Nasional dan Barisan Nasional tidak menjemput PAS semalam ketika majlis pengumuman calon kedua-dua gabungan itu di Sabah.
Ya, sungguh aneh apabila Barisan Nasional dan Perikatan Nasional diumumkan sebagai dua entiti berasingan dalam Pilihan Raya Negeri Sabah sedangkan kerajaan persekutuan diakui “Kerajaan pimpinan Perikatan Nasional” oleh PPBM, PAS dan UMNO.
Lebih aneh lagi apabila Perikatan Nasional dan Barisan Nasional memasuki Pilihan Raya Negeri secara berasingan, sedangkan kesemua parti komponen dalam kedua-dua entiti itu “bermuafakat” di bawah satu bumbung menerusi gabungan “Muafakat Nasional” yang tidak berdaftar.
Paling aneh, kegagalan Barisan Nasional menjemput PAS menandakan UMNO tidak pernah mencapai persetujuan dengan “rakan sepermuafakatnya” berhubung pencalonan di Sabah sebelum membuat pengumuman, sekaligus membuktikan apa yang saya katakan selama ini.
Ya, selama ini, saya mendakwa bahawa niat sebenar Team A (UMNO) adalah untuk menunggang kedua-dua PAS dan PPBM sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 atas dua sebab, iaitu:
1. memastikan PAS tidak beralih sokongan ke Tun Dr Mahathir Mohamad, dan
2. memastikan kepimpinan Team A (yang hanya memiliki sokongan minoriti dalam UMNO) tidak digulingkan oleh Team B.
Dan sepertimana yang saya dakwa sebelum ini, Team A pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak bekerjasama dengan PAS sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 semata-mata untuk menangkis tekanan dari dalam Barisan Nasional yang inginkan Najib dan kuncu-kuncunya berundur disebabkan skandal 1MDB.
Ini disebabkan ketidakyakinan majoriti pemimpin Barisan Nasional pada ketika itu terhadap kemampuan gabungan itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 sekiranya Najib masih lagi menerajui kerajaan dan UMNO.
Untuk meningkatkan keyakinan mereka, Najib terpaksa menjalinkan kerjasama politik bersama Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar kepimpinan Barisan Nasional percaya UMNO akan mampu meraih sokongan majoriti pengundi Melayu-Islam.
Alasannya, jika pemimpin sebuah parti Islam seperti Hadi boleh percaya Najib tidak bersalah, sudah pasti segala tuduhan yang dilemparkan oleh Pakatan Harapan terhadap Najib berhubung skandal 1MDB fitnah belaka.
Malangnya, Barisan Nasional kecundang juga di Pilihan Raya Umum ke-14 sepertimana yang dijangkakan oleh majoriti pemimpin UMNO dan MCA.
Yang paling teruk, kehadiran PAS tidak sedikit pun membantu menyelamatkan keadaan biarpun undi PAS dan Barisan Nasional digabungkan.
Pada ketika itulah tekanan terhadap Najib memuncak, hinggakan beliau terpaksa mengumumkan pengundurannya sebagai presiden UMNO dan pengerusi Barisan Nasional atas alasan perlu “memikul tanggungjawab” terhadap kekalahan gabungan itu.
Walaubagaimanapun, atas desakan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Najib akhirnya mengerahkan beberapa individu untuk cuba menggulingan penggantinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebagai presiden UMNO dan pengerusi Barisan Nasional.
Gerakan itu gagal apabila Zahid bercuti dari jawatan presiden disebabkan pertuduhan mahkamah yang dihadapinya, sekaligus menyebabkan Najib tidak dapat mengorak langkah kerana beliau sendiri menghadapi pertuduhan mahkamah.
Akhirnya, kedua-dua Najib dan Zahid memasuki satu gencatan politik dan bersetuju untuk berganding bahu demi mengeratkan lagi hubungan antara PAS dan UMNO agar kedua-dua mereka dapat menangkis tekanan dari Team B untuk berundur.
Maka timbullah konsep “penyatuan ummah” yang dirangka atas alasan “perlunya mempertahankan masyarakat Melayu-Islam dari anasir jahat DAP.”
Team A tahu PAS akan bersetuju, kerana apa-apa konsep penyatuan sudah pasti akan diterima oleh Hadi asalkan ianya bertujuan “menentang DAP.”
Pada ketika itu, berpuluh-puluh kumpulan WhatsApp sudah pun diwujudkan bersama-sama sebuah studio “siaran live” yang ditaja dan beberapa perkumpulan NGO tak berdaftar yang kononnya bertunjangkan “perjuangan penyatuan ummah.”
Semua yang terlibat diberitahu untuk memberi fokus semata-mata kepada “serangan terhadap DAP” kerana misi utama adalah untuk “menentang DAP” dan kepimpinan parti itu yang dikatakan “ancaman besar kepada agama, bangsa dan negara.”
Najib dan Zahid akhirnya berjaya meyakinkan PAS untuk menandatangani piagam Muafakat Nasional atas dasar perlunya PAS dan UMNO bekerjasama demi mempertahankan maruah agama dan bermuzakarah dalam semua hal yang membabitkan masyarakat Melayu-Islam.
Ini sebenarnya satu pembohongan.
Hakikatnya, pembentukan Muafakat Nasional merupakan alasan bagi Team A kekal relevan agar kepimpinannya dapat menangkis tekanan dari majoriti pemimpin UMNO yang inginkan penjenamaan semula UMNO dan Barisan Nasional.
Najib dan Zahid sebenarnya tidak pernah dan tidak akan adakan perbincangan dengan PAS untuk mendaftarkan Muafakat Nasional kerana misi asal mereka adalah untuk menamakan Najib sebagai calon Perdana Menteri Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Menurut perancangan asal, seandainya Barisan Nasional menang Pilihan Raya Umum ke-15 dengan bantuan PAS, Najib akan diangkat menjadi Perdana Menteri ke-8 dan Zahid pula akan bergelar timbalannya sehingga satu tempoh tertentu di mana Zahid akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri.
Sebab itulah Zahid tidak sekali-kali akan bersetuju untuk mendaftarkan Muafakat Nasional.
Beliau sudah pasti tahu, seandainya gabungan itu berdaftar, Najib akan terpaksa melantik Hadi atau Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Perdana Menteri jika Barisan Nasional memenangi Pilihan Raya Umum ke-15.
Apa pun, atas perancangan Zahid dan Najib inilah Team A akhirnya mencetuskan Langkah Sheraton dengan bantuan beberapa individu dari UMNO dan PPBM, termasuk Zahid Md Arip.
Team A terpaksa berbuat demikian kerana takut PAS akan memasuki gabungan perpaduan baharu bersama Tun Dr Mahathir Mohamad hasil perbincangan sulit antara beberapa pemimpin dari PAS (Datuk Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Terengganu), Team B (Datuk Seri Hishammuddin Hussein), PKR (Menteri Besar Selangor) dan AMANAH.
Dengan menipu Hadi bahawa pergabungan UMNO, PPBM dan PAS akan dipersetujui oleh Mahathir dan menjurus kepada “penyatuan ummah lebih menyeluruh,” Team A, yang tahu dari awal Mahathir tidak akan bersetuju, bersekongkol dengan Datuk Seri Azmin Ali, Zahid Md Arip dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri Perikatan Nasional.
Kemudian, apabila kerajaan baharu terbentuk, Zahid tiba-tiba mengumumkan tidak akan menyertai Perikatan Nasional secara rasmi dan dikatakan merancang untuk mencetuskan pembubaran parlimen secepat mungkin atas alasan Muhyiddin memberi keutamaan kepada Azmin dan PPBM dalam kerajaan.
Tetapi Zahid terpaksa menunggu keputusan kehakiman kes SRC sebelum mencetuskan pengunduran UMNO dari kerajaan kerana takut kempen Pilihan Raya Barisan Nasional akan terganggu gugat sekiranya Najib dinamakan sebagai calon Perdana Menteri dan mahkamah mendapatinya bersalah ketika tempoh berkempen.
Kini, memandangkan mahkamah sudahpun menjatuhkan hukuman terhadap Najib, Zahid teragak-agak untuk mencetuskan pembubaran parlimen kerana sedia maklum bahawa Barisan Nasional tidak mungkin menang dan boleh tenggelam terus disebabkan undi Melayu-Islam berpecah teruk.
Yang pasti, Najib dan Zahid dari awal lagi memperbodohkan Hadi dan Takiyuddin kerana tidak pernah ada niat untuk mendaftarkan mana-mana gabungan baharu.
Ini lah sebabnya UMNO tidak pernah merujuk kepada PAS sebelum membuat sebarang keputusan penting melibatkan Perikatan Nasional, dan ini lah sebabnya Zahid naik berang apabila PAS bertindak mendaftarkan Perikatan Nasional bersama PPBM.
Team A masih berpaut lagi kepada PAS kerana rancangan asal untuk mencetuskan Pilihan Raya Umum ke-15 “seawal mungkin” gagal sama sekali menyebabkan Najib dan Zahid perlu memastikan PAS atau Team B tidak beralih sokongan kepada Mahathir selagi parlimen masih belum dibubarkan.
Jadi jelaslah PAS dan PPBM hanya ditunggang oleh Najib dan Zahid sehingga Pilihan Raya Umum ke-15, dan buktinya dapat kita lihat di Sabah di mana tiga perkara aneh berlaku semalam sepertimana yang saya jelaskan di bahagian awal terbitan ini.
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
