“Mula-mula buat Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan bincang PRU awal, kemudian buat mesyuarat khas MKT bagi membincangkan penetapan PAU, kemudian buat PAU Khas untuk ulangi penetapan PAU, kemudian buat Konvensyen BN 2022 untuk bincang perkara sama. Kini nak buat konvensyen lagi?”
Raggie Jessy Rithaudeen
نجيب، زاهيد ده مڠاروت – نق بوات براڤ كونۏينشن لاڬي ڬونا دويت اهلي امنو اونتوق تكان ڤردان منتري؟
Baru empat minggu lebih tamat Konvensyen BN nasional, tiba-tiba muncul berita pelancaran “Konvensyen BN Sabah” Sabtu ini.
Saya menjangkakan perkembangan ini dari awal lagi dan pernah menyebutnya di dalam live saya baru-baru ini.
Bukankah konvensyen BN pada 1 Jun lalu meliputi keseluruhan Barisan Nasional di Malaysia timur dan barat?
Mula-mula buat Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan bincang PRU awal, kemudian buat mesyuarat khas MKT bagi membincangkan penetapan PAU, kemudian buat PAU Khas untuk ulangi penetapan PAU, kemudian buat Konvensyen BN 2022 untuk bincang perkara sama.
Kini nak buat konvensyen lagi?
Amat jelas konvensyen yang lepas bertujuan meningkatkan tekanan kepada Perdana Menteri agar segera membubarkan Parlimen.
Perkara ini dapat dinilai menerusi ucapan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk SeriMohamad Hasan.
Setahu saya, kali terakhir BN mengadakan konvensyen seperti ini ialah 12 tahun lalu.
Sebelum PRU14, tidak ada sebarang konvensyen, kenapa tiba-tiba buat dua konvensyen dalam tempoh tak sampai lima minggu?
Tidakkah Najib dan Zahid sedar bahawa UMNO sekadar parti politik dan tidak berhak menekan Perdana Menteri atau kerajaan untuk membubarkan parlimen?
UMNO perlu faham perbezaan peranan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan sebagai ahli Majlis Kerja Tinggi (MKT).
Sebagai ahli MKT, Ismail Sabri tertakluk kepada keputusan atau ketetapan badan penggubal dasar parti itu.
Namun, sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri bertanggungjawab sepenuhnya kepada Yang Di-Pertuan Agong dan Kabinet Persekutuan, dan sebarang ketetapan UMNO berhubung perkara di bawah bidang kuasa Perdana Menteri dan kerajaan hanya boleh diterima sebagai cadangan, tidak lebih dari itu.
Tidakkah Najib dan Zahid faham perkara asas ini?
Pada 25hb Jun lalu, saya menulis:
Ismail Sabri tidak hadir ke mesyuarat MKT semalam.
Biarpun begitu, Zahid meneruskan juga mesyuarat dan membenarkan Ahmad Maslan mengumumkan ‘nasihat’ UMNO kepada kerajaan menerusi media, seolah-olah UMNO adalah pembangkang dan tiada representasi dalam kerajaan.
Bukankah ini bermakna Zahid sedang cuba memintas perdana menteri dan menimbulkan persepsi bahawa kerajaan pimpinan Ismail Sabri tidak disokong sepenuhnya oleh Kluster Mahkamah dan MKT?
Saya mengesyaki bahawa mesyuarat semalam sebenarnya bertujuan mendapatkan sokongan MKT agar PRU diadakan bulan depan.
Namun, Zahid mendapat maklum bahawa beliau tidak mungkin mendapatkan persetujuan majoriti ahli-ahli MKT dan tidak dapat mengumumkan ‘keputusan penting’ yang dijanjikan.
