Najib setuju Anwar jadi Perdana Menteri jika PKR bantu Barisan Nasional (Bahagian Satu)

“Najib tidak mempunyai pilihan kali ini dan sanggup bersekongkol dengan sesiapa sahaja untuk cuba mengelakkan dirinya daripada memasuki penjara. Atas keterdesakan inilah Najib dikatakan merangka tiga rancangan sulit bagi meningkatkan kemungkinan Team A kembali ke tampuk kepimpinan negara dalam masa terdekat”

Raggie Jessy Rithaudeen

جيب ستوجو انور جادي ڤردان منتري جك ڤقر بنتو باريسن ناسيونل

Datuk Seri Najib Tun Razak telah mencapai satu persefahaman dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kerjasama antara Barisan Nasional dan PKR di Sabah dan juga di peringkat nasional selepas Pilihan Raya Negeri Sabah.

Menurut persefahaman ini, Najib bersetuju untuk melepaskan pencalonan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar sekiranya PKR dan Barisan Nasional berjaya membentuk kerajaan persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15.




Syaratnya, perkara itu perlu dirahsiakan sehingga keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 diumumkan agar Barisan Nasional dan PKR dapat menilai jika kerjasama mereka mampu menjurus kepada majoriti dalam parlimen.

Ianya turut perlu dirahsiakan agar akar umbi Barisan Nasional tidak menghukum gabungan itu kerana bersekutu dengan Anwar manakala akar umbi PKR tidak menghukum parti itu kerana mengkhianati DAP dan AMANAH.

Inilah yang saya difahamkan dari tiga sumber berpengaruh secara berasingan, yang turut mendakwa rancangan ini dipersetujui oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Apa pun, Najib sudah pasti akan cuba mencetus Pilihan Raya Umum sebelum keputusan rayuannya dibaca oleh Mahkamah Rayuan dengan memujuk PAS dan Team B UMNO untuk menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Najib akan melakukan demikian walaupun tahu Barisan Nasional dan PAS akan memperolehi jumlah kerusi yang jauh lebih rendah daripada jumlah yang diperolehi pada Pilihan Raya Umum ke-14 atas sebab-sebab berikut:

1. Perpecahan dalam undi Melayu-Islam yang teruk disebabkan kecelaruan dalam Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional,

2. Keputusan parti-parti Sabah untuk keluar dari Barisan Nasional selepas Pilihan Raya Umum ke-14 bagi membentuk GPS dan GBS, dan

Loading...

3. Keputusan Pilihan Raya Kecil Chini dan Slim yang menunjukkan undi Barisan Nasional (UMNO-PAS) di kedua-dua kawasan Dewan Undangan Negeri tersebut tidak menunjukkan peningkatan berbanding jumlah undi yang diperolehi oleh UMNO dan PAS di Pilihan Raya Umum ke-14 walaupun bertanding menentang calon bebas.

Justeru, harapan Najib adalah Anwar bersetuju untuk membentuk gabungan baharu bersama Barisan Nasional selepas Pilihan Raya Umum ke-15 bagi mengurangkan kemungkinan Blok Bebas Kuasa Ketiga Tun Dr Mahathir Mohamad membentuk kerajaan persekutuan.

Ini sebenarnya merupakan kes klasik dua musuh tradisi berganding bahu untuk memperkenakan musuh bersama mereka.

Pada hemat Najib, seandainya Barisan Nasional dan PKR memperolehi jumlah kerusi parlimen melebihi jumlah yang diperolehi oleh Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (79 kerusi), beliau akan mampu memujuk PAS dan meyakinkan parti-parti dari Sabah dan Sarawak untuk bersama Anwar.

Walaupun peluang untuk rancangan ini berjaya amat tipis, Najib tidak mempunyai pilihan kerana kemampuan PAS untuk memenangi kerusi di peringkat persekutuan dalam bilangan yang ‘selesa’ jauh lebih rendah dari kemampuan PKR berbuat demikian.

Bagi meningkatkan kemungkinan Barisan Nasional memenangi lebih banyak kerusi parlimen di Sabah, Najib didakwa berharap Barisan Nasional dan PKR akan memperolehi sejumlah 37 kerusi Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Negeri yang bakal diadakan (walaupun PKR hanya bertanding 7 kerusi), samada menerusi keputusan Pilihan Raya atau menerusi ‘lompat katak’ selepas keputusan diumumkan.

Saya difahamkan, ADUN-ADUN PKR bersedia untuk menyokong Barisan Nasional seandainya rancangan ini berjaya.

Untuk memastikan DAP dan AMANAH tidak mengesyaki Anwar, beliau dikatakan bersedia untuk memecat ADUN-ADUN tersebut sepertimana beliau memecat rakan karibnya, Kenny Chua Teck Ho, apabila Kenny bersekongkol dengan Tan Sri Musa Aman untuk cuba jatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal.

ADUN-ADUN ini kemudiannya akan membentuk kerajaan bersama-sama Barisan Nasional di Sabah dan menggunakan jentera pentadbiran negeri untuk meningkatkan kemampuan PKR dan UMNO memenangi lebih banyak kerusi parlimen di Sabah menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.

Benar atau tidak, kebarangkalian untuk rancangan ini berjaya amatlah tipis, kerana:

1. Kemampuan WARISAN Plus memenangi Pilihan Raya Negeri Sabah agak tinggi disebabkan parti yang menerajui gabungan itu merupakan parti dari Sabah, berbeza dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diterajui oleh parti-parti dari semenanjung.

2. Kehadiran Perikatan Nasional dalam GRS dan pertembungan antara parti-parti komponen GRS di 17 kawasan DUN dijangka akan mengurangkan kemampuan Barisan Nasional meningkatkan prestasinya di Sabah berbanding keputusan Pilihan Raya Umum ke-14.

Inilah yang saya difahamkan, dan tidak mustahil rancangan ini benar kerana Najib sememangnya pernah cuba untuk berganding bahu dengan Anwar sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 dan ke-14.

Tetapi kesemua perancangan Najib pada ketika itu gagal atas sebab-sebab yang tidak dapat saya jelaskan di sini bagi mengelakkan artikel ini dari menjadi terlalu panjang.

Apa pun, Najib tidak mempunyai pilihan kali ini dan sanggup bersekongkol dengan sesiapa sahaja untuk cuba mengelakkan dirinya daripada memasuki penjara.

Atas keterdesakan inilah Najib dikatakan merangka tiga rancangan sulit bagi meningkatkan kemungkinan Team A kembali ke tampuk kepimpinan negara dalam masa terdekat.

Salah satu daripada rancangan tersebut adalah sepertimana yang diceritakan di atas, manakala dua lagi akan saya ceritakan dalam masa terdekat seandainya keadaan mengizinkan saya.

Bersambung…

BACA JUGA:

It’s ‘game over’ for Muhyiddin – and he knows it

NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...