
Raggie Jessy Rithaudeen
Tan Sri Muhyiddin Yassin seeloknya memanggil sidang tergempar parlimen untuk memajukan usul tidak percaya yang dikemukakan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pada 9hb September 2020, Mahathir mendedahkan kandungan penuh usul tidak percaya yang dikemukakannya kepada mantan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Dato’ Mohamad Ariff bin Md Yusof .
Antara lain, Mahathir mendakwa pelantikan Tan Sri sebagai Perdana Menteri tanpa PRU mencabul sistem dan aturan peraturan dalam Perlembagaan Negara.
Hari ini, Muhyiddin sah kehilangan sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat atas tiga sebab:
1. Terdapat 20 Akuan Bersumpah sahih (setakat ini) yang dikumpulkan sejak semalam (24hb September 2020) membuktikan Muhyiddin hilang sokongan majoriti
2. Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan terdapat ‘ramai’ ahli-ahli parlimen dari Barisan Nasional yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim
3. Terdapat ahli-ahli parlimen dari GPS yang tidak menyokong Muhyiddin.
Manakala itu, tidak ada sesiapa dari kalangan mereka yang menandatangani Akuan Bersumpah yang tersebut di atas menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.
Ini termasuklah sebilangan tertentu yang didakwa menyokong Anwar tetapi menafikan dakwaan itu menurut lunas-lunas perundangan.
Justeru, dakwaan Zahid kononnya ‘ramai’ ahli parlimen Barisan Nasional menyokong Anwar turut disahkan palsu, kerana bilangan bersih yang benar-benar menyokong Anwar dari gabungan itu tidak sampai sepuluh orang.
Saya bersetuju dengan kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah bahawa ahli-ahli Parlimen tidak boleh bertindak di luar Dewan Rakyat walaupun memiliki Surat Sumpah atau Surat Akaun Bersumpah.
Menurut beliau, sokongan menerusi cara itu tidak bermakna kerana lucut atau tidak kuasa pemerintahan akan ditentukan di dalam Dewan Rakyat secara undian ahli Parlimen yang hadir.
Kenyataan Tengku Razaleigh memang betul dan bertepatan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta kelaziman sisitem Westminster.
Menurut Perkara 11 (3) Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat, Perdana Menteri boleh memanggil sidang khas Dewan Rakyat bagi menentukan tahap sokongan ahli-ahli parlimen terhadapnya.
Justeru, sekiranya Anwar benar-benar yakin sokongan majoriti ahli-ahli parlimen memihak kepadanya, beliau harus memberi tekanan kepada Muhyiddin untuk mengadakan sidang khas Parlimen bagi membuktikan terlebih dahulu Muhyiddin kehilangan majoriti.
Begitu juga, sekiranya Muhyiddin benar-benar yakin memiliki sokongan majoriti, tidak ada sebab beliau gentar memanggil sidang khas Dewan Rakyat bagi menentukan tahap sokongan ahli-ahli parlimen terhadapnya.
Pada hemat saya, inilah cara paling berkesan bagi mengatasi kemelut politik terbaru yang melanda ini dan meyakinkan para pelabur bahawa kerajaan persekutuan komited terhadap usaha menstabilkan lanskap politik negara.
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
