
“Kelewatan RoS dalam mengesahkan atau menolak pindaan perlembagaan UMNO adalah berita buruk buat Kluster Mahkamah, khususnya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kerana jika pemilihan UMNO diadakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15, Zahid berisiko hilang jawatan presiden kepada Ismail Sabri”
Raggie Jessy Rithaudeen
مان ساتو بتول نور جذلان – اسماعيل صبري ءداوڬوتء اتاو زاهيد ترانچم؟
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed, telah membuat satu tuduhan serius terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Dalam satu kenyataan, Nur Jazlan berkata, PPBM menggunakan RoS sebagai senjata politik untuk mengenakan UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya, sudah lebih dua bulan UMNO mengadakan Perhimpunan Agung Khas bagi meminda perlembagaan parti untuk membolehkan pemilihan parti diadakan enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).
Namun, katanya, RoS masih tak dapat membuat keputusan sama ada ia disahkan atau tidak.
“Susah sangat ke ROS nak buat keputusan atau RoS sudah jadi cagaran politik oleh menteri-menteri Bersatu,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Nur Jalan turut mendakwa, tindakan melambatkan keputusan itu memberi tekanan kepada Perdana Menteri yang turut merupakan Naib Presiden UMNO, memandangkan Ismail Sabri menyokong keputusan meminda perlembagaan parti.
“Mungkin pemimpin dan Menteri Bersatu cuba mengatur permainan politik dan membuatkan Perdana Menteri serba salah.
“Malah, menteri-menteri UMNO dalam kerajaan pun menyokong pindaan Perlembagaan ini sebab kalau mereka tak sokong nanti ahli-ahli akar umbi akan hukum mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan pemilihan parti akan datang.
“Mereka perlakukan parti Perdana Menteri sedemikian rupa. Mereka cuba calarkan imej beliau dan UMNO.
“Mereka cuba menangguk di air keruh dan gunakan RoS sebagai senjata politik untuk ugut Perdana Menteri dan parti dia (UMNO),” katanya.
Tuduhan Nur Jazlan sememangnya serius dan harus disiasat segera, kerana ia membabitkan dakwaan salah guna kuasa di peringkat Kementerian Dalam Negeri dan/atau RoS, di samping campurtangan politik dalam urusan RoS.
Namun, saya kurang yakin bahawa PPBM akan menggunakan RoS untuk mengugut Ismail Sabri dan berpendapat bahawa ini adalah ‘imaginasi’ Nur Jazlan semata-mata.
Hakikatnya, PPBM tidak akan mendapat sebarang manfaat daripada ugutan sedemikian, kerana jika UMNO terpaksa mengadakan pemilihan parti tahun ini, ianya hanya membawa manfaat buat Ismail Sabri.
Ini kerana Ismail Sabri akan berpeluang untuk bertanding jawatan presiden sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 dan memiliki alasan lebih kukuh untuk melewatkan pembubaran parlimen.
Justeru, kelewatan RoS dalam mengesahkan atau menolak pindaan perlembagaan UMNO tidak akan membawa sebarang kesan kepada Ismail Sabri atau ‘menekan’ beliau untuk melakukan sesuatu buat PPBM.
Sebaliknya, ia berupa berita buruk buat Kluster Mahkamah, khususnya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kerana jika pemilihan UMNO diadakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15, Zahid berisiko hilang jawatan presiden kepada Ismail Sabri.
Barangkali itulah yang dikhuatiri oleh Nur Jazlan.
