“Tanda-tanda bahawa negara kita dilanda gelombang keparahan yang serius memang sudah ada, dan kerajaan sememangnya tidak tahu apa yang harus dilakukan kerana menteri-menteri yang dilantik hanya mementingkan kuasa dan kedudukan”
Raggie Jessy Rithaudeen
مليسيا دلندا ڬلومبڠ كڤارهن سريوس، كراجأن ده سست
TTF: Sertai saluran Telegram TTF di sini
Tanda-tanda kegagalan kerajaan gandingan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional amat jelas dan tidak dapat diselindung lagi dari umum biar tahap mana retorik yang dimainkan oleh laskar-laskar siber upahan.
Banyak persoalan yang diajukan oleh aktivis, blogger, pejuang kebenaran dan kumpulan-kumpulan tidak berkepentingan yang tidak dapat dijawab oleh kerajaan malah tidak diendahkan terus sebab tidak ada jawapan yang mampu diberikan.
Sebagai contoh, kerajaan tidak ada jawapan kenapa perlunya Darurat dan penggantungan sidang parlimen sedangkan segala tindakan kerajaan setakat ini tidak memerlukan Darurat atau penggantungan sidang parlimen dan boleh dibuat menggunakan undang-undang yang sedia ada.
Kerajaan juga tidak dapat menafikan bahawa Pilihan Raya Negeri Sabah merupakan punca sebenar perlaksanaan PKP 3.0.
Ya, penularan gelombang kedua Covid-19 yang bermula di Sabah disebabkan keghairahan kepimpinan PPBM dan UMNO untuk mengawal negeri itu tidak pernah reda sepenuhnya biarpun Darurat diisytiharkan dan parlimen ‘digantung’.
Apabila ditanya, kerajaan senyap.
Sebaliknya, kita diberitahu bahawa kerajaan ini “prihatin” dan berjiwa rakyat biarpun makin ramai terseksa dan tidak tenteram dengan tindak tanduk kepimpinan yang jelas kemaruk darjat, wang, kuasa dan kedudukan.
Malah, dakwaan seorang ahli parlimen dari Sabah bahawa wujud sogokkan wang “berbilion ringgit” bagi mempengaruhi wakil rakyat di negeri itu tidak pernah diendahkan atau disiasat.
Sebaliknya, rakyat diberitahu bahawa kerajaan kekurangan duit kerana membelanjakan wang berbilion ringgit menerusi peruntukan Belanjawan 2021 dan beberapa pakej rangsangan untuk membantu rakyat.
Apabila diberitahu bahawa bantuan ini tidak seberapa malah tidak sampai kepada pihak yang benar-benar memerlukan, kerajaan senyap.
Pilihan Raya Umum ke-14 membuktikan bahawa taktik ‘menafikan’ kepincangan dalam pentadbiran dan kegagalan kerajaan mengurus kewangan dan ekonomi negara dengan baik hingga rakyat terseksa akan kembali menghantui kerajaan.
Zaman sudah berubah.
Rakyat tidak suka diperbodohkan lagi dan mahir membezakan antara hujah yang berasas dan propaganda palsu yang menjadi kelaziman pentadbiran Barisan Nasional di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.
Makin lama kerajaan melabelkan dirinya “prihatin” dan “berjiwa rakyat,” makin tidak tenteram rakyat yang sudah pasti akan menghukum kerajaan tidak kira bila parlimen dibubarkan.
Hakikat tetap hakikat, dan hakikatnya, kerajaan gagal menangani wabak Covid-19 dan menjaga kebajikan serta kesejahteraan rakyat biarpun melaksanakan pelbagai bentuk kawalan pergerakan untuk tempoh lebih setahun dan mengorek tabung sana sini tanpa kelulusan parlimen menerusi pengisytiharan Darurat.
Satu Malaysia tahu Perintah Kawalan Pergerakan yang diisytiharkan tidak berjaya mengekang penularan wabak Covid-19 dengan berkesan.
Satu Malaysia tahu ahli-ahli politik blok kerajaan menggunakan Covid-19 sebagai perisai apabila mengugut rakyat untuk tidak banyak menyoal sambil bercakaran tak tentu hala dan bermaharajalela di medan politik.
Berjuta warganegara yang terhimpit disebabkan PKP pertama dan kedua diseksa sekali lagi menerusi PKP 3.0 tatkala menteri-menteri dan ahli-ahli parlimen yang menyumbang secara terus kepada penularan Covid-19 menerusi Pilihan Raya Negeri Sabah menikmati gaji puluhan ribu ringgit sebulan menggunakan “wang rakyat.”
Apakah kerajaan meminta maaf atas sikap rakusnya di Sabah atau menghukum menteri-menteri dan ahli-ahli parlimen yang melanggar SOP di negeri itu?
Tidak.
Sebaliknya, pemimpin-pemimpin kerajaan akan terus duduk di dunia kayangan dan percaya, bahawa rakyat akan sentiasa teruja dan ‘terbeli’ jika label “prihatin” dan “berjiwa rakyat” terus menerus digunakan.
Percayalah, tidak pernah ada kerajaan ‘kartun’ yang gagal sebegini dalam sejarah tanah air hinggakan para pelabur begitu takut untuk menabur dana di bumi Malaysia akibat ketidaktentuan politik dan “masalah tadbir urus” yang kritikal.
Tanda-tanda bahawa negara kita dilanda gelombang keparahan yang serius memang sudah ada, dan kerajaan sememangnya tidak tahu apa yang harus dilakukan kerana menteri-menteri yang dilantik hanya mementingkan kuasa dan kedudukan.
Tetapi janganlah pula ditanya perkara ini kepada para menteri, kerana mereka hanya akan beritahu bahawa kerajaan kini “memilih-milih pelaburan” sebagai alasan kenapa tahap pelaburan di negara ini begitu rendah.
WAJIB BACA:
