“Lim Guan Eng terikat dengan Anwar Ibrahim atas sebab-sebab tertentu dan kini berada dalam dilemma kerana terpaksa menyokong terus Anwar biarpun tahu presiden PKR itu menjadi salah satu daripada punca ahli-ahli parlimen Bersatu (PPBM) berpaling tadah”
Raggie Jessy Rithaudeen
Tun Dr Mahathir Mohamad harus segera menjauhkan diri dari Pakatan Harapan sekiranya benar dakwaan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengetuai gabungan berkenaan.
Mahathir turut disaran agar melupakan hasrat untuk mengadakan kesefahaman politik dengan PKR dan DAP jika kepimpinan tertinggi kedua-dua parti berkenaan, terutamanya DAP, enggan berubah dan ingin mengekalkan status quo.
Saya mengesyorkan agar Mahathir mengorak langkah membina satu blok baru pembangkang dengan kadar segera membabitkan parti Gerakan, WARISAN dan parti-parti lain dari semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi melupuskan terus pengaruh kepimpinan tertinggi PKR yang penuh dengan tipu muslihat dan taksub kuasa serta DAP yang bersikap rasis lampau.
Kehadiran blok pembangkang yang mantap tetap perlu bagi memastikan sistem demokrasi di negara ini subur dan rakyat sentiasa mempunyai pilihan ketika mengundi di Pilihan Raya Kecil atau Umum.
Kenyataan Wan Azizah kelmarin sah satu penghinaan terhadap Mahathir dan petanda PKR sedang cuba mengambil kesempatan dalam pada Pakatan Harapan berdepan dengan realiti kehilangan kuasa secara mengejut.
DAP agak diam dalam hal ini kerana parti pimpinan puak cauvinis Lim Guan Eng ini tahu kedudukannya teramat lemah dan terpaksa bergantung penuh kepada seorang personaliti Melayu-Islam yang unggul jika tidak ingin tenggelam.
Masalahnya, Lim terikat dengan Anwar atas sebab-sebab tertentu dan kini berada dalam dilemma kerana terpaksa menyokong terus Anwar biarpun tahu presiden PKR itu menjadi salah satu daripada punca ahli-ahli parlimen Bersatu (PPBM) berpaling tadah.
Sekiranya Lim tidak berani sanggah cadangan Wan Azizah dan tidak beri laluan kepada pemimpin-pemimpin baru menerajui DAP, maka saya kira sudah tiba masanya Mahathir memutuskan terus tali persahabatan dengan parti berkenaan dan tubuhkan bloknya sendiri.
Sepertimana yang pernah saya katakan dulu, jika Lim Guan Eng, Lim Kit Siang, Tony Pua, Nga Kor Ming, Teresa Kok serta beberapa ahli Majlis Kepimpinan Pusat DAP tiba-tiba bersetuju “menggugurkan logo roket” dan memberi laluan kepada personaliti-personaliti Melayu-Islam yang diiktiraf bagi memenuhi jawatan-jawatan tertinggi, Pakatan Harapan akan menjadi pesaing hebat kepada Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang.
Tetapi biar apa pun yang dilakukan oleh DAP atau PKR, sekiranya Anwar dinamakan sebagai calon Perdana Menteri, imej dan reputasi Pakatan Harapan yang sudahpun berkecai akan terus menjunam ke status “kemaruk kuasa” atau “sampah politik.”
Dalam situasi sebegini, asalkan calon Perikatan Nasional tidak menghadapi kes-kes Mahkamah yang berat, calon berkenaan sudah pasti akan menjadi pilihan umum kerana rakyat sudah tidak dapat lagi menerima politik Anwar yang penuh dengan muslihat, persengketaan, ketaksuban dan tipu muslihat.
