“Tafsiran-tafsiran yang dibuat kerap bergantung kepada “siapa sokong siapa” dan bersandar kepada andaian semata-mata, bukannya fakta”
Raggie Jessy Rithaudeen
لڠكه محضير: ترلالو باڽق انداين ڤلسو بنجيري ميديا سوسيال
Ramai yang bertanyakan kepada saya hari ini “RJR, what is really going on?” Ada yang mesej, ada yang buat panggilan telefon, ada yang berjumpa terus dan ada pula yang chat menerusi saluran lain.
Jawapan saya mudah: Tunggu sahaja dan lihat.
Umum perlu ingat, dalam situasi atau kemelut politik sebegini, memang akan ada kekeliruan dan perkara di luar dugaan atas sebab-sebab tertentu yang hanya akan menjadi nyata setelah keadaan kembali stabil.
Oleh itu, usahlah membuat spekulasi atau andaian yang bukan-bukan kerana kesemua ini membuang masa dan hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.
Sebagai contoh, tafsiran yang dibuat oleh beberapa pihak, termasuklah pihak media, berhubung sokongan sebenar ahli-ahli parlimen terhadap Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berdasarkan pertemuan ahli-ahli berkenaan dengan Yang di-Pertuan Agong merupakan andaian semata-mata.
Ini memandangkan tafsiran tersebut dibuat berdasarkan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh parti-parti politik, bukannya kenyataan peribadi ahli-ahli Dewan Rakyat sebagaimana ianya dipanjangkan kepada Yang di-Pertuan Agong oleh ahli-ahli berkenaan.
Hakikatnya, mereka yang membuat tafsiran ini tidak tahu bilangan sebenar ahli parlimen dari UMNO, AMANAH, PKR dan DAP yang memberitahu Yang di-Pertuan Agong bahawa mereka menyokong Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 kerana bukannya pihak pentafsir yang pergi mengadap Yang di-Pertuan Agong.
Ramai juga tersalah tafsir apa yang sebenarnya berlaku di Johor ataupun perkara yang dikatakan oleh pemimpin-pemimpin politik tertentu menerusi kenyataan-kenyataan media.
Saya lihat, tafsiran-tafsiran yang dibuat kerap bergantung kepada “siapa sokong siapa” dan bersandar kepada andaian semata-mata, bukannya fakta.
Kerana tidak sabar, ada yang merumuskan terus polemik semasa berdasarkan andaian mereka sendiri dan menggunakan rumusan tersebut bagi membaca perkembangan politik yang selanjutnya.
Kesemua ini akhirnya menjadikan pihak-pihak tertentu tersasar amat jauh dari landasan kebenaran hinggakan media sosial sudah mula dibanjiri dengan berita-berita palsu yang tidak masuk akal.
Kita perlu ingat, “nothing is black and white in politics.” Sesuatu yang kita lihat atau jangkakan tidak semestinya sepertimana yang ianya kelihatan atau dijangkakan.
Boleh jadi pemimpin ini atau pemimpin itu mempunyai “senjata rahsia” yang masih belum kita lihat atau mampu jangkakan.
Boleh jadi juga ada tafsiran Perlembagaan Persekutuan yang kurang difahami oleh pemimpin-pemimpin parti dan ahli-ahli Parlimen.
Apa pun, saya pasti akan terus membawa kepada anda perkembangan terkini dari sudut teknikal dan perundangan setakat yang saya mampu dan di mana sesuai buat dua tiga hari ini.
Kenyataan-kenyataan yang telah saya buat sebelum ini masih kekal melainkan saya sendiri memberitahu bahawa ianya tidak lagi relevan.
Sesi live menerusi Facebook Raggie Jessy Rithaudeen (KLIK DI SINI) yang dijadualkan berlangsung pada malam Sabtu ini (29hb Febuari 2020) akan ditunda ke suatu tarikh yang bakal ditentukan.
Ini adalah bagi menghormati Yang di-Pertuan Agong yang dijangka akan memutuskan kesudahan kemelut politik yang melanda ini pada sebealah pagi atau petang hari Selasa, bersamaan 3hb Mac 2020.
Sekian
