“Dalam pada semua ini berlaku, ada seorang yang sedang duduk diam, memerhati”
Raggie Jessy Rithaudeen
Desakan untuk saya membuat siaran live malam ini bertubi-tubi. Mereka yang mendesak ingin saya menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku dari sudut perlembagaan dan politik, samada Mahathir akan kembali atau sebaliknya.
Menurut mereka, mesej-mesej yang disampaikan menerusi siaran-siaran tertentu kurang tepat dan sentiasa berubah-ubah.
Ini betul.
Sebenranya, tidak ada sesiapa yang berjaya ramal atau faham sepenuhnya apa yang sedang berlaku biarpun ada satu dua pihak rajin memainkan persepsi kononnya sudah memberi ‘amaran’ bahawa yang ini akan berlaku atau yang itu kesudahannya.
Dari pihak saya, siaran live menerusi Facebook Raggie Jessy Rithauudeen hanya akan diadakan setelah Yang di-Pertuan Agong mencapai keputusan akhir, dijangka Selasa depan.
Ini adalah bagi menghormati Tuanku Baginda selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara dan Ketua Eksekutif serta menjunjung kasih Tuanku.
Saya turut tidak ingin timbulkan spekulasi memandangkan media sosial pada ketika ini dibanjiri andaian-andaian palsu dan berita-berita yang tidak berpaksi pada kebenaran atau realiti.
Jika ada pun mana-mana pihak, samada pemimpin politik atau sebaliknya, memiliki ‘maklumat’ rahsia yang dapat memberikan sedikit pencerahan, pastilah perkara ini tidak akan dibongkarkan kerana ianya melibatkan masa depan politik Melayu-Islam.
Jadi tidak ada gunanya saya membuat live buat ketika ini kerana live saya hanya akan keruhkan lagi keadaan memandangkan sudah ada beberapa pihak sedang sibuk mengetengahkan teori mereka masing-masing.
Cuma, apa yang boleh saya kongsikan di sini adalah:
1. Pada ketika ini, terdapat tiga kem yang sedang bertungkus lumus menguasai tampuk kepimpinan negara
2. Satu kem terdiri daripada pelakon-pelakon ‘Hollywood’ yang terhebat di alam semester, di mana mereka ini benar-benar layak memenangi Oscar ‘Pelakon Terhebat Galaksi’ dan ‘Cerita Terbaik di Planet Bumi’.
3. Kem kedua terdiri daripada pelakon-pelakon ‘Gred C’ yang pada ketika ini sedang bersorak kegembiraan menerusi filem bikinan mereka “The Planet of the Apes: The Apes Return,” seolah-olah mereka baru sahaja menemui kapal karam berisi emas
3. Kem ketiga terdiri daripada “the real apes” yang sedang berlatih cara-cara berucap semasa menerima Oscar seolah-olah mereka lah yang bakal memenangi Oscar ‘Pelakon Terhebat Galaksi’ dan ‘Cerita Terbaik di Planet Bumi’.
4. Dalam pada semua ini berlaku, ada seorang yang sedang duduk diam, memerhati.
