KENYATAAN AKHBAR
كيس ڤڠامبيلن تانه قڬ سوڠاي بارو: ڤجوڠ ولايه ڤرسكوتوان، جاوتنكواس برتيندق ڤندودوق لاڤور ڤوليس ترهادڤ امڤت اينديۏيدو
Parti PEJUANG Wilayah Persekutuan bersama dengan Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kg Sg Baru telah membuat laporan polis ke atas empat individu yang terbabit dalam kes pengambilan tanah Kg Sg Baru, Kuala Lumpur.
PEJUANG Wilayah Persekutuan beranggapan proses pengambilan tanah ini bercanggah dengan undang-undang khususnya Akta Pengambilan Tanah 1960.
Mana mungkin tanah milik peribadi yang bergeran diambil dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk tujuan pembangunan komersil tanpa unsur-unsur pembangunan bagi kepentingan awam.
Saya selaku Ketua Negeri PEJUANG Wilayah Persekutuan ingin merayu agar YAB Perdana Menteri campur tangan secara kadar segera dalam isu pengambilan tanah di Kg Sg Baru.
Pada tahun 2019 ketika YAB Perdana Menteri menjadi Ketua Pembangkang telah membuat kenyataan di ruang legar Parlimen bahawa proses pengambilan tanah di Kg Sg Baru tidak boleh dilakukan kerana ia bukan untuk tujuan pembangunan bagi kepentingan awam.
YAB Perdana Menteri harus mempertahankan kenyataan beliau dan membantu mempertahankan hak orang-orang Melayu yang tinggal di Kg Sg Baru.
Pihak kerajaan harus menitik-beratkan isu kependudukan Melayu di kawasan bandar yang senantiasa berdepan dengan pelbagai cabaran hidup.
Kita harus mempertahankan tanah orang-orang Melayu di kawasan bandar dan sekiranya mampu untuk menambah pemilikan tanah-tanah Melayu di bandar atau separa bandar.
Ciri-ciri Melayu dan kependudukan anak bangsa di kawasan-kawasan bandar mesti dipertahankan.
Sesungguhnya juga, pemilik tanah Kg Sg Baru bukan anti pembangunan tetapi mereka hanya mahu menuntut pampasan yang adil dan proses pengambilan tanah dilakukan secara professional atas semangat ‘menang menang’ kepada semua pihak terbabit.
Pihak pemaju dan agensi kerajaan jangan sama sekali cuba untuk menekan hak pemilik tanah di Kg Sg Baru.
Hakikatnya, sekiranya proses pengambilan tanah di Kg Sg Baru tidak dilakukan secara professional ianya boleh menjerumus kearah salahguna Akta Pengambilan Tanah 1960 serta salahguna kuasa.
Sekali lagi PEJUANG Wilayah Persekutuan merayu agar pihak kerajaan menarik balik warta pengambilan tanah di Kg Sg Baru dan menganjurkan satu rundingan baru yang lebih telus dan adil di antara pihak pemaju dengan pemilik tanah Kg Sg Baru.
Kepimpinan PEJUANG Wilayah Persekutuan tidak mahu mempolitikkan isu ini tetapi sanggup bekerjasama dengan semua pihak kearah mencari satu formula penyelesaian secara ‘menang menang’ merangkumi semua pihak yang terlibat dalam kes pengambilan tanah di Kg Sg Baru, Kuala Lumpur.
KHAIRUDDIN ABU HASSAN
Ketua Negeri, PEJUANG Wilayah Persekutuan
