“Keputusan Peguam Negara memperlekeh segala keputusan MKN dan menjadikan MKN serta barisan Jemaah Menteri satu “perkumpulan elit yang kebal undang-undang” melainkan Khairuddin didakwa atas kesalahannya”
Raggie Jessy Rithaudeen
Keputusan Peguam Negara untuk tidak mendakwa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali merupakan titik hitam dalam sejarah perundangan negara yang membuktikan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengamalkan politik dua darjat.
1. SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) diumumkan menerusi saluran-saluran media rasmi sebagai salah satu dasar kerajaan memerangi wabak Covid-19
Dalam satu kenyataan, Jabatan Peguam Negara menjelaskan, setelah siasatan, didapati bahawa Mohd Khairuddin telah menjalani pemeriksaan kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur setelah kembali dari luar negara.
Keputusan ujian bagaimanapun mendapati Mohd Khairuddin negatif Covid-19 dan diizinkan untuk pulang ke rumah,namun dia tidak dikeluarkan Borang 14B serta tidak diperintahkan untuk menjalani kuarantin kendiri di rumah sesuai dengan Seksyen 15 (1) Akta 342.
Ini sebenarnya alasan yang tidak masuk akal dan tidak bileh digunapakai, kerana SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) merupakan piawaian am yang wajib dipatuhi oleh semua dan diumumkan oleh kerajaan yang diwakili oleh Khairuddin sendiri menerusi saluran-saluran media rasmi agar seluruh rakyat Malaysia tahu akan kewujudan piawaian tersebut.
Apakah Peguam Negara lupa akan perkara ini?
2. SOP yang diperkenalkan oleh MKN diwujudkan bagi memastikan semua yang tertakluk kepadanya mengikuti peraturan dan (atau) prosedur yang sama.
Ini adalah tatacara kawalan lazim dalam situasi yang melibatkan bilangan penduduk yang ramai atau fenomena yang masih tidak difahami atau dikaji sepenuhnya bagi mengelakkan sebarang keraguan, kesangsian, pertikaian, salah faham, pilih kasih dan sebagainya.
Dalam kes Covid-19, ia melibatkan keselamatan dan kesejahteraan lebih 30 juta warga Malaysia dan membabitkan sejenis penyakit yang masih tidak difahami sepenuhnya.
Apakah Peguam Negara tidak mempertimbangkan kebenaran ini?
3. Khairuddin melakukan dua kesalahan, bukan satu
Khairuddin pada awalnya cuba mengalihkan perhatian umum daripada kegagalannya mematuhi kuarantin wajib selama 14 hari dengan mendakwa beliau dibenarkan masuk ke Istana Negara pada 17 hb Ogos 2020.
Logik yang dibentangkan oleh Khairuddin adalah seperti berikut – beliau sah negatif Covid-19 kerana seseorang yang positif sudah pasti tidak akan dibenarkan memasuki Istana Negara.
Apa yang tidak disedari oleh beliau ialah ini sebenarnya pengakuan kesalahan kedua.
Kesalahan pertama ialah mengengkari perintah kuarantin 14 hari yang merupakan SOP wajib bagi semua yang masuk ke dalam negara, manakala kesalahan kedua pula ialah mendedahkan warga Istana kepada risiko Covid-19 yang turut merupakan sejenis penghinaan terhadap Institusi Diraja.
Apakah Peguam Negara tidak mengambil kira semua ini?
4. Khairuddin memperlekeh SOP kerajaan
Bermacam-macam helah yang digunakan Khairuddin untuk menangkis kritikan terhadapnya, termasuk dakwaan beliau menjalani ujian Covid-19 sebanyak tiga kali, iaitu ketika tiba di Malaysia dari Turki pada 7 Julai, 13 hari kemudian dan sebelum menghadiri majlis di Istana Negara.
Secara tidak langsung, Khairuddin mencadangkan bahawa SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan seseorang terlepas dari perintah kuarantin wajib sekiranya orang itu membuat ujian dan disahkan negatif Covid-19 sebelum tempoh 14 hari itu tamat.
Persoalannya, mengapakah Peguam Negara senyap pada ketika itu dan tidak menasihati Khairuddin sedangkan beliau terus menerus memberi alasan demi alasan selama hampir tiga hari bagi menghalalkan tindakannya yang jelas melanggar SOP?
Bayangkan, ini merupakan kenyataan seorang Menteri yang terang-terang memutar belit kenyataan untuk mempertahankan dirinya setelah melanggar undang-undang sambil mengisytiharkan (secara tidak langsung) bahawa rakyat Malaysia berhak mengingkari SOP kuarantin wajib sekiranya terbukti mereka negatif Covid-19.
Akhirnya, Khairuddin mengaku melakukan kesalahan apabila ditekan dan terus ‘menghukum’ dirinya sendiri apabila bersetuju menghulurkan “gaji empat bulan” kepada Tabung Covid-19, seolah-olah ‘hukuman’ itu mampu mengecualikannya daripada dakwaan di Mahkamah.
Apakah Peguam Negara terlepas pandang semua perkembangan ini?
Jangan lupa, Khairuddin merupakan seorang menteri yang cuba memutar belit keadaan untuk menghalalkan cara sebelum akhirnya mengaku melakukan kesilapan, itupun selepas ditekan oleh netizen dan menggadaikan nyawa warga Istana Negara.
Ini secara langsung menjadikan keputusan Peguam Negara satu tindakan memperlekeh segala keputusan MKN dan menjadikan MKN serta barisan Jemaah Menteri satu “perkumpulan elit yang kebal undang-undang” melainkan Khairuddin didakwa atas kesalahannya.
Cuba cerita, siapakah yang akan bertanggungjawab terhadap tindakan seorang menteri meletakkan warga Istana Negara di bawah risiko penyakit yang sah boleh mengundang maut?
Dan dimanakah pemimpin-pemimpin politik yang sebelum ini beriya-iya menyelar menteri bersijil palsu yang didesak meletakkan jawatan atas dasar “keadilan dan kebenaran?”
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
