#KerajaanGagal: Lafaz ikrar saya kepada Yang DI-Pertuan Agong

Saya, Raggie Jessy Rithaudeen, berikrar:

1. bahawa segala apa yang dihujahkan di bawah adalah ikhlas dan diterbitkan daripada keinginan saya untuk melihat negara ini diselamatkan dariapda belenggu kehancuran dan kemudaratan yang dibawa oleh kerajaan gandingan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

2. bahawa saya tidak didorong atau diarahkan oleh mana-mana pihak untuk membuat penghujahan ini dan tidak memiliki sebarang kepentingan poltik dalam membuat penghujahan ini.

3. bahawa saya adalah pejuang kebenaran dan sanggup tumpahkan darah saya demi mempertahankan kemuliaan Agama Islam dan maruah Institusi Diraja daripada sebarang ancaman.

4. bahawa perjuangan penyatuan ummah dan perpaduan rakyat berbilang agama dan bangsa adalah segala-galanya bagi saya.

Raggie Jessy Rithaudeen

#كراجأنڬاڬل: لفظ اكرار ساي كڤد يڠ د-ڤرتوان اڬوڠ

Sertai INSTAGRAM TTF di sini

1. Saya adalah pejuang kebenaran, dan saya percaya, bahawa penyatuan ummah serta penyatuan parti-parti politik bertunjangkan kepimpinan Melayu-Islam adalah sesuatu yang perlu ditekankan kerana ianya akan membawa kestabilan dalam politik tanah air.

2. Bagi saya, penyatuan sebegini mampu memberi kekuatan kepada mereka yang beragama Islam untuk menentang anasir-anasir jahat yang cuba memarakkan gelombang Islamophobia dan mempertikaikan kemulian Agama Islam sebagai agama persekutuan.




3. Saya juga berpendapat, bahawa penyatuan ini akan memungkinkan penubuhan sebuah gabungan politik yang stabil di samping membenarkan penubuhan sebuah kerajaan dengan majoriti dua per tiga.

4. Majoriti ini akan membolehkan kerajaan untuk meminda perlembagaan persekutuan agar Islam diiktiraf sebagai Agama “rasmi” persekutuan, sekaligus membenarkan penggubalan undang-undang khusus untuk menentang Islamophobia.

5. Penggubalan undang-undang sebegini dan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menetapkan Islam sebagai Agama “rasmi” persekutuan tidak akan menggangu-gugat kebebasan beragama oleh mereka yang bukan beragama Islam, kerana kebebasan ini akan tetap terjamin oleh perlembagaan yang sama.

6. Justeru, apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan Pentas Maruah Melayu dan menjemput semua pemimpin parti politik dan organisasi bukan politik yang bertunjangkan kepimpinan Islam untuk sama-sama duduk di pentas itu, saya rasa teruja dan melihatnya sebagai langkah pertama ke arah penyatuan ummah dalam ertikata yang sebenar.

7. Kemudian, apabila Mahathir mengumumkan konsep kerajaan perpaduan di mana pelantikan menteri dan timbalan menteri adalah berdasarkan keahlian mereka di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, bukannya keahlian dalam parti, saya mula yakin bahawa beliau telah berjaya mencari satu formula penggerak yang mampu mencetuskan penyatuan parti-parti politik bertunjangkan kepimpinan Melayu-Islam.

Ini kerana:

a. masyarakat bukan Muslim dan gabungan yang tidak menang pilihan raya tidak akan rasa terpinggir atau terganggu gugat kerana mereka turut akan diwakili dalam kerajaan perpaduan.

Loading...

b. malah, mereka akan kagum dengan Perdana Menteri dan gabungan yang diwakili oleh Perdana Menteri yang turut merupakan gabungan yang menang pilihan raya (kemudian daripada ini dirujuk sebagai “gabungan yang menang”)

c. ini akan mendorong parti-parti yang bertunjangkan kepimpinan Melayu-Islam dalam gabungan yang menang untuk bermuzakarah dengan parti-parti lain yang bertunjangkan kepimpinan Melayu-Islam dari luar gabungan itu ke arah penyatuan.

d. parti-parti ini akan sedar, bahawa usaha penyatuan sebegini tidak akan menakutkan masyarakat bukan Muslim kerana masyarakat bukan Muslim tahu usaha penyatuan ini tidak akan mempengaruhi komposisi kerajaan perpaduan.

e. ini akhirnya akan mengukuhkan kedudukan gabungan yang menang agar Perdana Menteri akan sentiasa berasal dari gabungan itu dan konsep kerajaan perpaduan akan dapat diteruskan dengan jayanya.

8. Malangnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi tamak kuasa dan mula bersekongkol dengan kluster mahkamah dari UMNO dan Datuk Seri Azmin Ali dari PKR untuk menubuhkan sebuah gabungan baharu, kononnya atas dasar “menyatukan ummah” dan “perlunya ditubuhkan kerajaan Melayu-Islam.”

9. Ini menjurus kepada Langkah Sheraton dan penubuhan kerajaan gandingan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional dengan pelantikkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri baharu menggantikan Mahathir.

10. Tetapi kerajaan ini langsung tidak memperjuangkan “penyatuan ummah” atau mengajak semua parti politik bertunjangkan kepimpinan Melayu-Islam untuk bermuzakarah ke arah penyatuan yang lebih menyeluruh.

11. Sebaliknya, PAS meletakkan pelbagai syarat dan memangkah parti-parti tertentu dari awal lagi kerana penyatuan yang ingin dikecapi oleh PAS ialah “penyatuan parti-parti politik berkepentingan,” bukannya “penyatuan ummah” atau “penyatuan parti-parti politik bertunjangkan kepimpinan Melayu-Islam.”

12. Ini terbukti apabila PAS berlapang dada biarpun Muhyiddin mengisytiharkan bahawa PPBM membuka keahlian kepada bukan Muslim meskipun PPBM telah diterima masuk oleh PAS dan UMNO sebagai parti komponen Muafakat Nasional yang ditubuhkan atas dasar “penyatuan ummah.”

13. PAS dan UMNO pula bercakaran tak tentu hala berhubung soal kuasa dan kedudukan serta agihan kerusi, manakala UMNO mengumumkan secara terbuka bahawa kerjasamanya dengan PPBM hanya untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan dan akan berakhir sebaik selepas parlimen dibubarkan.

14. Pengumuman ini membuktikan bahawa konsep “penyatuan ummah” dan “perlunya ditubuhkan kerajaan Melayu-Islam” yang diwar-warkan oleh UMNO, PPBM dan PAS ketika Langkah Sheraton semuanya pembohongan belaka, malah konsep ini dijaja dan ditunggang untuk menghalalkan misi peribadi parti-parti politik ini yang jelas didorong oleh nafsu kepentingan.

15. Nafsu inilah yang menjadi penggerak utama misi “menumbangkan kerajaan negeri pimpinan pembangkang” yang bermula sejurus selepas Langkah Sheraton di Kedah, Perak, Sabah dan sedikit sebanyak di Selangor.

16. Misi ini didalangi oleh pemimpin-pemimpin PPBM dan UMNO yang menjanjikan wang, kuasa dan kedudukan kepada wakil rakyat pembangkang agar wakil rakyat ini akan berpaling tadah dan menyertai Perikatan Nasional dan Barisan Nasional.

17. Tindak-tanduk pemimpin-pemimpin ini akhirnya menggangu gugat kestabilan politik dan usaha mengekang penularan wabak Covid-19 di negeri-negeri berkenaan, khususnya di Sabah, di mana Pilihan Raya Negeri yang tercetus menjurus kepada kegilaan dalam penularan wabak Covid-19 yang tidak pernah reda hingga ke hari ini.

18. Malangnya, yang menanggung seksa adalah rakyat, khususnya, peniaga-peniaga kecil dan sederhana besar yang terpaksa gulung tikar setelah perniagaan mereka mengalami kerugian teruk akibat daripada pelbagai bentuk kekangan pergerakan yang dikenakan bagi tempoh lebih setahun setengah.

19. Bukan hanya lebih sejuta rakyat Malaysia hilang pekerjaan dan sumber pendapatan, bilangan kes bunuh diri meningkat secara mendadak disebabkan ramai yang hilang sumber pendapatan atau dibebani hutang mula menghidap penyakit kemurungan. Kesemua ini menjadikan rakyat resah, gelisah, keliru dan tidak tenteram.

20. Malah, bukan hanya kemarahan rakyat terhadap Muhyiddin dan kerajaan pimpinannya terus memuncak, ramai tidak kisah lagi apa jua yang diumumkan atau diusahakan oleh Muhyiddin, kerana mereka tidak lagi yakin dengan kepimpinannya dan tidak berpuas hati dengan politik darjat dan kuku besi yang diamalkannya.

21. Ini bukan sekadar retorik – biarpun ada bukti bergambar dan video yang menunjukkan berpuluh-puluh pemimpin Barisan Nasional dan Perikatan Nasional melanggar SOP ketika kempen Pilihan Raya Negeri Sabah dan selepas itu, kesalahan pemimpin-pemimpin ini tidak dihiraukan.

22. Ada juga gambar dan video yang menunjukkan kedua-dua Muhyiddin dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin melanggar SOP pelitup muka. Namun, sehingga hari ini, tidak ada berita berkenaan tindakan yang diambil terhadap mereka.

23. Sebaliknya, rakyat sentiasa dihukum malah dipenjarakan jika tidak mematuhi SOP atau jika memakai pelitup muka dengan cara yang tidak betul. Apabila rakyat mengeluh, kerajaan menuding jari sana sini sambil mendakwa ada pihak cuba mengeruhkan keadaan.

24. Malah, Muhyiddin mengugut untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang mempertikaikan majoriti kerajaan, walhal, soal majoriti tercetus apabila Muhyiddin sendiri menghalang keabsahan kerajaan pimpinannya ditentukan di parlimen.

25. Tidak menjadi satu kesalahan jika rakyat membuat congakkan kasar sokongan terhadap kerajaan oleh ahli-ahli parlimen berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli-ahli parlimen itu sendiri, termasuk dua ahli parlimen UMNO yang menarik sokongan secara rasmi.

26. Tetapi Muhyiddin lebih menitikberatkan pendekatan “kuku besi” dan berusaha mengunci mulut pejuang kebenaran dengan pelbagai taktik yang dilihat mencabul hak berdemokrasi warganegara Malaysia.

27. PAS pula sentiasa memetik dalil bagi menghalalkan segala apa yang dilakukan kerajaan, termasuk dalil Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tergamak memetik kisah Al-Qu’ran untuk menghalalkan kesalahan seorang menteri PAS yang akhirnya mengaku kesalahannya itu.

28. Banyak lagi hujah yang boleh diketengahkan bagi menjelaskan penentangan saya terhadap kerajaan gandingan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional yang terang-terang gagal, baik dari sudut Agama, sosial, ekonomi, kewangan, pendidikan, politik dan sebagainya.

29. Sebagai contoh, “Total Lockdown” yang dilaksanakan kini sudah terbukti gagal apabila negara kita mencatatkan 5,803 kes baharu pada hari ke-26 “Pelan Pemulihan Negara.

30. Satu dunia tahu kenapa Lockdown ini gagal, malah pakar-pakar dari sektor perindustrian dan perubatan serta ahli-ahli politik dari kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang sudah cuba menasihati Muhyiddin berulang kali.

31. Malangnya, Muhyiddin tidak berminat dengan sebarang rungutan atau nasihat dari mana-mana pihak dan terus melakukan apa sahaja yang difikirkannya betul biarpun perkara yang dilakukannya memudaratkan negara.

32. Malah, Muhyiddin terus membisu apabila Azmin Ali membenarkan lebih 128,000 syarikat beroperasi pada hari ketiga “Total Lockdown,” sekaligus membuktikan bahawa Muhyiddin tidak mampu mengawal menteri-menterinya yang berada di situ atas dasar sogokkan kuasa dan kedudukan.

33. Muhyiddin turut enggan mematuhi titah Yang Di-Pertuan Agong untuk diadakan sidang parlimen dalam masa terdekat, dan sikap Muhyiddin yang berdiam diri apabila Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara mencalar maruah Institusi Diraja dengan tafsiran-tafsiran palsu memarahkan lagi rakyat dan meningkatkan lagi suhu politik.

34. Banyak lagi contoh yang boleh saya berikan, tetapi saya fikir apa yang telah dihujahkan setakat ini sudah memadai, kerana penghujahan lengkap berhubung kegagalan kerajaan akan memerlukan sepuluh hingga sebelas muka surat yang saya yakin tidak akan dihayati sepenuhnya oleh ramai pembaca.

35. Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk melafazkan setinggi-tinggi penghargaan saya kepada Raja-Raja Melayu yang sudah mula mengorak langkah untuk memperbetulkan keadaan, dan berharap, agar persidangan Majlis Raja-Raja Melayu pada 30hb Jun ini akan menekankan perlunya Majlis Pemulihan Negara ditubuhkan.

WAJIB BACA: 

Ramai di sekeliling Muhyiddin sudah mula terima hakikat



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...