Keputusan Slim: Undi UMNO-PAS hanya meningkat 5 peratus (630 undi) menentang calon bebas – analisis terperinci

“Serangan Cytro (LSI) upahan terhadap saya kali ini cukup hebat setelah calon Barisan Nasional diumumkan sebagai pemenang Pilihan Raya Kecil Slim. Serangan ini dilakukan untuk mengelakkan saya daripada membuat analisis terperinci agar rakyat dapat melihat prestasi sebenar calon Barisan Nasional yang cukup tidak memberangsangkan. Inilah sebabnya…”

Raggie Jessy Rithaudeen

كڤوتوسن سليم: ڤنيڠكتن اوندي امنو-ڤاس هاڽ 5.07 ڤراتوس ﴿630 اوندي﴾ – ڤرهيتوڠن لڠكڤ

Berikut merupakan analisis pertama saya berhubung keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang berlangsung semalam, besamaan 29hb Ogos 2020:

A KAWASAN DUN SLIM 

1. Slim River merupakan sebuah pekan kecil di daerah Mualim, Perak dan berjarak 100 km dari pusat bandaraya Kuala Lumpur.




2. Kawasan DUN Slim (kemudian daripada ini dirujuk sebagai “Slim”) merupakan kubu kuat Barisan Nasional dan dimenangi oleh calon dari gabungan itu di Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menentang calon Pakatan Harapan.

3. Slim mempunyai 23,094 pengundi berdaftar merangkumi 22,815 pengundi biasa, 277 pengundi awal dan 2 pengundi di luar negara.

4. PRK Slim menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional, Mohd Zaidi Aziz dan dua calon bebas – seorang dari Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Amir Khusyairi Mohd Tanusi dan seorang lagi yang bernama Santharasekaran a/l Subramaniam (tidak berparti).

5. Bagi tujuan analisis ini dan sehingga pengesahan lanjut dibuat, saya menganggap bahawa pecahan penduduk Slim berdasarkan suku kaum adalah sama dengan pecahan suku kaum bagi pengundi yang berdaftar.

6. Justeru, pecahan pengundi Slim berdasarkan suku kaum adalah seperti berikut – Melayu-Islam (74 peratus), India (12 peratus), Cina (10 peratus), Orang Asli (1.4 peratus) dan lain-lain.

B. KEMPEN PILIHAN RAYA KECIL SLIM

7. Seperti juga di Chini, Barisan Nasional berkempen sebagai Barisan Nasional dan hampir tidak menekankan langsung konsep Muafakat Nasional sepanjang tempoh kempen di Slim.

8. Biarpun begitu, kempen Barisan Nasional kali ini lebih teliti, lebih terurus dan menggunakan lebih banyak jentera pentadbiran dari pusat berbanding di Chini walaupun hanya berdepan dengan dua calon bebas.

Loading...

9. Dan seperti juga di Chini, kempen Barisan Nasional di Slim bertumpu khususnya kepada Najib, yang dilihat mengiringi calon Barisan Nasional di hampir semua ceramah dan kunjungan rumah ke rumah.

10.Justeru, Barisan Nasional wajib meraih sekurang-kurangnya 90 peratus dari jumlah undi sah yang dikira untuk sekadar mengekalkan kedudukannya sebagai parti dominan di kubu kuatnya itu.

C KEPUTUSAN PRK SLIM (PRU14)

11. Pada PRU14, seramai 18,574 individu keluar untuk mengundi dan mewakili 80.95 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi Slim.

12. Pada PRU itu juga, sebanyak 8,327 undi memihak kepada calon Barisan Nasional manakala 4,103 lagi memihak kepada calon PAS.

13. Baki 6,144 undi pula memihak kepada calon dari Pakatan Harapan, Mohd Amran Ibrahim, yang berasal dari PKR.

14. Memandangkan PAS dan UMNO bekerjasama secara terbuka pada ketika itu, jumlah 12,430 undi yang diperolehi oleh UMNO dan PAS yang merupakan 66.92 peratus dari jumlah undi sah perlu dirujuk sebagai undi UMNO-PAS.

15. Dan memandangkan lebih 90 peratus undi “bukan Melayu” berpihak kepada Pakatan Harapan di seluruh negara di PRU14, dan disebabkan peratusan pengundi Melayu-Islam di Slim ialah 74 peratus, kita boleh anggap bahawa hampir kesemua 12,430 undi yang diperolehi oleh calon UMNO-PAS merupakan “undi Melayu-Islam.”

D. APA YANG SEHARUSNYA KITA JANGKAKAN MENERUSI KEPUTUSAN PRK SLIM (2020)

16. Jika dikaji perkara-perkara A dan B, PRK Slim 2020 seharusnya menjurus kepada dua pemerhatian penting, iaitu:

a. peningkatan dalam peratusan yang keluar mengundi, dan

b. peningkatan besar dalam jumlah undi bagi calon Barisan Nasional (sekurang-kurangnya 90 peratus dari jumlah undi sah yang dikira)

17. Memandangkan PAS dan UMNO meneruskan kerjasama mereka menerusi Muafakat Nasional selepas PRU14, calon Barisan Nasional bagi PRK Slim 2020 perlu juga dirujuk sebagai calon UMNO-PAS.

18. Justeru, segala perbandingan keputusan PRK Slim 2020 dengan keputusan PRU14 bagi kerusi Slim harus melibatkan jumlah undi yang dimenangi oleh calon-calon UMNO dan PAS di PRU14.

19. Disebabkan calon UMNO-PAS hanya berdepan dengan dua calon bebas, calon itu seharusnya meraih sekurang-kurangnya 90 peratus dari jumlah undi sah yang dikira (15,451 undi).

20. Dalam ertikata lain, UMNO-PAS wajib menunjukkan peningkatan sebanyak 12 – 13 peratus dari dari jumlah undi yang diperolehinya di PRU 14 (12,430 undi) untuk sekadar mengekalkan kedudukan mereka sebagai kumpulan dominan di Slim.

D. APA YANG KITA LIHAT MENERUSI KEPUTUSAN PRK SLIM (2020)

20. Calon UMNO-PAS hanya berjaya meraih sebanyak 13,060 undi (atau 84.53 peratus) daripada jumlah undi sah yang dikira (15,451 undi), iaitu peningkatan sebanyak 5.07 peratus (atau 630 undi) dari jumlah undi yang diperolehi oleh calon UMNO dan PAS di PRU 14.

21. Angka ini teramat rendah untuk menyokong dakwaan kononnya berlaku “gelombang perubahan ke arah Barisan Nasional” dan merupakan petanda buruk bagi Barisan Nasional.

22. Ini kerana calon PEJUANG bukan hanya berjaya mengekalkan depositnya – perkara yang hampir mustahil dicapai bagi seorang yang bergelar ‘calon bebas’ – beliau berjaya meraih satu per tiga daripada jumlah undi calon Pakatan Harapan di PRU14 biarpun parti PEJUANG hanya diumumkan kewujudannya pada 12hb Ogos 2020.

23. Manakala itu, bilangan yang keluar mengundi ialah seramai 15,796, iaitu penurunan seramai 2,778 pengundi (14.96 peratus) berbanding di PRU14.

24. Jika diperhatikan, bilangan yang “tidak keluar mengundi” ini lebih empat kali ganda dari peningkatan 630 undi bagi calon UMNO-PAS, menandakan ramai masih ragu-ragu dengan Amir Khusyairi disebabkan parti yang diwakilinya, parti PEJUANG, masih belum berdaftar.

25. Ini bermakna, jika kita ‘tambah’ 2,778 undi bagi calon PEJUANG pada Pilihan Raya Umum ke-15 (untuk tujuan perbincangan sahaja) dan setelah parti PEJUANG didaftarkan, tidak mustahil Amir akan meraih lebih banyak undi dari jumlah yang diperolehi oleh calon Pakatan Harapan di PRU14.

26.  Tidak mustahil juga sebahagian besar undi UMNO akan beralih ke parti PEJUANG di PRU15 memandangkan perpecahan yang berlaku dalam UMNO, Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional.

27. Sudah menjadi lumrah di Malaysia bagi parti yang berkait dengan kerajaan memenangi PRK tetapi kalah di PRU bagi kerusi yang sama.

E. KESIMPULAN

28. Prestasi calon UMNO-PAS di PRK Slim amat tidak memberangsangkan biarpun Barisan Nasional mengerahkan begitu banyak tenaga dan jentera pentadbiran untuk berdepan dengan dua calon bebas, di mana salah seorang daripadanya berjaya kekalkan deposit.

NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...