Dato’ Lokman Adam
Assalamualaikum w.b.t.
Teman-teman yang dikasihi. Beberapa hari kebelakangan ini saya menerima banyak whatapp memberikan pelbagai pendapat tentang peremajaan parti dan perubahan yang perlu dilakukan di dalam UMNO.
Setelah, beberapa siri kempen bertemu dengan teman-teman Pemuda UMNO di beberapa Negeri, kini saya mula sedar kenapa YB KJ menyatakan bahawa had umur Pergerakan Pemuda sewajarnya diletakkan dibawah 35 tahun. Semasa siri kempen tersebut, terus terang saya akui bahawa saya sudah seolah-olah kehilangan sentuhan dengan anak-anak muda yang mempunyai perwatakan, budaya, bahasa, pendekatan serta aspirasi yang jauh berbeza dengan generasi 40an seperti saya.
Dalam masa yang sama, terdapat pandangan dari teman-teman yang menyokong Pemantau Malaysia Baru (NGO Whistleblower), yang berpendapat bahawa saya tidak sepatutnya mengecilkan skop kumpulan sasar saya kepada Pemuda sahaja. Ini adalah kerana, ramai yang menyokong kebangkitan rakyat sekarang terdiri daripada mereka yang mempunyai pelbagai latarbelakang dan peringkat umur. Ada yang wanita, ada yang wanita muda dan ramai juga lelaki dewasa yang sudah melebihi 40 tahun.
Mereka berpendapat, saya seharusnya bertanding diperingkat MT terus, bagi membolehkan teman-teman dari semua peringkat terlibat dalam perhimpunan dan program-program yang bakal saya laksanakan selepas ini. Setelah berbincang dengan semasak-masaknya dan dengan keputusan Ketua UMNO Bahagian saya Sri Gading, Datuk Aziz Kaprawi untuk tidak mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian dan MT UMNO, saya dengan rendah kini mengumumkan bahawa saya akan menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO sahaja. Biarlah Pergerakan Pemuda dikemudi oleh generasi muda yang benar-benar memahami denyut nadi orang muda agar kita berjaya menarik minat orang muda kembali kepada UMNO.
Sungguhpun begitu, saya amat berharap sokongan seluruh rakyat Malaysia, khususnya teman-teman Pemuda UMNO untuk sama-sama turun dalam menjayakan Himpunan Pertahan Raja-Raja Melayu pada 22/6/2016 ini jam 2.00 ptg di Masjid Negara, Kuala Lumpur (Anjung mengadap Pusat Islam. Dikala orang Melayu sudah hampir hilang kuasa politiknya, Pemuda UMNO seharusnya menjadi benteng hadapan dalam mempertahankan Agama, Bangsa, Tanahair dan Raja-Raja Melayu.
Dengan menawarkan diri diperingkat Ahli Majlis Tertinggi, ianya membolehkan saya membantu dalam usaha meremajakan parti induk dan membawa skop rencana yang lebih luas dan membolehkan saya menjadi jambatan suara NGO-NGO dan orang muda diperingkat Majlis Tertinggi UMNO. Saya rayu sokongan dan undi para Perwakilan UMNO Bahagian agar dapat memberi peluang kepada saya untuk menyumbang bagi mengembalikan UMNO menjadi sebuah parti yang kuat dan sentiasa membela nasib rakyat Malaysia.
