“Asalkan calon Perikatan Nasional tidak menghadapi kes-kes Mahkamah yang berat, calon berkenaan sudah pasti akan menjadi pilihan umum kerana rakyat sudah tidak dapat lagi menerima politik Anwar yang penuh dengan muslihat, persengketaan, ketaksuban dan tipu muslihat”
Raggie Jessy Rithaudeen
كلوارڬ انور سيبوق دالمكن قبور ڤاكتن هارڤن يڠ ءسوده سياڤ دڬاليء
Bloomberg hari ini melaporkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Islmail sebagai berkata suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkemungkinan tinggi akan menerajui negara sekiranya Pakatan Harapan kembali berkuasa.
Ingin saya tegaskan di sini, jika ya pun Pakatan Harapan bercita-cita kembali berkuasa, tindakan gabungan berkenaan mencalonkan Anwar bagi jawatan Perdana Menteri akan terus menengelamkan barisan kepimpinannya yang sudahpun nyawa-nyawa ikan.
Saya tidak menolak kemungkinan Pakatan Harapan kembali berkuasa sekiranya Perikatan Nasional dibelengui masalah ketidaksepakatan sepertimana pemimpin-pemimpin dalam kerajaan terdahulu yang diterajui Pakatan Harapan.
Kita harus terima hakikat bahawa Perikatan Nasional adalah sebuah gabungan yang rapuh yang boleh runtuh pada bila-bila masa.
Jika gabungan berkenaan ingin kekal berkuasa, ianya perlu berusaha keras untuk mendapatkan keyakinan ahli-ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak serta para pengundi yang berasa tidak puas hati dengan ‘pengkhianatan’ yang berlaku, khususnya mereka dari golongan Melayu-Islam yang pro-PPBM, pro-Azmin Ali dan pro-Mahathir yang tidak kurang bilangannya.
Apa pun, pengundi secara amnya tidak boleh menerima suami Wan Azizah sebagai peneraju kerajaan dan akan terus mengundi Perikatan Nasional di Pilihan Raya Umum ke-15 jika Anwar dinamakan sebagai calon Pakatan Harapan bagi jawatan Perdana Menteri.
Saya mengaku, jika Lim Guan Eng, Lim Kit Siang, Tony Pua, Nga Kor Ming, Teresa Kok serta beberapa ahli Majlis Kepimpinan Pusat DAP tiba-tiba bersetuju “menggugurkan logo roket” dan memberi laluan kepada personaliti-personaliti Melayu-Islam yang diiktiraf bagi memenuhi jawatan-jawatan tertinggi, Pakatan Harapan akan menjadi pesaing hebat kepada Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang.
Tetapi biar apa pun yang dilakukan oleh DAP atau PKR, sekiranya Anwar dinamakan sebagai calon Perdana Menteri, imej dan reputasi Pakatan Harapan yang sudahpun berkecai akan terus menjunam ke status “kemaruk kuasa” atau “sampah politik.”
Dalam situasi sebegini, asalkan calon Perikatan Nasional tidak menghadapi kes-kes Mahkamah yang berat, calon berkenaan sudah pasti akan menjadi pilihan umum kerana rakyat sudah tidak dapat lagi menerima politik Anwar yang penuh dengan muslihat, persengketaan, ketaksuban dan tipu muslihat.
