“Bukankah pelik PAS mendiamkan syarat Zahid setelah beretorik panjang lebar kononnya PAS, UMNO dan Bersatu perlu bekerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-15?”
Raggie Jessy Rithaudeen
كنتوءي – هادي ده كنا ءسومڤيتنء زاهيد، ڤاس كيني دلندا دلمم بسر
Sebelum ini, PAS bercakap besar apabila mendakwa, parti itu tidak akan menolak UMNO dan tidak setuju dengan pendirian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bahawa Barisan Nasional adalah musuh politik.
Perkara ini dijelaskan oleh Takiyuddin Hassan, yang berkata, PAS tidak boleh menerima pendirian melabelkan kumpulan Melayu Islam yang lain sebagai “musuh utama,” kerana bukan sahaja ianya tidak wajar, malah janggal, lebih-lebih lagi kepada parti dalam kerajaan dipimpin bersama.
SENTIASA IKUTI PERKEMBANGAN POLITIK TERKINI MENERUSI www.thethirdforce.net
Namun, hari ini, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan bahawa ketika bertemu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dia mengemukakan tiga syarat sekiranya PAS mahu menjalin semula kerjasama politik dengan UMNO.
Syarat tersebut adalah PAS perlu keluar daripada Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mengumumkan secara rasmi bahawa mereka ‘mufarakah’ (berpisah) seratus peratus daripada PN dan Bersatu.
Bukankah ini serupa dengan melabelkan Bersartu sebagai “musuh” PAS, memandangkan PAS dan UMNO – andaikata kedua-dua parti ini bekerjasama – akan berperang dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15?
Bukankah pelik PAS mendiamkan perkara ini setelah beretorik panjang lebar kononnya PAS, UMNO dan Bersatu perlu bekerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-15?
Semalam, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, bahawa semua parti utama Melayu Islam, termasuk UMNO dan Bersatu, perlu terbabit bagi menjayakan agenda perpaduan ummah.
Persoalannya, tidakkah Hadi maklum bahawa Perhimpunan Agung UMNO telah menetapkan bahawa UMNO tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15?
Apakah Hadi tidak tahu bahawa keputusan ini muktamad, memandangkan perlembagaan UMNO menetapkan, bahawa sebarang keputusan yang dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO tidak boleh diatasi oleh Majlis Kerja Tertinggi partli?
Kan dah terkena ‘sumpitan’ Zahid?
