Raggie Jessy Rithaudeen
ايسو كوس ۏكسين: كڽاتأن تيمبالن منتري كواڠن اا امت منچوريڬاكن
Kerajaan hari ini menafikan bahawa kos vaksin COVID-19 untuk seorang rakyat Malaysia lebih mahal daripada yang ditampung oleh Belgium.
Menurut Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah, kerajaan Malaysia membayar RM2.05 bilion bagi perolehan 26.5 juta vaksin COVID-19 untuk diberikan kepada 26.5 juta rakyat negara ini.
“Harga bagi seorang rakyat Malaysia ialah RM77.35. Ini menunjukkan harga kita lebih rendah daripada Belgium. Saya harap penjelasan ini dapat mengelakkan kekeliruan yang timbul,” katanya.
Harga ini sebenarnya harga purata dan tidak mungkin harga sebenar, kerana Khairy Jamaluddin sudahpun mendedahkan bahawa kerajaan Malaysia membeli bekalan vaksinnya daripada enam pengeluar berbeza.
Apa pun, saya tidak yakin dengan kenyataan Mohd Shahar.
Berdasarkan laporan media, senarai harga kilang vaksin Covid-19 dari beberapa pembekal sepertimana yang didedahkan oleh seorang menteri Belgium adalah seperti berikut:
Oxford/AstraZeneca: €1.78 (£1.61).
Johnson & Johnson: $8.50 (£6.30).
Sanofi/GSK: €7.56.
Pfizer/BioNTech: €12.
CureVac: €10.
Moderna: $18.
Pada 23hb Oktober 2020, saya menulis:
Memandangkan kerajaan kini berhasrat untuk membeli bekalan vaksin bagi 82.8 peratus penduduk, jika kita andaikan kesemuanya dibeli dari Pfizer, maka harga kos yang bakal ditanggung oleh kerajaan hanya bernilai RM1.608 bilion, bukannya RM2.05 bilion.
Tetapi kerajaan Malaysia tidak membeli kesemua bekalannya dari Pfizer.
Hari ini, Khairy mengesahkan bahawa kerajaan turut mendapatkan bekalannya dari lima syarikat lain, termasuk:
1. AstraZeneca, di mana harganya 6.71 kali lebih murah dari Pfizer (rujai senarai atas), dan
2. Syarikat-syarikat dari China, yang harganya pasti jauh kurang dari Pfizer,
Sebelum ini, Khairy menjelaskan bahawa harga yang dirunding oleh kerajaan Malaysia dengan syarikat-syarikat berkenaan hanya meliputi kos kilang (ex-factory) dan tidak termasuk kos penghantaran dan penyimpanan, bermakna RM2.05 bilion yang diperuntukan oleh kerajaan Malaysia hanyalah bagi membayar syarikat dari mana vaksin itu dibeli.
Justeru, kos sebenar yang harus ditanggung oleh kerajaan Malaysia untuk pembelian vaksin (ex-factory) tidak mungkin mencecah angka RM1 bilion, bermakna kerajaan Malaysia membayar pihak tertentu lebih dua kali ganda nilai yang benar-benar perlu dibayar.
Sehingga hari ini, pendedahan menteri Belgium berkenaan tidak disangkal oleh mana-mana pembekal atau kerajaan Belgium sendiri, sekaligus menandakan ianya betul.
Maka, tidak perlulah kita bandingkan harga yang dibayar oleh kerajaan Malaysia dengan harga yang dibayar oleh Belgium, kerana kita tidak tahu jenis-jenis vaksin yang dipilih oleh kerajaan Belgium untuk tujuan pembelian.
Yang pasti, kerajaan Malaysia harus mendedahkan jumlah sebenar yang dibayar kepada setiap pembekal dan kuantiti vaksin yang dibeli dari pembekal itu.
Hanya dengan cara inilah kerajaan dapat membuktikan bahawa tidak berlaku pembayaran mencurigakan bagi tujuan pembelian vaksin.
Memandangkan Timbalan Menteri Kewangan II sudahpun mendedahkan harga purata vaksin bagi setiap rakyat Malaysia, saya tidak nampak mengapa beliau tidak boleh mendedahkan pecahan sebenar bayaran yang dibuat kepada setiap pembekal vaksin berkenaan.
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
