
“Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, dibaca bersama Perkara 32(1), Perkara 39 dan syarat Yang Di-Pertuan Agong jelas menetapkan bahawa pelantikan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri adalah bersyarat dan boleh ditarik balik pada bila-bila masa sekiranya undi percaya tidak dilaksanakan dalam masa terdekat”
Raggie Jessy Rithaudeen
اسماعيل صبري تڠڬوڠ ريسيكو جاوتن دلوچوتكن سلڤس 13 سيڤتيمبر
Sertai saluran Telegram TTF di sini
Kebelakangan ini, beberapa pihak dilihat sengaja memberi interpretasi kurang tepat berhubung peruntukan Perlembagaan Persekutuan membabitkan pelantikan Perdana Menteri dan kuasa budi bicara Yang Di-Pertuan Agong.
Sabtu lalu, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun mendakwa bahawa pelantikan Perdana Menteri baharu tidak memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain Yang Di-Pertuan Agong yang baru-baru ini melantik Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
Ini disusuli kenyaataan beberapa pihak lain yang dilihat cenderung ke arah kerajaan, di mana pihak-pihak ini menggunakan media untuk menyuarakan pendapat yang seakan-akan sama, seolah-olah interpretasi yang dibuat oleh Idrus Harun adalah tepat.
Saya percaya bahawa semua kenyataan ini adalah helah untuk menyakinkan rakyat bahawa Ismail Sabri tidak perlu menentukan keabsahannya di Dewan Rakyat agar beliau tidak akan dipersalahkan jika usul percaya tidak diadakan.
Saya juga percaya bahawa kenyataan-kenyataan ini bertujuan mengalihkan perhatian rakyat daripada titah Yang Di-Pertuan Agong yang menetapkan bahawa keabsahan Perdana Menteri perlu ditentukan di Dewan Rakyat selepas pelantikan dibuat.
Sebenarnya, pada ketika titah ini dibuat, Perdana Menteri masih belum dilantik, dan Seri Paduka Baginda Tuanku merupakan orang yang paling berkuasa di Malaysia, berdasarkan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi:
Perkara 32(1): Maka hendaklah ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, digelar Yang di-Pertuan Agong, yang hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang di dalam Persekutuan dan yang tidak boleh dikenakan apa-apa jua pun prosiding di dalam mana- mana mahkamah kecuali di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV.
Perkara 39: Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.
Ini bermakna, titah Yang Di-Pertuan Agong berhubung perlunya Perdana Menteri baharu menentukan keabsahannya di Dewan Rakyat merupakan syarat, dan syarat ini wajib dituruti oleh Ismail Sabri melainkan beliau ingin menanggung risiko jawatannya dilucutkan selepas parlimen mula bersidang.
Satu lagi kuasa yang ada pada Yang Di-Pertuan Agong dalam urusan pelantikan Perdana Menteri ialah kuasa budi bicara.
Kuasa ini termaktub dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.
Jika diperhatikan, penggunaan frasa “mungkin mendapat kepercayaan majoriti” mengesahkan bahawa bahawa Yang Di-Pertuan Agong tidak semestinya perlu yakin atau pasti bahawa calon yang dilantik sebagai Perdana Menteri memiliki sokongan majoriti pada ketika lantikan dibuat.
Frasa ini turut tidak menetapkan waktu, ketika atau tempoh di mana calon yang dilantik sebagai Perdana Menteri “mungkin mendapat kepercayaan majoriti.”
Ini bermakna, Yang Di-Pertuan Agong berhak menggunakan kuasa budi bicaranya untuk menitahkan bahawa keabsahan Perdana Menteri perlu ditentukan di Dewan Rakyat selepas lantikan dibuat bagi memuaskan hati Seri Paduka Baginda Tuanku bahawa individu yang dilantik benar-benar mendapat kepercayaan majoriti.
Kesimpulannya, Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, dibaca bersama Perkara 32(1), Perkara 39 dan syarat Yang Di-Pertuan Agong jelas menetapkan bahawa pelantikan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri adalah bersyarat dan boleh ditarik balik pada bila-bila masa sekiranya undi percaya tidak dilaksanakan dalam masa terdekat.
WAJIB BACA:
Pelantikan Muhyiddin terancang, Pilihan Raya Umum dijangka sebelum hujung tahun
