Raggie Jessy Rithaudeen
دڤ، انور عالمي كونفليك سريوس دڠن ڤڠعمومن تربارو محضير
Kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathr Mohamad semalam berhubung pembelajaran matapelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris jelas telah menimbulkan konflik pelbagai di kalangan sekutu lama DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Biarpun beberapa pihak sedang cuba mentafsirkan ‘maksud sebenar’ Mahathir, hakikatnya jelas – beliau terang-terang berkata Sains dan Matematik akan diajar dalam Bahasa Inggeris dan tidak pernah sentuh perihal ‘perbincangan’ yang bakal diadakan.
Konflk yang timbul bukan hanya melibatkan DAP dan Anwar, tetapi PKR sendiri, di mana wakil-wakil parti berkenaan mengeluarkan kenyataan yang amat bercanggah dengan kenyataan Anwar.
Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan Selangor, Mohd Najwan Halimi, dasar Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris merupakan “dasar lapuk warisan Kerajaan Barisan Nasional.”
ADUN Seberang Jaya Dr Afif Baharudin pula memetik resolusi pendidikan yang diluluskan oleh UNESCO sambil berkata pembelajaran matapelajaran terpenting di peringkat sekolah lebih sesuai diajar dalam Bahasa setempat.
Manakala itu, Lim Guan Eng ketika ditanya berkata cadangan mengenai melaksanaan semula PPSMI memang ada dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet.
Ditanya bilakah hal itu dibangkitkan, Lim memberitahu, ia berlaku “beberapa ketika dulu”.
Bagaimanapun, ketika diminta mengulas lanjut perkata tersebut, setiausaha agung DAP itu tiba-tiba tidak pasti mengenai apa yang sebenarnya dinyatakan Mahathir.
“Adakah dia menyebut mengenai PPSMI? Saya perlu semak (perkara tersebut), kerana laporan itu boleh jadi salah.”
Saya sebenarnya kurang percaya Guan Eng belum maklum tentang kenyataan Mahathir sedangkan Anwar sendiri sudahpun mngeluarkan kenyataan bersama-sama beberapa pemimpin PKR yang lain, biarpun bercanggah.
Merujuk kepada kenyataan Anwar, apabila ditanya, beliau enggan mengulas tetapi sempat berkata isu berkenaan akan dibincangkan di peringkat kabinet.
Anehnya, bukan hanya Anwar tiada jurisdiksi dalam hal-ehwal kabinet, penetapan samada PPSMI akan diteruskan atau tidak sememangnya merupakan prerogatif Mahathir.
Ini memandangkan Mahathir pada ketika ini sedang menyandang jawatan Pemangku Menteri Pendidikan dan turut merupakan Perdana Menteri Malaysia.
Ini meletakkan beliau dalam kedudukan yang teramat istimewa, di mana beliau berhak menetapkan satu-satu polisi melibatkan Kementerian Pendidikan tanpa perlu merujuk terlebih dahulu dengan Jemaah Menteri.
Persoalannya, apakah Anwar akan menentang pelaksanaan dasar PPSMI sepertimana yang dilakukannya dulu ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin masih memegang portfolio Menteri Pendidikan?
Adakah DAP yang selama ini cenderung ke arah “Malaysia Baru” yang prihatin terhadap kehendak semua kaum akan menentang dasar ini?
Sudah pasti dasar ini akan disokong oleh majoriti orang Cina yang kurang gemar penekanan yang diberikan terhadap Bahasa Kebangsaan di peringkat sekolah dan Universiti dan cenderung menghantar anak-anak mereka belajar di Institusi-institusi pengajian tinggi di Barat.
Adakah DAP sanggup menghampakan segmen pengundi ini dengan menentang dasar PPSMI jika Anwar memutuskan untuk berbuat demikian, atau adakah DAP akan memaksa Anwar menyokong PPSMI yang jelas ditolak oleh penyokong Anwar sendiri dari PKR?
Bersambung…
