
“Pada hemat saya, memandangkan Muhyiddin dituduh menerima sogokan dan bersedia mengulas tuduhan itu, adalah molek jika beliau sendiri menawarkan dirinya sebagai saksi pendakwaan”
Raggie Jessy Rithaudeen
دعوأن محي الدين تريما رم1.3 جوت: نافي د ميديا تق ڬونا، تاور سهاج ديري سباڬاي سقسي كيس رسواه زاهيد
Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar menawarkan diri sebagai saksi perbicaraan rasuah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membabitkan Sistem Visa Asing (VLN).
Ini berikutan penafian Muhyiddin bahawa beliau menerima RM1.3 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) semasa berkhidmat sebagai Menteri Dalam Negeri di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Menurut Muhyiddin, dakwaan itu – yang dibuat di mahkamah – adalah palsu.
“Saya dengan ini menyatakan bahawa saya tidak pernah menerima, secara langsung atau tidak langsung, sebarang wang daripada David Tan, saksi dari Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, pengarahnya ataupun pemegang sahamnya,” katanya dalam satu kenyataan media.
SENTIASA IKUTI PERKEMBANGAN POLITIK TERKINI MENERUSI www.thethirdforce.net
Muhyiddin mengulas keterangan Tan, yang mendakwa RM1.3 juta itu dipindahkan kepada Muhyiddin secara tunai dalam tiga transaksi pada 4 Jun, 4 Julai dan 23 Ogos 2018.
Berdasarkan laporan, Tan mengenal pasti Muhyiddin sebagai TSM yang dicatatkan dalam lejar UKSB.
Menurut Tan, projek VLN terletak di bawah bidang kuasa Muhyiddin selepas mengambil alih Kementerian Dalam Negeri daripada Zahid.
Namun, Muhyiddin berkata pada Julai 2018, dia telah menjalani pembedahan kanser dan telah bercuti selama beberapa bulan.
“Malahan pada tarikh tertentu yang dinyatakan oleh saksi kononnya saya telah menerima sogokon wang tunai, saya sebenarnya sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di luar negara.
“Adalah mustahil bagi saya menerima sebarang sogokan wang tunai daripada sesiapa dalam keadaan itu. Dakwaan tersebut ternyata tidak berasas,” katanya.
Muhyiddin menambah, beliau rela dirinya disiasat oleh SPRM.
Pada hemat saya, memandangkan Muhyiddin dituduh menerima sogokan dan bersedia mengulas tuduhan itu, adalah molek jika beliau sendiri menawarkan dirinya sebagai saksi pendakwaan.
