Buang Guan Eng, ganti dengan Anwar

Raggie Jessy Rithaudeen

Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah beberapa kali menyuarakan perlunya naratif Malaysia Baru berpaut pada asas-asas ekonomi dan bukannya retorik perkauman dan keagamaan.




Justeru, saya mencadangkan agar rombakan kabinet dibuat bagi memberikan beliau peluang untuk merangka dasar pemulihan ekonomi rakyat dan negara menerusi pelantikan beliau sebagai Menteri Kewangan bagi tempoh percubaan.

Sekiranya Anwar benar-benar melakukan sesuatu yang mampu memperbetulkan segala kepincangan dalam pentadbiran Kementerian Kewangan oleh Lim Guan Eng, bolehlah masyarakat Melayu-Islam mula yakin bahawa beliau bukan agen DAP sepertimana yang disyaki kebanyakkan pihak.

Malah, rakyat turut akan mula yakin dengan kebolehan Anwar memimpin kerajaan sekiranya dalam tiga bulan tersebut, beliau boleh mengembalikan keyakinan pelabur asing terhadap kapasiti pertumbuhan ekonomi negara yang pada ketika ini berada pada tahap kritikal.

Kesemua ini akan membuktikan Anwar bukanlah sekadar taksub dengan jawatan Perdana Menteri tetapi mempunyai kemampuan yang tidak ada pada kerajaan hari ini untuk melonjatkan ekonomi negara daripada belengu politik perkauman ekstrim.

Untuk menjayakan rancangan ini, bukan hanya Guan Eng wajib berundur dari Kementerian Kewangan, Anwar perlu beranikan diri untuk menyenaraikan kepincangan dalam pentadbiran Guan Eng dan cara-cara memperbaiki segala kerosakan dan kerugian akibat daripada kepincangan tersebut.

Tidak ada gunanya Anwar menuding jari terhadap kerajaan persekutuan ataupun bercakap besar sedangkan beliau sendiri mengaku tidak ingin sertai kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad kerana “perlu berehat” sementara menunggu dilantik menjadi Perdana Menteri.

Kenyataan sebegini sememangnya merupakan kenyataan seorang yang tidak bertanggungjawab kerana sanggup memandang begitu sahaja tatkala rakyat dihimpit dengan bebanan sara hidup biarpun mempunyai pengalaman mengendalikan kewangan negara.

Loading...

Sudah setahun setengah Pakatan Harapan memenangi pilihanraya umum ke-14 dan lebih 21 tahun semenjak Anwar dipecat dari kerajaan atas tuduhan meliwat.

Amat ceteklah sesiapa yang masih rasakan Anwar mampu mengurus tadbir negara sedangkan beliau sudah begitu lama tidak memegang jawatan dalam pentadbiran persekutuan dan tidak berminat untuk menimba pengalaman baru sebelum menjadi Perdana Menteri.

Ini sekaligus memberi persepsi seolah-olah Anwar khuatir sebarang usaha untuk membantu memperbetulkan keadaan ekonomi negara akan menguntungkan Mahathir semata-mata.

Anwar mungkin takut kedudukan Mahathir menjadi lebih kukuh apabila rakyat mula memuji kepimpinan Mahathir daripada melihat siapa yang sebenarnya ‘menyumbang’ ke arah pemerkasaan ekonomi rakyat sepertimana yang dijanjikan menerusi manifesto PH.

Sikap begini meyakinkan ramai bahawa misi Anwar sebenarnya bukanlah untuk membangunkan negara ataupun ekonomi rakyat tetapi untuk menjadi Perdana Menteri semata-mata kerana taksub dengan jawatan tersebut.

Kemelut yang melanda PKR turut tidak meyakinkan rakyat bahawa Anwar mampu menerajui kerajaan memandangkan beliau tidak lagi menguasai partinya sendiri semenjak orang-orangnya berpaling tadah dan beralih ke kem Dato’ Seri Azmin Ali.

Saya dengan ini mencabar Anwar untuk menggantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan supaya kita sama-sama dapat menilai sejauh mana kemampuan manusia yang asyik mengungkit-ungkitkan “pelan peralihan kuasa” ini membantu mengukuhkan ekonomi negara.

Put your money where your mouth is, Anwar.



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...