“Saya sarankan agar Cuepacs melakukan satu kajian terperinci bagi mendapatkan maklumbalas kakitangan awam berhubung sokongan sebenar mereka terhadap kerajaan dan Muhyiddin. Saya akan membantu Cuepacs dalam hal ini dan mewujudkan satu mekanisme secara online di mana kakitangan awam boleh mengundi secara rahsia tanpa penglibatan orang luar (mereka yang bukannya kakitangan awam)”
Raggie Jessy Rithaudeen
بيلا ڤولاق چوايڤچس بوات كاجين سمڤأي تاهو ايسي هاتي ڤنجاوات عوام؟
TTF: Sertai saluran Telegram TTF di sini
Saya merujuk kepada satu kenyataan yang dibuat oleh Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat.
Menurut Adnan, desakan Gerakan Kakitangan Awam (GKA) Malaysia agar Yang di-Pertuan Agong merehatkan tugas Perdana Menteri dan Ahli-Ahli Jemaah Menteri tidak bertanggungjawab kerana GKA tidak mewakili suara kira-kira 1.7 juta penjawat awam di seluruh negara.
“Sebagai penjawat awam, kami tetap berpegang teguh kepada kepada konsep keneutralan dan profesionalisme serta menghormati prinsip pembahagian kuasa bagi memastikan kedaulatan undang-undang dapat dipertahan dalam menjunjung Perlembagaan Persekutuan.
“Mewujudkan caretaker goverment seperti yang disarankan merupakan satu langkah sukar untuk dilaksanakan dan tidak mampu menyelesaikan masalah,” katanya.
Saya hendak bertanya kepada Adnan, apakah wajib seorang kakitangan awam menyokong kerajaan selagi kakitangan berkenaan bersikap neutral dan profesional dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanatkan kepadanya?
Saya turut ingin bertanya, apakah yang telah dilakukan oleh Cuepacs bagi mendapatkan maklumbalas daripada kakitangan awam sehingga Adnan begitu yakin bahawa Cuepacs mewakili suara penjawat awam berhubung penubuhan caretaker goverment?
Adnan perlu akur, bahawa kerajaan gandingan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional telah gagal teruk menangani penularan wabak Covid-19 dan sedang memudaratkan negara menerusi Pelan Pemulihan Negara.
Perkara ini tidak boleh dinafikan oleh sesiapa, malah segala data berhubung kegagalan kerajaan boleh diperolehi daripada beberapa sumber kerajaan, termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.
Sebagai contoh, Pelan Pemulihan Negara yang kini masuk minggu ke-8 gagal mencapai objektif utamanya untuk melandaikan graf Covid-19 dan mengurangkan kesesakan di hospital agar sistem kesihatan negara tidak lumpuh.
Kegagalan ini terbukti apabila jumlah hospital yang melaporkan kesesakan kritikal dan jumlah jangkitan baharu terus menunjukkan peningkatan ketara di sepanjang tempoh perlaksanaan PPN.
Apakah Adnan tidak nampak kegagalan ini?
Bukankah angka Covid-19 sepatutnya sudah turun ke paras dua atau satu digit hari ini jika kerajaan benar-benar mengotakan janjinya untuk menutup penuh sektor ekonomi pada 1hb Jun 2021?
Dari sudut ekonomi, makin ramai pelabur bimbang dengan keadaan politik tanah air yang bercelaru dan tidak stabil serta perlaksanaan pelbagai bentuk kekangan pergerakan yang tidak ada kesudahannya.
Kebimbangan ini menjurus kepada penyaluran keluar dana pelaburan ke negara lain dan pengurangan mendadak pelaburan terus asing ke negara ini sehingga Malaysia mencatatkan pencapaian terburuk di rantau asia tenggara.
Kesemua ini bukanlah andaian, tetapi fakta yang bersandar kepada laporan-laporan Bank Dunia dan United Nations di samping data yang boleh diperolehi daripada Bank Negara dan Bursa Malaysia.
Malah, pada 8hb Jun 2021, Fitch Solutions melaporkan bahawa risiko politik di Malaysia amat teruk disebabkan rasa tidak puas hati rakyat dengan cara kerajaan menangani wabak Covid-19.
Menurut Fitch, rasa tidak puas hati ini timbul dari peningkatan dalam penularan Covid-19, ‘lockdown’ yang berterusan dan arahan kerajaan yang mengelirukan tatkala selebriti dan ahli politik melanggar arahan-arahan ini.
Rakyat sudah meluat dengan kerajaan ini, malah dalam satu kajian yang dibuat secara online baru-baru ini, 78 peratus daripada 350,000 yang mengundi berpendapat bahawa kerajaan telah gagal.
Kegagalan ini menyebabkan rakyat makin resah, dan keresahan ini menjurus kepada satu rusuhan di Batu Pahat, satu perhimpunan “Bendera Hitam dan Patung Mayat” di Dataran Merdeka dan penyerahan memorandum kepada Istana Negara mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan.
Ini tidak termasuk berpuluh-puluh insiden di seluruh negara di mana hastag “Kerajaan Gagal” diconteng di sana sini dan mural pemimpin kerajaan serta orang kenamaan diconteng dengan kata-kata kesat.
Adakah Adnan begitu yakin bahawa 1.7 juta kakitangan awam tidak tergolong dalam kumpulan yang menolak kepimpinan Muhyiddin?
Saya sarankan agar Cuepacs melakukan satu kajian terperinci bagi mendapatkan maklum balas kakitangan awam berhubung sokongan sebenar mereka terhadap kerajaan.
Saya akan membantu Cuepacs dalam hal ini dan mewujudkan satu mekanisme secara online di mana kakitangan awam boleh mengundi secara rahsia tanpa penglibatan orang luar (mereka yang bukannya kakitangan awam).
Kemudian kita sama-sama buat congakkan untuk melihat berapa peratus kakitangan awam yang inginkan kerajaan berundur dan berapa peratus yang benar-benar setuju Muhyiddin kekal sebagai Perdana Menteri.
Apa kata Adnan?
WAJIB BACA:
