IKUTI PENJELASAN LANJUT DI SINI (KLIK DI SINI)
Raggie Jessy Rithaudeen
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dilaporkan meluluskan usul pindaan Perlembagaan BERSATU yang dibuat pada Perhimpunan Agung Khas (EGM) parti itu, 2 Mac lalu.
Ini menurut Ketua Armada BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang mengesahkan di Facebook bahawa ROS sudah meluluskan pindaan terbabit.
Menurut Wan Fayhsal, pindaan itu membolehkan Bersatu mengambil langkah seterusnya untuk mengosongkan enam kerusi Parlimen, sekaligus mencetuskan Pilihan Raya Kecil (PRK).
“Alhamdulillah, ROS telah meluluskan permohonan pindaan Perlembagaan BERSATU yang membolehkan kami mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen yang telah menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Langkah seterusnya, mengosongkan kerusi-kerusi mereka ini untuk PRK peringkat Parlimen,” katanya.
Bagi saya, dakwaan bahawa Bersatu boleh “mengosongkan kerusi-kerusi (enam MP) untuk PRK peringkat Parlimen” cuma andaian semata-mata.
Ini kerana, isu sebenar yang menjadi pertikaian ialah sokongan enam MP Bersatu terhadap Perdana Menteri, yang bertentangan dengan dasar parti.
Namun, hak MP untuk menentukan, secara peribadi dan pada bila-bila masa, status sokongan kepada Perdana Menteri boleh dirumuskan dengan jelas daripada peruntukan perlembagaan persekutuan.
Untuk makluman, perkara-perkara yang berkait dengan hak ini tidak pernah dipinda untuk dikaitkan dengan parti mahupun pindaan perlembagaan persekutuan berhubung “lompat parti.”
Malah, tidak ada sebarang pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung “lompat parti” yang mampu mencabul atau mengatasi hak berkenaan.
Justeru, jika perlembagaan parti dipinda untuk diselaraskan dengan Perlembagaan Persekutuan berhubung “lompat parti”;
1. seorang MP mungkin hilang kerusi di Dewan Rakyat jika pindaan parti menjelaskan bagaimana MP itu “dianggap telah keluar parti” kerana melanggar dasar parti.
2. Namun, jika MP berkenaan memutuskan secara peribadi sokong atau tidak Perdana Menteri, walaupun keputusan itu melanggar dasar parti, MP tersebut tidak perlu mengosongkan kerusi.
Inilah pucuk pangkal soal “pindaan perlembagaan parti,” dan saya percaya, pakar-pakar perundangan dari Pakatan Harapan, Barisan Nasional mahupun Perikatan Nasional semua faham akan perkara ini.
Jadi kenapa Bersatu beriya-iya hendak enam MP mereka kosongkan kerusi di Dewan Rakyat, dan adakah Speaker Dewan akan melayan permintaan Bersatu?
IKUTI PENJELASAN LANJUT DI SINI (KLIK DI SINI)
