“Saya mencabar Aziz dan Anwar buat laporan polis sekiranya dakwaan saya palsu. Saya turut mencabar Aziz mengemukakan 100 akuan bersumpah sahih bagi tatapan umum selewat-lewatnya petang Rabu ini sebagai bukti Anwar memiliki sokongan ahli parlimen dalam bilangan tersebut”
Raggie Jessy Rithaudeen
EXCO DAP Perak Aziz Bari sudah mula belajar menipu ala Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana terdesak inginkan Anwar menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Ini berikutan kegagalan sekumpulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang bersekutu dengan Nga Kor Ming, Anwar dan Lim Kit Siang (kemudian daripada ini dirujuk sebagai “kem Anwar-DAP”) menggulingkan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, menerusi undi tidak percaya.
Rancangan jahat mereka terbongkar menerusi satu klip video di mana Aziz didengar berkata beberapa Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bertemunya untuk menyingkirkan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak.
“Mereka nak Peja (Ahmad Faizal) dibuang, dijatuhkan dan (ganti) MB baru. So dia cadang jumpa saya, cadangkan saya (sebagai MB baru). Saya kata okeylah. Jadi inilah tujuan (pertemuan).
“Lepas ada orang yang cukup ini akan jumpa dengan Tuanku (Sultan Perak) dan the rest (selebihnya)…,” katanya menerusi rakaman video tersebut.
Aziz menyertai DAP pada tahun 2015 dan merupakan Adun penggal pertama.
Saya dengan ini mengesahkan bahawa Aziz sememangnya bersekutu dengan Kit Siang, Anwar Ibrahim dan Kor Ming dan terlibat dalam satu percubaan untuk menggulingkan Ahmad.
Malangnya, percubaan tersebut gagal apabila beberapa ADUN DAP dan AMANAH mula menjauhkan diri dari komplot tersebut, sekaligus menyebabkan kem Anwar-DAP tidak cukup korum.
Anwar pula panik melihatkan majoriti ahli parlimen PKR kini sudahpun bersama Azmin dan tahu bahawa Mahathir dan Azmin menguasai parlimen secara keseluruhan, termasuk sepuluh ahli parlimen DAP dan majoriti MP dari PPBM, Sarawak, Sabah, AMANAH dan juga UMNO.
Ya, UMNO.
Anwar turut maklum bahawa kesemua ahli parlimen PAS menyokong Mahathir biar apapun yang dikatakan kepimpinan pusat parti tersebut dan tahu bahawa PAS bersetuju dengan konsep gabungan berteraskan Melayu-Islam tanpa DAP, AMANAH dan Anwar.
Terdesak, kem Anwar bertindak meminta Aziz sebarkan berita palsu kononnya Anwar sudah memiliki sokongan lebih 100 ahli parlimen dan hanya memerlukan 12 lagi ahli dari Sabah dan Sarawak untuk menggulingkan Mahathir.
Anwar tahu dia harus menggulingkan Mahathir secepat mungkin memandangkan fail-fail siasatan perihal salahlaku beliau dan anak Kit Siang bertimbun di Bukit Aman, SPRM dan juga di atas meja Mahathir.
Anwar turut tahu bahawa Mahathir teramat berkuasa pada ketika ini menyebabkan dia terpaksa bergantung pada perang persepsi bagi mengaburi mata seberapa ramai ahli parlimen yang mungkin.
Malangnya, apa yang beliau suruh Aziz buat langsung tidak masuk akal ataupun berpaksi pada realiti.
Sekiranya benar Anwar memiliki sokongan 100 ahli parlimen, sudah pasti beliau boleh mendapatkan 100 akuan bersumpah dari ahli-ahli parlimen tersebut bagi meyakinkan 12 ahli lagi untuk turunkan tandatangan mereka.
Ya, mustahil Anwar tidak mampu dapatkan sokongan 12 orang MP sebelum hujung minggu ini jika beliau mengikut petunjuk saya dan mendapatkan 100 akuan bersumpah tersebut selewat-lewatnya petang Rabu ini.
Tetapi Anwar tahu dia tidak mampu lakukan demikian kerana kumpulan saya sahaja sudahpun memiliki satu timbun akuan bersumpah ahli-ahli parlimen yang kononnya berasal dari kem Anwar tetapi sememangnya tidak menyokong beliau.
Justeru, saya mencabar Aziz mengemukakan 100 akuan bersumpah sahih bagi tatapan umum selewat-lewatnya petang Rabu ini sebagai bukti Anwar benar-benar memiliki sokongan ahli parlimen dalam bilangan tersebut.
Saya memberi jaminan kepada Aziz bahawa beliau tidak akan rugi berbuat demikian kerana akuan-akuan bersumpah tersebut akan terus meyakinkan 20 hingga 30 orang ahli parlimen lain untuk turut menurunkan tandatangan mereka.
Dengan cara ini, tidak mustahil Anwar boleh mengadap Yang di-Pertuan Agong pagi Jumaat ini bagi mempersembahkan 120-130 akuan bersumpah untuk pertimbangan Tuanku sebelum diangkat menadi Perdana Menteri Malaysia ke-8.
Kalau Aziz tak mampu buat, sila duduk diam-diam, tak usah buat dakwaan palsu.
