“Anwar boleh meminta diri buat seketika dan keluar daripada bilik persidangan apabila kes Najib diputuskan, dan Anwar boleh meminta Lembaga Pengampunan untuk merekodkan ketidaklibatan beliau dalam proses membuat keputusan berhubung petisyen pengampunan Najib”
Raggie Jessy Rithaudeen
انور واجب دودوق دالم لمباڬ ڤڠامڤونن، تاڤي ڤرلو مينتا ديري بيلا ڤتيشن نجيب دبينچڠكن
UNTUK BERITA TERKINI, SERTAI TELEGRAM TTF DI SINI
Saya bersetuju dengan pendapat Pertubuhan Aliran bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak sepatutnya terlibat dalam siasatan terhadap hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berhubung dakwaan dakwaan percanggahan kepentingan.
Saya juga bersetuju bahawa Menteri undang-undang, Azalina Othman, sepatutnya menjelaskan perkara ini kepada peguam Najib, Tan Sri Mohamad Shafee Abdullah.
TONTON: KEPUTUSAN TERKINI TINJAUAN: 93% TIDAK PILIH ANWAR KEKAL PM, 25% MAHU PARLIMEN BUBAR
Dalam surat bertarikh 15 Mac, Shafee telah mengemukakan tiga soalan kepada Azalina, termasuk sama ada Mohd Nazlan mempunyai percanggahan kepentingan.
Azalina menjawab surat itu pada 20 Mac dengan menyatakan bahawa “jawapan kepada soalan (yang telah diujarkan) adalah afirmatif”.
Ini bermakna, Azalina ‘mengesahkan’ kepada Shafee bahawa Hakim Nazlan telah melanggar kod etika guaman berdasarkan ‘penemuan’ SPRM yang disampaikan kepada Ketua Hakim Negara.
Ini tidak seharusnya berlaku.
Sebaliknya, Azalina patut menjelaskan kepada Shafee bahawa SPRM telah melangkaui bidang kuasanya apabila menyiasat Hakim Nazlan berhubung kod etika guaman.
Tindak tanduk Azalina dan SPRM bukan hanya mencurigakan, ia bersempadangkan penghinaan mahkamah dan seolah-olah terancang untuk menimbulkkan naratif palsu kononnya kehakiman bersikap tidak adil terhadap Najib.
UMNO juga tergesa-gesa mendesak pengampunan awal buat Najib, menggunakan hanya satu pendapat bercanggah dalam proses penghakiman kes SRC melibatkan sejumlah 14 hakim terpelajar dari peringkat Mahkamah Tinggi hingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan.
Saya kongsi kebimbangan Aliran bahawa kesemua perkembangan ini kelihatan seperti kempen bersepadu memanipulasi fakta dan maklumat tentang fungsi sistem pentadbiran keadilan dan percubaan menjejaskan kemuktamadan proses di peringkat Mahkamah Persekutuan.
Sememangnya, isu “konflik kepentingan” Hakim Nazlan sudah lama dimuktamadkan, dan pemenjaraan Najib dimuktamadkan menerusi keputusan 13 hakim terpelajar, empat daripadanya atas permintaan Najib sendiri untuk menyemak penghakiman terdahulu di peringkat Mahkamah Persekutuan.
Tetapi saya tidak bersetuju bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim harus menarik diri daripada sebarang pembabitan dalam lembaga pengampunan atas dasar beliau sendiri boleh berada dalam keadaan percanggahan kepentingan.
Memang, desakan UMNO agar Najib diampun bersandar kepada fakta yang dimanipulasi, dan ini menimbulkan persoalan samada Anwar, sekutu UMNO dalam kerajaan, mampu melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ahli panel Lembaga Pengampunan tanpa prejudis dan tanpa pilih kasih.
Namun, dari sudut perundangan, penglibatan Anwar dalam Lembaga Pengampunan adalah wajib bagi memastikan persidangan Lembaga Pengampunan sah di sisi Perlembagaan Persekutuan.
Perlu diingatkan, Anwar akan duduk dalam Lembaga Pengampunan bukan atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri, tetapi bagi menjaga portfolio Menteri Wilayah Persekutuan.
Ini kerana Anwar telah menstruktur semula Kementerian Wilayah Persekutuan sebagai Jabatan Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri, dan sehingga kini, belum menamakan ketua jabatan berkenaan atau menteri yang bertanggungjawab.
Tidak ada mana-mana perkara atau fasal dalam Perlembagaan Persekutuan atau mana mana keputusan mahkamah terdahulu yang membolehkan Lembaga Pengampunan menggantikan tempat Anwar dengan orang lain atas apa jua sebab, termasuk “konflik kepentingan.”
Namun, masih ada opsyen yang boleh dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan bagi memastikan bahawa tidak wujud konflik kepentingan apabila petisyen pengampunan Najib dipertimbangkan, antaranya:
1. Anwar boleh meminta diri buat seketika dan keluar daripada bilik persidangan apabila kes Najib diputuskan
2. Anwar boleh meminta Lembaga Pengampunan untuk merekodkan ketidaklibatan beliau dalam proses membuat keputusan berhubung petisyen pengampunan Najib, dan
3. Anwar boleh meminta agar rekod ini diumumkan kepada semua agar tidak timbul syak berhubung peranan beliau dalam proses pertimbangan petisyen pengampunan Najib.
Rekod ini boleh dipertimbangkan oleh Yang Di-Pertuan Agong setelah Lembaga Pengampunan mencapai keputusan, bersandar kepada kuasa budi bicara mutlak yang ada pada Seri Paduka Baginda Tuanku untuk membuat keputusan akhir.
Maknanya, tidak timbul masalah sekalipun keputusan Lembaga Pengampunan tergantung disebabkan ketidaklibatan Anwar.
Ini kerana Yang Di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara mutlak untuk membuat keputusan sendiri yang tidak menurut nasihat yang diberikan oleh Lembaga pengampunan.
