“Dalam satu “retreat PKR” yang diadakan di Port Dickson, Anwar menzahirkan sokongan padunya terhadap kepimpinan Mahathir, sambil menjelaskan, Mahathir berhak menentukan masa yang paling sesuai untuk berundur memandangkan banyak isu negara perlu ditangani”
Raggie Jessy Rithaudeen
انور برنية جاهت ترهادڤ ڤينتادبيران محضير دري اول لاڬي
Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan antara pencetus Langkah Sheraton, apabila menimbulkan suasana tegang dalam kerajaan dengan melobi sokongan ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan dan UMNO untuk jawatan Perdana Menteri.
SENTIASA IKUTI PERKEMBANGAN POLITIK TERKINI MENERUSI www.thethirdforce.net
Selain mengadakan sidang-sidang media untuk mewar-warkan sokongan majoriti ketika Pakatan Harapan masih berkuasa, orang-orang di sekeliling Anwar pernah membuat akuan bersumpah palsu dengan nama Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kononnya kedua-dua pemimpin ini bersetuju Anwar dijadikan Perdana Menteri.
TONTON: HANIFF KHATRI MEMBONGKAR FAKTA SEBENAR PELETAKAN JAWATAN TUN MAHATHIR
Akuan-akuan bersumpah ini pernah saya dedahkan pada 18hb Julai 2019, sehari selepas saya ditemui oleh seorang ahli PKR yang berjawatan penting.
Sejam dua selepas pendedahan ini dibuat, kedua-dua Muhyiddin dan Zahid membuat penafian bahawa mereka menandatangani akuan bersumpah bagi menyokong Anwar.
Saya mempercayai Zahid dan Muhyiddin, kerana akuan-akuan bersumpah berkenaan sememangnya palsu dan dimiliki oleh orang-orang di sekeliling Anwar.
Percubaan Anwar untuk mengumpul akuan-akuan bersumpah sokongan daripada ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan dan UMNO, termasuk dari Kluster Mahkamah, merupakan sebahagian daripada usaha untuk menekan Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.
Usaha ini dimulakan hanya beberapa bulan selepas Pakatan Harapan berjaya mengambil alih tampuk kepimpinan negara, sekaligus menimbulkan persoalan kenapa Anwar tergesa-gesa menjadi Perdana Menteri, sedangkan otai-otai Anwar sendiri mendakwa Mahathir berjanji untuk menyerahkan kuasa selepas dua tahun.
Apa pun, kewujudan “perjanjian dua tahun” ini akhirnya dinafikan oleh Anwar sendiri.
Malah, dalam satu “retreat PKR” yang diadakan di Port Dickson, Anwar menzahirkan sokongan padunya terhadap kepimpinan Mahathir, sambil menjelaskan, Mahathir berhak menentukan masa yang paling sesuai untuk berundur memandangkan banyak isu negara perlu ditangani.
Pada 4hb April 2022, saya menulis;
Dengan mengungkit-ungkit isu peralihan kuasa hampir setiap hari dan mengadakan sidang-sidang media bagi mengumumkan sokongan ahli-ahli parlimen terhadapnya, Anwar berjaya menakutkan hampir kesemua pemimpin PPBM.
Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil kesempatan terhadap ketakutan ini dengan mengusulkan pengunduran PPBM dari Pakatan Harapan, kononnya untuk mencantas komplot jahat Anwar terhadap kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ternyata tipu helah Muhyiddin berjaya apabila kerajaan pimpinan Pakatan Harapan berjaya ditumbangkan, dan kesemuanya disebabkan sikap kemuaruk kuasa Anwar dan Muhyiddin yang memudaratkan politik negara hingga ke hari ini.
Namun, bagi mengelirukan rakyat, Anwar dan otai-otainya menuding jari terhadap Mahathir kerana meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan menuduhnya memungkiri janji yang terkandung dalam “Pelan Peralihan Kuasa.”
Jadi Anwar menipu?
Anwar sah menipu.
Bukan itu sahaja, Anwar tidak ingin rakyat tahu bahawa beliau sendiri gagal menuruti salah satu daripada syarat yang terkandung dalam dokumen bertarikh 6hb Januari 2018, yang ditandatangani oleh Mahathir bersama pemimpin-pemimpin parti-parti komponen Pakatan Harapan.
Dalam dokumen tersebut, yang diterbitkan semula pada 26hb April 2021 oleh The Third Force untuk tatapan umum, terdapat satu perengan penting yang berkait dengan isu peralihan kuasa, yang berbunyi:
“Untuk memperkukuh kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan dan memperteguh muafakat antara parti-parti anggota, proses undang-undang untuk mendapatkan pengampunan Diraja bagi membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dimulakan segera, selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara, agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat segera berperanan dalam Kerajaan Persekutuan dan kemudiannya diangkat sebagai calon Perdana Menteri ke-8.”
Perhatikan bahagian yang dihitamkan. Ianya membawa makna:
1. Selepas dibebaskan, Anwar perlu berperanan terlebih dahulu dalam kerajaan pimpinan Mahathir
2. Kemudian, selepas satu tempoh, Anwar akan diangkat sebagai calon Perdana Menteri, bukannya Perdana Menteri.
Tidak ada sebarang tarikh atau tempoh yang ditetapkan, dan tidak ada sebarang penetapan yang berbunyi, “Anwar akan diangkat sebagai Perdana Menteri selepas dua tahun.”
Hakikatnya, pelantikan Perdana Menteri hanya boleh dibuat oleh Yang Di-Pertuan Agong berpandukan sokongan majoriti ahli-ahli parlimen, dan dalam tempoh 22 bulan Mahathir menjadi Perdana Menteri, Anwar gagal mendapat sokongan majoriti ahli-ahli parlimen walaupun berusaha berulang kali untuk mengumpul akuan-akuan bersumpah.
Malah, bukan hanya Anwar gagal berperanan dalam kerajaan, beliau secara terbuka menolak sebarang tawaran untuk berkhidmat dalam kerajaan, berbekalkan alasan kononnya beliau “ingin berehat” dan menunggu masa untuk “mengambil alih” tampuk kepimpinan negara.
Bukankah ini melanggari syarat persefahaman yang dicapai?
Kenapa Mahathir letak jawatan?
(rujuk juga penjelasan dari sudut perundangan oleh Haniff Khatri menerusi video di hujung bawah, atua klik di sini)
Mahathir berpegang kepada prinsip dan tidak ingin mengkhianati asas perjuangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Bagi Mahathir, Pakatan Harapan bertungkus lumus untuk mengalahkan Kleptokrat UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14, dan adalah tidak wajar untuk beliau bekerjasama dengan pihak yang dikalahkannya.
Disebabkan itu, Mahathir tidak bersetuju untuk bersama Muhyiddin dan PPBM membentuk kerajaan ‘Melayu-Islam’ bersama Kleptokrat UMNO dan PAS.
Justeru, apabila Muhyiddin membawa PPBM keluar daripada Pakatan Harapan, kerajaan pimpinan Mahathir tidak lagi memiliki majoriti yang diperlukan untuk mentadbir urus negara.
Atas sebab itulah Mahathir meletakkan jawatan – ianya bukan pilihan, tapi kewajipan berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Inilah yang Anwar dan otai-otainya gagal jelaskan kepada rakyat.
Jadi Mahathir mempertahankan mandat rakyat dan asas perjuangan Pakatan Harapan?
Ya, dan pihak yang mengkhianati mandat rakyat dan asas perjuangan Pakatan Harapan tidak lain dan tidak bukan Anwar Ibrahim.
Mahathir enggan bekerjasama dengan Kluster Mahkamah, tetapi orang-orang Anwar mengadakan rundingan demi rundingan dengan bebrapa ahli Kluster Mahkamah bagi membincangkan kemungkinan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan membentuk Jajaran Politik Baharu.
Keakraban Anwar bersama ahli-ahli Kluster Mahkamah menjadi nyata apabila Anwar berjaya meraih sokongan bertulis daripada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Anwar melakukan semua ini selepas ‘menendang’ Mahathir keluar dari jawatan Pengerusi Pakatan Harapan, biarpun tahu bahawa Mahathir bukan lagi pengerusi PPBM dan mempertahankan maruah dan asas perjuangan Pakatan Harapan.
Ini menjadikan Anwar pengkhianat mandat rakyat, dan semua ini mencadangkan bahawa Anwar bersekongkol dengan dengan Kluster Mahkamah dari awal lagi – barangkali sebelum Langkah Sheraton lagi – untuk mencapai impiannya menjadi Perdana Menteri.
Maka tidak hairanlah Anwar tidak ingin berkhidmat dalam kerajaan pimpinan Mahathir, dan tidak hairanlah Anwar dan otai-otainya menipu berhubung “Pelan Peralihan Kuasa” yang mula diwar-warkan tidak sampai tiga bulan selepas Mahathir menjadi Perdana Menteri.
