
“Najib dan Azalina tidak sehaluan dalam perkara-perkara asas yang menjadi tunjang kepada desakan kem Kluster Mahkamah – iaitu Kluster Mahkamah dan sekutu mereka – agar PRU diawalkan”
Raggie Jessy Rithaudeen
السن ڤرو اول – سياڤا برچاكڤ بنر، نجيب اتاو ازلينا؟
Barisan Nasional (BN) tidak boleh mentadbir negara dengan kuasa hibrid seperti sekarang, sebaliknya, memerlukan kuasa mutlak selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebab “tak tahu siapa kita boleh percaya” jika mentadbir dengan kuasa hibrid.
Demikian menurut Datuk Seri Najib Tun Razak, yang berkata, pembangkang ketika ini dalam keadaan caca marba, dan ini memberi kelebihan kepada Barisan Nasional untuk menang PRU15.
Berdasarkan kenyataan Najib:
1. BN akan menang PRU15 disebabkan pembangkang tidak bersatu,
2. BN mungkin menang besar,
3. BN mahu mentadbir urus negara secara solo kerana tidak suka berkongsi kuasa dengan pihak lain, dan
4. BN akan mentadbir urus negara secara solo selepas PRU15, tanpa perlu bekerjasama dengan parti musuh
Namun, menurut ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, jika BN mahu menang besar, gabungan itu perlu bersedia untuk berunding dengan pihak yang berkongsi titik persamaan, termasuk parti musuh.
SENTIASA IKUTI PERKEMBANGAN POLITIK TERKINI MENERUSI www.thethirdforce.net
“Walaupun kita menganggap mereka sebagai musuh atau kita tidak melihat mereka sebagai kawan, kita perlu mempertimbangkan pilihan (menyertai pakatan) jika kita mahukan kemenangan 148 kerusi,” katanya.
Berdasarkan kenyataan Azalina;
1. BN mungkin berdamping dengan musuh sebelum atau selepas PRU15, dan
2. BN mungkin membentuk kerajaan campuran selepas PRU15.
Ini sebenarnya mirip apa yang saya katakan selama ini, iaitu BN berkemungkinan tinggi akan membentuk kerajaan campuran bersama Pakatan Harapan selepas PRU15.
Cuma bezanya, Azalina menganggap bahawa BN akan menang PRU15, manakala saya yakin bahawa BN akan kalah lebih teruk berbanding PRU14 sekiranya lebih 85 peratus keluar mengundi, sekaligus bermakna BN terpaksa bersetuju untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan selepas PRU15.
Persoalannya, jika UMNO merasakan perlu untuk membentuk kerajaan campuran selepas PRU15 (berdasarkan kenyataan Azalina, selaku ahli MKT), bukankah lebih baik UMNO mengekalkan serta mengukuhkan kerajaan yang sedia ada, memandangkan kerajaan ini merupakan kerajaan campuran yang dikawal sepenuhnya oleh Perdana Menteri UMNO?
Di sini sahaja kita dapat melihat bahawa alasan untuk mengadakan PRU awal sebenarnya direka (rujuk juga video di hujung bawah atau klik di sini) atas keterdesakan Najib, ahli-ahli Kluster Mahkamah dan sekutu mereka dalam UMNO.
Malah, Najib dan Azalina tidak sehaluan dalam perkara-perkara asas yang menjadi tunjang kepada desakan “kem Kluster Mahkamah” – iaitu Kluster Mahkamah dan sekutu mereka – agar PRU diawalkan, dan perkara ini akan saya ulas dalam live 9 malam esok (2 Jun 2022) di YouTube Raggie Jessy Rithaudeen.
Semalam, saya menulis:
Sebenarnya, Najib dan saya pernah membincangkan hal-hal berkaitan Pilihan Raya Umum ke-14 secara peribadi tidak lama selepas Barisan Nasional tumbang.
Pada ketika itu, saya disajikan dengan banyak maklumat salah sehingga bersetuju untuk menyokong Najib.
Ketika bertemu Najib, saya memeberitahunya, jika Barisan Nasional ingin menang Pilihan Raya Umum ke-14, sepatutnya, ia diadakan selepas Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang diadakan serentak pada 2016.
Ini kerana Pilihan Raya Kecil itu menunjukkan peralihan undi Cina ke Barisan Nasional dan peningkatan prestasi Barisan Nasional secara keseluruhan.
Najib bersetuju dengan kenyataan saya, dan berkata, dia sendiri pernah memikirkan perkara itu, namun ada pihak yang terlalu yakin bahawa Barisan Nasional boleh menang jika Pilihan Raya Umum ke-14 diadakan pada 2017.
Apa pun, di Kuala Kangsar dan Sungai Besar, Barisan Nasional menunjukkan peningkatan sebenar dalam sokongan biarpun ramai yang keluar mengundi.
Namun, sokongan ini merosot dengan begitu cepat setelah harga barang mula melambung naik dan nilai matawang merosot setelah DoJ mengumumkan penemuannya berhubung skandal 1MDB.
Kini, Kluster Mahkamah menggunakan alasan kononnya Pilihan Raya Negeri Johor merupakan bukti rakyat ingin Barisan Nasional kembali mentadbir negara.
Di Johor, Barisan Nasional mencatatkan majoriti lebih dua per tiga setelah Dewan Undangan Negeri dibubarkan dan Pilihan Raya Negeri diadakan, biarpun Johor sebelum itu ditadbir oleh Barisan Nasional dan tidak pernah diancam oleh mana-mana perkumpulan politik.
Namun, kemenangan Barisan Nasional di Johor tidak mencerminkan “mandat sebenar rakyat,” kerana hampir 50 peratus pengundi berdaftar tidak keluar mengundi dan lebih 75 peratus pengundi berdaftar tidak memilih Barisan Nasional.
Ini bermakna, kerajaan yang memimpin Johor pada ketika ini bukanlah “kerajaan mandat rakyat” dalam ertikata sebenar, dan pada ketika ini sahaja, sudah bermula ketegangan di kalangan pemimpin kerajaan Johor disebabkan pergelutan dalaman bagi jawatan Menteri Besar.
Rumusannya, apabila sesebuah kerajaan tidak ditubuhkan atas “mandat sebenar rakyat,” akan berlaku risiko ketidakstabilan memandangkan mereka yang dipilih bukannya pilihan sebenar majoriti pengundi berdaftar.
Ramai menjangkakan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 akan menyaksikan peningkatan mendadak dalam jumlah yang keluar mengundi.
Hakikatnya, ramai tidak keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri kerana termakan dengan kata-kata Kluster Mahkamah kononnya akan berlaku Pilihan Raya Umum awal.
Justeru, majoriti rakyat Malaysia sedang menunggu Pilihan Raya Umum ke-15, dan jika ramai keluar mengundi, Barisan Nasional tidak mungkin akan menang.
Ini adalah kepastian, memandangkan prestasi sebenar Barisan Nasional merosot di Johor berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 walaupun Barisan Nasional menang dengan majoriti dua per tiga.
Di samping itu, harga barang kembali melonjak naik berlipat kali ganda berbanding zaman Najib, dan nilai matawang negara berada pada tahap yang amat buruk dan dijangka terus merosot sebelum hujung tahun.
Berdasarkan pengalaman pada Pilihan Raya Umum ke-14, lebih ramai akan menolak UMNO kerana marah dengan peningkatan kos sara hidup dan perosotan dalam kuasa membeli disebabkan perosotan nilai matawang.
Kesimpulannya, tidak ada apa-apa rasional bagi mengadakan Pilihan Raya Umum awal, dan saya mengesyaki bahawa Najib terdesak memandangkan kes rasuahnya akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan tidak lama lagi.
Kenyataan terkini Najib barangkali ditujukan kepada Datuk Seri Ismail Sabri, yang baru-baru ini memberi gambaran bahawa kerajaan tidak tergesa-gesa untuk mengadakan Pilihan Raya Umum.
Saya menyokong jika kerajaan pimpinan Ismail Sabri diberi mandat untuk terus mentadbir urus negara sehingga penggal penuh parlimen ke-14 tamat pada 2023, melainkan Yang Di-Pertuan Agong mendengar keluhan rakyat dan menubuhkan “Majlis Pemulihan Negara” versi Tun Dr Mahathir Mohamad atau “The Rakyat’s Council” setelah mengisytiharkan Darurat Politik.
