“Bukankah Anwar terbabit dengan usaha demi usaha menyhah-stabilkan ‘kerajaan-kerajaan YDPA’ terdahulu, menerusi sidang-sidang media dan perhimpunan-perhimpunan serta demonstrasi-demonstrasi yang menghasut rakyat untuk menentang kerajaan, termasuk demonstrasi yang menghasut rakyat untuk mencetuskan rusuhan “Malaysian Spring” ala “Arab Spring?”
Raggie Jessy Rithaudeen
“Dia (Abdul Hadi) punya kiraan tak betul… yang penting bukan soal jumlah majoriti Melayu, (sebaliknya) yang penting dasar, di mana dasar yang (sebelum ini) kita tinggalkan Melayu, yang kita khianati orang Melayu, kita curi harta Melayu, curi saham, curi projek-projek.”
Demikian menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, merujuk kepada pandangan Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa PH tidak layak menjadi kerajaan dan memimpin negara kerana gabungan itu didominasi parti bukan Islam.
Namun, kenyataan Anwar mengundang beberapa persoalan penting, antaranya:
1. Dasar manakah yang rakyat perlu rujuk untuk yakin bahawa kerajaan ini layak memerintah dan memelihara kepentingan Melayu-Islam?
2. Bila Anwar merujuk kepada dasar sebelum ini yang melibatkan pengkhianatan orang Melayu, adakah Anwar turut merujuk kepada dirinya sendiri?
Setahu saya, dasar-dasar kerajaan pimpinan Anwar langsung tidak meyakinkan sesiapa bahawa kerajaan ini layak memerintah, malah saya berpendapat bahawa kerajaan ini tidak memihak kepada Melayu-Islam.
Berikut merupakan antara dasar-dasar kerajaan pimpinan Anwar yang saya maksudkan:
DASAR NEPOTISME
1. Anwar mengamalkan dasar nepotisme menerusi ‘lampu hijau’ yang diberikan kepada semua menteri untuk melibatkan ahli keluarga.
2. Anwar sendiri tiada masalah apabila anaknya sendiri menjadi penasihat Perdana Menteri
3. Kesemua ini meningkatkan kemungkinan berlaku ketirisan dan/atau salah guna kuasa yang diselindungi daripada pengetahuan umum
DASAR KRONISME, PILIH KASIH
4. Anwar gagal memulakan siasatan terhadap semua pemimpin yang berkait dengan skandal LCS, termasuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sepertimana dituntut oleh Pakatan Harapan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15
5. Sebaliknya, Anwar menaikkan Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri meskipun Zahid berdepan 47 pertuduhan jenyayah.
6. Ini menggambarkan dasar ‘kronisme’ dan ‘pilih kasih’ kerajaan, di samping mengundang risiko peguam negara tertekan untuk menggugurkan kes Zahid dan mahkamah tertekan untuk melepas dan membebaskan Zahid.
DASAR ‘TIDAK PEDULI’
7. Disebabkan pelantikan Zahid, ramai di kalangan rakyat Malaysia berkebarangkalian tinggi akan hilang kepercayaan terhadap sistem keadilan di negara ini sekiranya kes Zahid digugrkan atau Zahid didapati tidak bersalah.
8. Tetapi Anwar tidak peduli dan terus mengekalkan Zahid, dan saya percaya dassar tidak peduli inilah yang menyebabkan ramai tidak percaya dengan kerajaan dan retorika kononnya kerajaan ini serius memerangi rasuah.
DASAR ‘TIDAK MESRA’ PELABUR
9. Perkara (4) dan (5) sahaja menggambarkan dasar pentadbiran yang tidak mesra pelabur, kerana semestinya, ada pelabur yang akan teragak-agak untuk melabur di Malaysia apabila melihat ‘orang nombor dua kerajaan’ terpalit skandal dan berdepan 47 pertuduhan jenayah
DASAR ‘JANJI LAIN, BUAT LAIN’
10. Sebelum Pilihan Raya Umum ke-15, rakyat dijanjikan bahawa Anwar tidak akan memegang portfolio menteri kewangan jika Pakatan Harapan membentuk kerajaan.
11. Namun, selepas Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau mencalonkan dirinya sebagai Menteri Kewangan.
12. Sebelum Pilihan Raya Umum ke-15, Anwar berjanji menurunkan harga minyak dalam tempoh 24 jam, manakala Rafizi mendakwa amat mudah bagi kerajaan melaksanakannya.
13. Namun, selepas Pilihan Raya Umum ke-15, harga minyak tidak diturunkan seperti dijanjikan, dan Rafizi mendakwa bukan mudah bagi kerajaan melaksanakannya.
14. Banyak lagi contoh “flip flop” Pakatan Harapan yang tidak perlu saya gariskan di sini, termasuk janji-janji berkait “penghapusan tol,” harga makanan, kos sara hidup dan sebagainya.
DASAR ‘MEMBURUK-BURUKKAN PEMBANGKANG’ TAK TENTU HALA
15. Anwar membuat banyak kenyataan bercanggah-canggah yang dilihat berunsur fitnah terhadap pembangkang, khususnya, Perikatan Nasional.
16. Contohnya, Anwar mula-mula menuduh kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeleweng RM600 bilion.
17. Namun, setelah SPRM mengesahkan bahawa nilai yang disiasat hanya RM92.5 bilion, Anwar mengubah-ubah nilai dana yang kononnya ‘diseleweng’ sehingga akhirnya Perikatan Nasional dikaitkan dengan skandal RM300 juta.
18. Begitu juga dalam kes ‘dana judi’ – Anwar menuduh Perikatan Nasional menerima dana judi dan mendakwa memiliki dokumen bukti.
19. Namun, setelah lima bulan, menteri di Jabatan Perdana Menteri mengesahkan bahawa SPRM masih belum jumpa sebarang bukti.
20. Ini menimbulkan tanda tanya di mana perginya ‘dokumen bukti’ Anwar yang menjadi pencetus kepada polemik dana judi itu.
DASAR TIDAK MESRA MELAYU-ISLAM
21. Pada pengamatan saya, kerajaan ini tidak mesra Melayu-Islam.
22. Apabila Lim Kit Siang membuat kenyataan bersempadankan Islamophobia berhubung kemungkinan ‘gelombang hijau’ menjurus kepada Malaysia menjadi negara Islam, beliau tidak disiasat.
23. Begitu juga, apabila Ramasamy menyentuh isu sensitif berkait penguasaan Melayu dalam sektor perkhidmatan awam, beliau tidak disiasat.
24. Namun, apabila pemain hoki wanita negara Hanis Nadiah Onn membuat kenyataan yang dikatakan berbaur perkauman berhubung konsert seorang artis dari Inida, beliau digantung daripada menyertai mana-mana aksi antarabangsa
25. Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Proklamasi Orang Melayu, beliau dituduh memainkan sentimen politik perkauman, sedangkan Perlembagaan Persekutuan memberikan hak kepada Mahathir untuk memperjuangkan nasib orang Melayu-Islam
26. Sehingga hari ini, tidak ada bukti yang ditampilkan bagi menjelaskan bagaimana Proklamasi Orang Melayu berunsur politik perkauman.
DASAR BERCANGGAH-CANGGAH BERHUBUNG ISU PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH DALAM KES JILL IRELAND
27. Anwar mendakwa kerajaan menarik balik rayuan penggunaan Kalimah Allah dalam kes Jill Ireland kerana penggunaannya terhad kepada Sarawak dan tidak melibatkan negeri-negeri lain di Malaysia.
28. Bagaimana pun, apabila saya dan beberapa peguam mengesahkan bahawa kenyataan Anwar tidak betul, Anwar tidak mengambil sebarang inisiatif untuk memperbetulkan kenyataannya.
29. Hakikatnya, dalam kes Jill Ireland, keputusan Mahkamah Tinggi bermakna pribumi Kristian dari Sarawak berhak menggunakan Kalimah Allah dalam media cetak mereka di seluruh negara, termasuk di Sarawak.
30. Ini sekaligus meruntuhkan asas kepada hujah Anwar yang menjelaskan sebab rayuan ditarik balik.
31. Saifuddin Nasution pula memberikan sebab yang bercanggah apabila menjelaskan isu penarikan balik rayuan itu.
32. Kenyataan Saifuddin jelas menyokong penuh keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Jill Ireland sebagai ‘keputusan tepat’, sekaligus bermakna Saifuddin tidak merasakan Mahkamah Tinggi terkhilaf.
33. Persoalannya, kenapa Saifuddin mendahului Hakim Mahkamah Rayuan dan tidak membenarkan Mahkamah Rayuan membuat keputusan?
34. Adakah ini bermakna kerajaan pimpinan Anwar bersetuju, secara prinsip, bahawa pribumi Kristian dari Sarawak berhak menggunakan Kalimah Allah dalam media cetak mereka di seluruh negara, termasuk di Sarawak?
35. Perkara ini tidak terjawab secara konklusif dan efektif sehingga hari ini, dan tidak ada jawapan jelas kepada soalan “adakah Anwar menghadap Yang Di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja Melayu untuk memaklumkan, sebelum rayuan ditarik balik, bahawa kerajaan memutuskan untuk menarik balik rayuan itu?”
36. Kerajaan turut tidak menjawab secara jelas samada jabatan-jabatan agama atau mana-mana pihak yang terlibat dalam rayuan asal dirujuk sebelum rayuan ditarik balik.
DASAR PENGKHIANATAN
37. Bukankah beberapa tindak-tanduk kerajaan sepertimana yang digariskan di atas bersempadankan pengkhianatan kepada kepercayaan dan mandat rakyat?
38. Bukankah Anwar terbabit dengan usaha demi usaha menyhah-stabilkan ‘kerajaan-kerajaan YDPA’ terdahulu, menerusi sidang-sidang media dan perhimpunan-perhimpunan serta demonstrasi-demonstrasi yang menghasut rakyat untuk menentang kerajaan, termasuk demonstrasi yang menghasut rakyat untuk mencetuskan rusuhan “Malaysian Spring” ala “Arab Spring?”
39. Bukankah Anwar menerima katak dari UMNO menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka, setelah menuduh kerajaan Perikatan Nasional sebagai “Kerajaan Pintu Belakang?”
40. Bukankah Anwar kini berpelukan dengan pemimpin-pemimpin UMNO, termasuk Zahid Hamidi, yang pada satu ketika dulu bersubahat mencetuskan Langkah Sheraton?
Bersambung…
